CARA seorang Muslim melawat saudaranya yang sakit berbeza
dengan cara yang dilakukan oleh bukan Islam kerana disertakan dengan jampi dan
doa. Maka di antara sunnahnya ialah kita hendaklah mendoakan si sakit dan
menjampinya (membaca bacaan tertentu) yang ada diriwayatkan oleh Rasulullah
SAW.
Contohnya: "Imam al-Bukhari menulis" "Bab
Du'a al-'Aa'id lil Maridh" (Bab Doa Menziarahi Orang Sakit) dan
menyebutkan hadis Aisyah bahawa Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit
atau orang yang menderita sakit itu didatangkan kepada baginda SAW, Baginda
mengucapkan (doa yang bermaksud): "Hilangkan penyakit ini, wahai Tuhan
bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan
selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit." (Riwayat
al-Bukhari dalam Fathul-Bari No.5675).
Dan Nabi SAW juga pernah menjenguk Sa'ad bin Abi Waqash
kemudiannya Baginda SAW mendoakannya (yang bermaksud): "Ya Allah
sembuhkanlah Sa'ad dan sempurnakanlah hijrahnya." (Riwayat al-Bukhari
dalam fathul-Bari No.5659).
Ada sesetengah orang mengemukakan pandangan tidak perlu
didoakan kesembuhan kerana mereka beralasan bahawa sakit dapat menghapuskan
dosa dan mendatangkan pahala seperti disebutkan dalam beberapa hadis. Bagi
kemusykilan itu, al-Hafiz Ibnu Hajar memberikan jawapan demikian,
"Sesungguhnya doa itu adalah ibadat dan tidaklah menafikan antara pahala
dan kafarat (penghapus dosa).
Sebab keduanya diperoleh pada permulaan sakit dan dengan
sikap sabar terhadapnya. Adapun orang yang mendoakan, akan mendapat dua macam
kebaikan, iaitu mungkin memperoleh apa yang dimaksudkan atau diganti dengan
mendapatkan manfaat lain atau ditolaknya suatu bahaya yang mana semuanya itu
adalah kurniaan Allah SWT."
Memanglah seorang Muslim itu hendaklah bersabar ketika
menderita sakit atau ditimpa musibah, tetapi hendaklah juga ia meminta
keselamatan kepada Allah SWT seperti hadis sabda Baginda SAW: "Janganlah
kamu mengharapkan bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah SWT.
Tetapi apabila kamu bertemu musuh, maka bersabarlah dan ketahuilah bahawasanya
syurga itu di bawah bayang-bayang pedang." (Hadis Muttafaqun 'alaih
daripada Abdullah bin Abi Aufa).
Dalam hadis Ibnu Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:
"Perbanyakkan berdoa memohon 'afiat (keselamatan)." (Riwayat
al-Tabrani dan adh-Dhiya').
Salah satu doa Nabi SAW (yang bermaksud): "Ya Allah,
aku memohon kepada-Mu penjagaan daripada yang terlarang dan keselamatan dalam
urusan dunia dan agamaku, keluarga dan hartaku." (Hadis riwayat al-Bazzar
daripada Ibn Abbas).
Di antara doa lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amir,
beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang
menjenguk orang sakit, maka hendaklah ia mendoakannya dengan mengucapkan,
"Ya Allah, sembuhkanlah hamba-Mu, agar dia dapat membunuh musuhmu atau
berjalan kepada-Mu untuk melakukan solat." Maksud musuh di sini mungkin
orang-orang kafir yang memerangi umat Islam atau Iblis dan tenteranya
Selain itu ada lagi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas
berhubung sabda nabi SAW: "Barang siapa yang menjenguk orang sakit yang
belum tiba ajalnya, lalu ia mengucapkan doa ini di sisinya sebanyak tujuh kali
(yang bermaksud "Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi
'arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu") nescaya Allah
SWT akan menyembuhkannya daripada penyakit itu. (Riwayat Abu Daud dan
al-Tirmizi).
Di antara sunnahnya lagi iaitu kita harus memberi harapan
sembuh kepada pesakit seperti ucapan yang sering diucapkan oleh Baginda SAW
iaitu "La Ba'sa Tohurun, Insya-Allah" (maksudnya: tidak apa-apa,
bersih (sembuh), Insya-Allah). Maksud tidak apa-apa itu ialah jangan bimbang
kerana penyakit yang dihidap akan sembuh.
Ucapan ini menimbulkan keyakinan, sekali gus menjadi doa
semoga hilang penyakit dan penderitaannya serta kembali sihat di samping dapat
menghapuskan dosa-dosanya.
Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan hadis daripada
Abu Sa'is al-Khudri secara marfu' (maksudnya): "Apabila kamu menjenguk
orang sakit, maka hendaklah kamu beri harapan akan panjang umur. Kerana yang
demikian itu, meskipun tidak dapat menolak takdir sedikit pun, tetapi dapat
menyenangkan hatinya." (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi).
Sementara itu, bagi pesakit yang tiada harapan untuk sembuh,
mengikut Sunnatullah- maka hendakah si pelawat itu memohon kepada Allah SWT
agar Dia memberikan kasih sayang dan tunjukkanlah sikap yang lemah lembut
kepadanya dan meringankan penderitaannya.