ADALAH sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan
Syaaban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai
beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis palsu adalah dilarang
sama sekali. Kebanyakan hadis yang disebarkan adalah mengenai malam Nisfu
Syaaban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan
puasa sunat khusus pada hari Nisfu Syaaban.
a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu
Syaaban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi
s.a.w. menghidupkan malam Nisfu Syaaban ini dengan amalan-amalan khusus seperti
sembahyang sunat khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah
lemah dan palsu. Di antaranya :
Hadis yang diriwayatkan daripada Ali r.a.: Apabila tiba
malam Nisfu Syaaban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada
waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah
s.w.t. akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya
matahari dan berfirman: Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku
ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan
rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku
sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan
kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga
terbitnya fajar.
Hadis ini adalah maudhu', diriwayatkan oleh Ibn Majah dan
al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami' dan Silsilah
al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.
Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda: Sesiapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus
rakaat solat pada malam Nisfu Syaaban, ia tidak keluar dari dunia (mati)
sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada
mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari
neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan
sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya.
Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu'. (Rujuk Ibn
al-Jauzi, al-Maudhu'at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula
meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan
dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis.
Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad
bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.
Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada
ayahnya berkata: `'Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Syaaban seribu kali
surah al-Ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah
mengutuskan kepadanya seratus malaikat; tiga puluh menyampaikan khabar gembira
syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan
mengawalnya daripada berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai
musuh-musuhnya.'' Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu'.
Kebanyakan hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang
khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada
amalan-amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam
Nisfu Syaaban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau
membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur,
dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit,
pasti Rasulullah s.a.w. akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi
selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.
Al-Hafiz al-Iraqi berkata: `'Hadis tentang solat pada
malam Nisfu Syaaban adalah maudhu', direka cipta dan disandarkan kepada
Rasulullah s.a.w.'' Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam
kitabnya, al-Majmu': ``Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat
sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama
bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat
adalah dua jenis sembahyang yang bidaah (ditokok tambah dalam agama).'''
(Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', cetakan
ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: `'Dan
di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan
malam Nisfu Syaaban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada
sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang
kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun
riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah
maudhu' seperti yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu.'' (Abd al-Aziz
bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', hal. 11).
Ulama kontemporari masa kini, Syeikh Dr. Yusof
al-Qardhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: `'Tentang malam Nisfu Syaaban,
tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya,
kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga
sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang
hadis sahih tentang malam Nisfu Syaaban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis
tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis
tersebut ialah Nabi s.a.w. hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak
disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh
sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa
yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah.''
Beliau menambah lagi: `'Terdapat juga di sesetengah
negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca
surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur,
dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca
doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia
adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi
maknanya''. (Al-Qardhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5,
1990), 2/379-383)
Para ulama muktabar lain seperti Syeikh al-Islam Ibn
Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan
lain-lain lagi juga menafikan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu
Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam tersebut tidak mempunyai
kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis thabit yang menyebut akan fadilat dan
kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu
dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh
disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan
yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut
al-Imam al-Suyuti: `'Dan pada malam Nisfu Syaaban itu padanya kelebihan, dan
menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan
secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah.'' (Rujuk: al-Suyuti, al-amru
bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet.
1, 1998), hal 61)
b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari
Nisfu Syaaban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu
Syaaban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia
adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan
Nabi s.a.w. yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di
dalamnya hari Nisfu Syaaban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan
digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih
dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang
dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu
Syaaban sahaja dengan menganggap ia adalah sunah, maka inilah yang dilarang.
Menurut Dr Yusof al-Qardhawi: `'Di dalam kaedah syarak, tidak dibolehkan untuk
menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu
untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syarak kerana
sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak
menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata'.(Rujuk: Al-Qaradhawi,
Fatawa al-Muasarah, 2/343)
c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu
Syaaban.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala
amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban. Justeru, kebanyakan umat
Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan
niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat
ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang
menjelaskannya.
Demikianlah beberapa perkara yang sering dibincangkan di
dalam bulan Syaaban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta
pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis
tersebut di sisi ulama hadis. Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang
melibatkan soal pahala, keberkatan, fadilat dan kelebihan adalah hak milik
kekal Allah s.w.t. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan
menjanjikan sebarang fadilat atau keberkatan tertentu dengan mereka-cipta
amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para
sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah
yang kita lakukan ini bertepatan dengan sunah Rasulullah s.a.w. untuk
melayakkan amalan tersebut diterima di samping diiringi dengan keikhlasan kepada
Allah s.w.t. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran
hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan
mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t.
Perkongsian Drp: Abd Al-Razzaq A.Muthalib..