Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ
أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah
(Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula
dibelenggu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/55, no. 3035)
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ
شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ
النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ
مِنْهَا بَابٌ
“Apabila tiba saja malam pertama bulan Ramadhan,
dibelenggulah syaitan-syaitan dan jin-jin yang ganas (yang besar). Pintu-pintu
Neraka ditutup dan tiada satu pun terbuka. Pintu-pintu Syurga pula dibuka dan
tiada satu pun yang tertutup.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 3/103, no. 618. Ibnu
Khuzaimah, 3/188, no. 1883. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Imam Ibnu Khuzaimah (Wafat: 311H) menyatakan:
“Bab penjelasan
terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk
kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya
digunakan untuk sebahagian dari mereka.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 3/187)
Kata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:
“... (Berdasarkan
pendapat yang lain) Apa yang dimaksudkan syaitan dalam hadis ini merujuk kepada
sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang. Sebab itulah Ibnu
Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Shahihnya untuk hadis berkaitan, lalu
beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh
at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim... (sebagaimana di atas).”
Syaitan Dibelenggu, Tetapi Kenapa Maksiat Berleluasa?
Imam al-Qurthubi menjelaskan:
“Apabila dikatakan, “Mengapa kita masih melihat kejahatan
dan maksiat berlaku di bulan Ramadhan. Sekiranya syaitan dibelenggu, bukankah
sepatutnya perkara seperti itu tidak akan berlaku?”
Maka jawabannya, “Bahawasanya gangguan syaitan hanya
berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan
adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu para
penentang yang ganas dari kalangan mereka sebagaimana dinyatakan dalam
sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam
bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana
kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan
bulan-bulan selainnya. Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab
untuk tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Kerana sebab berlakunya
kemaksiatan itu turut didorong oleh sejumlah faktor lainnya selain dari faktor
syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan
syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari,
4/114)
Wallahu a'lam...