Khamis, 5 Julai 2012

MAKMUM MUWAFIK DAN MASBUK



Syarat Sah Jemaah
Perbincangan fiqh Mazhab Imam Syafi’e pada masalah Muwafik dan Masbuk.

Pengertian Muwafik  :
“Makmum yang berdiri bersama  imam , dan lama perdiriannya itu sekira-kira lulus membaca  surah Al fatihah yang pertengahan  sama ada makmum tersebut membaca fatihah ataupu tidak”

 Dalam solat berjamaah, syarat-syarat yang mengesahkan solat berjemaah perlulah diketahui oleh setiap ahli makmum atau jemaah .

 Adalah dinaqalkan oleh ulama’  dalam kitab-kitab peninggalan mereka adalah seperti berikut

“Janganlah makmun terdahulu  daripada Imam lebih daripada dua rukun fi’li dengan sengaja “      --- dan - “Jangan makmum tercicir atau terkemudian atau ketinggalan daripada imam hingga  dua rukun  fi’li dengan tiada uzur.

Adapun makmum yang uzur( makmum Muwafik) maka ianya dibenarkan tercicir atau terkemudian atau ketinggalan dariapada imam sehingga 3 rukun fi’li yang panjang-panjang , malah tiada dihisab atau dikira  akan rukun yang pendek .

Adapun 3 rukun  yang panjang adalah :-

1)     Rukuk serta tumakninah
2)     Sujud yang pertama serta tumakninah
3)     Sujud yang kedua serta tumakninah

Adapun rukun yang pendek yang tiada dihisab adalah :-
1)      I’tidal serta tumakninah
2)      Duduk antara dua sujud serta tumakninah

Adapun makmum muwafik wajib baginya membaca Fatihah sehingga selesai dan jika ada uzur , maka makmum muwafik  dibenarkan  tercicir atau terkemudian  daripada imam kerana bagi menyempurnakan  bacaan fatihahnya sehingga 3 rukun fi’li yang panjang dan tiada dihisab akan rukun yang pendek.

Di antara  uzur yang dibenarkan oleh syarak kepada makmum muwafik , sehingga  terkemudian daripada imam sehingga 3 rukun fi’li adalah seperti berikut :-

1)     Makmum tersebut  memang seorang  lambat membaca al fatihah , sama ada  ianya semata-mata lambat (sengaja lambat) ataupun lambat ia membaca fatihah kerana memelihara  tajwid al fatihah .

2)         Makmum lupa membaca surah Fatihah ketika berdiri , ketika hendak rukuk ianya teringat bahawasanya dia belum lagi membaca fatihah.(Mungkin asyik dan leka  mendengar bacaan surah imam yang lunak)

3)                Makmum syak – adakah sudah  atau  belum ianya membaca surah fatihah maka wajib menyempurnakan fatihahnya , dari kerana syaknya itu , dia dihukumkan belum membaca.

4)                Makmum  membaca doa iftitah dan ta’awuz, dan didapati imam sudah rukuk wajib sempurna  fatihahnya .

5)                Imam yang memang membaca cepat.

6)                Imam yang tiada memberi ruang kepada makmum untuk menyempurnakan fatihahnya  yakni selepas mengAminkan fatihah , Imam terus  membaca surah yang kadarnya  tidak meluluskan makmum membaca surah Fatihah dengan sempurna .

Sekiranya Imam telah sempurna sujud yang kedua  sedangkan makmum masih belum selesai membaca fatihah , maka bagi mengelakan solatnya terbatal , makmum tersebut hendaklah melakukan salah satu daripada  dua tindakan  berikut .

Tindakan Pertama :

Hendaklah makmum muwafik itu terus ke rukun yang dilakukan oleh imamnya .

Misalnya ;
Bacaan Makmum muwafik belum selesai imam telah sempurna  sujudnya yang kedua dan ke rukun tahaya awal atau akhir  , maka  hendaklah  makmum  muwafik  menamatlkan atau memberhentikan bacaan fatihahnya  dimana jua kedudukan bacaannya dan terus  menyertai  rukun yang dilakukan oleh Imam nya.

Tindakan Kedua :

Hendaklah makmum  muwafik  itu  berNIAT  MUFARAQAH .
Misalnya :
Apabila didapati Imamnya telah menyempurnakan rukun yang ketiga iaitu sujud yang kedua , sedangkan dirinya lemah dan tidak jua dapat menyempurnakan bacaan fatihahnya

Sekiranya , makmum muwafik tidak mengambil salah satu tindakan yang tersebut di atas,  dan terus sahaja membacakan fatihahnya  sedangkan Imam sedang ke rukun yang berikutnya  maka BATALlah solat makmum muwafik itu .


SYARAT  SAH   BERJEMA’AH


Pengertian Masbuk :
Masbuk – “Makmum yang perdiriannya bersama  imam tiada kadar masa sekira-kira lulus  membaca Al Fathihah yang pertengahan”

Oleh yang demikian , makmum masbuk berlain peraturannya dengan makmum muwafik .

Bagi makmum muwafik , tidak bangkit hal yang membenarkannya tercicir  atau terkemudian daripada imam  dua rukun fi’li (bagi yang tiada uzur ) dan tiga  rukun fi’li yang panjang  dan tiada dihisab rukun yang pendek – pendek bagi keuzuran yang diluluskan atau dibenarkan oleh syarak .

Adapun masalah berkaitan makmum masbuk ini terbahagi  kepada 3 keadaan .

KEADAAN PERTAMA :
q MAKMUM MASUK DI DALAM SEMBAHYANG , IMAM SEDANG RUKU’

KEADAAN KEDUA
q  MAKMUM MASUK DI DALAM SEMBAHYANG , IMAM SEDANG BERDIRI DAN SEDANG MEMBACA SURAH

KEADAAN KETIGA
q  MAKMUM MASUK DI DALAM SEMBAHYANG , IMAM DI DALAM RUKUN SELAIN RUKUK DAN MEMBACA SURAH SEPERTI DALAM SUJUD , I’TIDAL , DUDUK ANTARA DUA SUJUD DAN SEBAGAINYA .


HURAIAN :

KEADAAN PERTAMA :

Makmum masbuk , masuk di dalam sembahyang ,imam sedang rukuk

Dalam keadaan ini , maka hendaklah makmum itu bertakbiratul ihram  dengan sempurna syarat-syaratnya (21 perkara) itu , lalu diqiamkan tangan diatas perut dan dibawah dada dahulu.

Apabila  telah sempurna , maka hendaklah makmum itu  sekali lagi bertakbir  (Takbir Intiqalat/Takbir perpindahan rukun ) untuk rukuk bersama imam .

Adapun syarat pada rukuk makmum itu  adalah seperti berikut:
“Hendaklah  rukuk makmum itu bersama imamnya dan dapat pula berthumakninah di dalam rukuknya bersama imam itu (sekurang-kurang kadar  subhanallah semasa bersama rukuk imamnya )”

 Dan makmum masbuk , tetap akan dikira mendapat raka’at  itu  apabila ianya dapat mendirikan rukuk serta thumakninah bersama imamnya  dengan yakin .

(Thumakninah ertinya  berhenti sekejap iaitu mematikan segala gerak kecil dan besar  dan mati geraknya itu ada sekadar lulu dibaca pada berhentinya itu subhanallah) 
         
Dan  keadaan imam masih belum bangun berpindah ke I’tidal . Maka takala itu , dapatlah ia akan raka’at tersebut .

Tetapi sekiranya, tiada lulus sekadar thumakninah  berserta imam dalam rukuknya, maka tiadalah diperoleh akan raka’at tersebut .

Maka hendaklah  ditambah raka’at yang tidak diperolehinya itu selepas imam selesai memberi salam yang kedua .

Ataupun , jika  datang Taraddud(bolak balik)  yakni syak di dalam hati sama ada dia dapat thumakninah bersama imamnya ataupun tidak.    Oleh yang demikian , hendaklah dia  terus sahaja mengikut imam , akan tetapi dia dikira tidak memperolehi raka’at  itu .

Justeru itu, hendaklah disempurnakan raka’at yang luput (sebab syaknya tadi ) selepas salam imamnya yang kedua .

TETAPI, jika makmum masbuk itu terus sahaja membaca Fatihah  secepat mungkin dan terlepas rukuknya serta imamnya , Maka BATAL sembahyang makmum masbuk itu iaitu apabila imam sudah berpindah ke rukun I’tidal .


KEADAAN KEDUA :

Makmum masuk di dalam sembahyang, imam sedang berdiri dan sedang membaca surah Fathihah

           Dalam keadaan  yang kedua ini , terdapat 2 perbahasan mengenainya :

PERBAHASAN PERTAMA

Makmum masbuk terus  membaca surah fathihah.

PERBAHASAN KEDUA

Makmum masbuk membaca  doa ititah dan ta’awuz.




PERBAHASAN PERTAMA

           Apabila  makmum masbuk masuk ,  imam sedang membaca surah ,  lalu makmum masbuk  membaca surah Fathihah .

           Belum selesai makmum masbuk membaca surah Fathihah   imam telah bergerak ke rukuk .Maka  takala itu WAJIB diputuskan  serta merta bacaan Fathihahnya di mana juga  kedudukan bacaannya ,walaupun sudah hampir sempurna  atau habis  bacaannya Fathihahnya ; dan terus rukuk berserta imam yang rukuk dan berthumakninah bersama imamnya .Maka dapatlah raka’at itu padanya .

TETAPI, sekiranya Ia engkar dan diteruskan bacaannya bagi menyempurnakan  fathihahnya maka  takala itu juga Imam sudahpun selesai ataupun telah sempurna rukuknya dan bangun pula kepada I’tidal  sedang ia belum sempurna Fathihahnya atau  baru hendak rukuk (berselisih  dengan gerak Imam ke I’tidal) maka BATALlah solatnya .

Adapun bagi makmum masbuk yang memutuskan bacaanya Fathihahnya dan rukuk bersama Imamnya  , maka bacaan  yang tidak sempurna  itu dijamin oleh Tuan Imam atau ditanggung oleh Tuan Imam .


PERBAHASAN KEDUA

           Makmum masbuk masuk sembahyang , imam sedang berdiri dan sedang membaca surah ,lalu ia membaca  doa iftitah  atau masih dalam pembacaan doa iftitah ; Lalu Imam rukuk ?

           Dalam keadaan ini , biasanya berlaku sewaktu solat sir ( siang hari =zohor dan asar).Maka makmum  masbuk ini tidak boleh rukuk bersama imam . Malah dia WAJIB membaca  Fathihah sekadar lama doa Ifthitah  yang telah dibaca tadi sewaktu  imam bergerak ke rukuk (lalu  ia berhenti membaca doa ifthitah

           Kadar fathihah yang perlu dibaca adalah seukuran tempoh doa ifthihah yang telah dia baca sebelum imam  bergerak ke rukuk .

           Apabila telah dibaca  mengikut kadarnya , Fathihah itu , Maka ia bolehlah rukuk  dan  jika dilihat imam masih dirukun rukuk  dan rukuk makmum masbuk itu serta imam dan dapat sekira-kira kadar thumakninah , maka dapatlah raka’at itu baginya .

           AKAN TETAPI, sekiranya apabila telah habis dibacanya fathihah yang seukuran iftitah yang telah ditentukannya sendiri  itu , dan didapatinya  imam sudah  I’tidal maka janganlah Ianya rukuk .Ianya  hendaklah terus sahaja beri’tidal bersama Imamnya.

           Makmum masbuk meneruskan  solatnya  bersama imam .Tetapi raka’at itu tidak diperolehinya dan sembahyang masih SELAMAT bersama imam .

           AKAN TETAPI, jika setelah dihabiskan  Fatihah berkadaran dengan  doa iftitah  yang telah  dia berhenti, dan (imam sudah selesai rukuk , I’tidal ) dan sekarang imam sedang dalam tunduk menuju  sujud ,WAJIB ia BERNIAT MUFARAQAH( cerai daripada imam ).Jika dikekalkannya dan imam sudah sujud ,BATAL sembahyangnya .

           Oleh yang demikian , dinasihatkan sekiranya menjadi makmum masbuk , dalam apa jua keadaan , hendaklah kita abaikan membaca doa iftitah  dan ta’awuz .    Maka hendaklah dibacakan Bismillah dan surah Fathihah  sedapatnya dan berhenti serta merta  dimana jua kedudukan bacaannya dan terus lah rukuk bersama imam yang rukuk .

           Adapun , membaca doa iftitah dan ta’awuz tidak disunatkan pada makmum masbuk ;Begitulah  yang telah dinaqalkan oleh Imamul A’zhom Syeikh Muhammad Bin Idris
( Al Imam Syafi’ie) dalam hal keadaan makmum masbuk .

           Andaikata ,terjadi keadaan yang diluar jangka , disangkakan situasi asalnnya harus layak dibaca doa iftitah ,ta’awuz dan surah fatihah ,TETAPI jangkaan makmum itu tersasar atau sebab imamnya cepat dan pantas , maka perbahasan ke 2 haruslah diaplikasikan (dilaksanakan ).

           Dan tidak boleh  mengaplikasikan (melaksanakan ) suasana  berbeza untuk  berlainan masalah .

           Asal pokok  yang harus dilakukan  oleh makmum masbuk adalah terus membaca bismillah dan surah fatihah,walaupun dijangka atau disangka imam akan melambatkan bacaannya, dan dia lulus membaca doa iftitah ,ta’awuz dan surah fatihah.
         
           Adapun  langkah meningggalkan yang tidak disunatkan  untuk makmum masbuk lebih menyelamatkan makmum masbuk dari  menghadapi tidakan  bermufaraqah olehnya .


TAMBAHAN ;
Adapun , makmum yang teringat , bahawa dia tidak  membaca fatihah dalam rukuknya  dalam sembahyang Juma’at .?
Maka hendaklah dia bangun tambah rakaat yang ia lupa baca Fatihah itu selepas selesai imam memberi salam .

Tiada ulasan: