Akhlak berasal dari
perkataan Al Khuluq. Al-Khuluq bererti tabiat atau tingkah laku. Menurut Iman
Al Ghazali, akhlak merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang
telah sebati dan daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa
memerlukan pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya
sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari
manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan
sifat yang ada dalam jiwanya.
Tepatlah apa yang dikatakan
oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, “Sesungguhnya semua sifat yang
ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota manusia, sehingga
tidak ada suatu perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa yang ada dalam
hati manusia”.
Tingkah laku atau perbuatan
manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya.
Umpama pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang
akan baik apabila baik akhlaknya, sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka
baiklah pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok
dan cabangnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Dan tanah yang baik,
tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan tanah yang tidak
subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi
tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”
(Al- A’raf: 58)
Akhlaq yang mulia adalah
matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya (yang bermaksud, antara lain:
“Sesungguhnya aku diutuskan
hanyalah untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”.
Hal ini ditegaskan lagi oleh
ayat al-Qur’an dalam firman Allah:
“Dan Sesungguhnya kamu
benar-benar berbudi pekerti yang agung”
(Al-Qalam: 4)
Juga dalam firman Allah swt.
lagi:
Orang –orang yang jika kami
teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang,
menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang
mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.
(Al
Hajj, 22 : 41)
Firman Allah swt. lagi:
Bukanlah menghadapkan
wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya
kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat,
kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya,
anak–anak yatim, orang-orang miskin, (yang memerlukan pertolongngan) dan
orang-orang yang meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan
solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia
berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, peperangan,
mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang
yang bertakwa.
(Al-Baqarah, 2: 177)
Akhlaq yang mulia adalah
merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi
iman yang tidak disertai oleh akhlak. Sebuah athar menyatakan (antara lain,
bermaksud):
“Bukanlah iman itu hanya
dengan cita – cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam didalam
hati dan dibuktikan dengan amalan”
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
pernah ditanya: Apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlaq (Husnul Khulq). Bila ditanya tentang kejahatan,
baginda menjawab: Akhlaq yang buruk (Su’ul khalq).
Diriwayatkan dari Annawas
bin Sam’an ra. berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah saw. Tentang bakti dan
dosa, maka jawab Nabi saw. “Bakti itu baik budi pekerti, dan dosa itu ialah
semua yang meragukan dalam hati dan tidak suka diketahui orang.” (HR. Muslim)
Abu Darda berkata, “Bersabda
Nabi saw, “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di
hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (HR. At Tirmidzi)
Aisyah ra. Berkata, “Saya
telah mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin yang
dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang
terus menerus berpuasa dan solat malam.” (HR. Abu Daud)
Jabir ra. berkata,
“Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan
terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan
orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah
orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan
kepandaiannya.” (HR. At Tirmidzi).
Kekuatan akhlak lahir
melalui proses panjang yang memerlukan kesediaan untuk sentiasa memberi
komitmen dengan nilai-nilai Islam. Seorang ulama menjelaskan thariqah (jalan)
untuk membina akhlak islami adalah dengan kemahuan untuk melaksanakan latihan
(tadribat) dan pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki kesempatan yang
sama untuk menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh mana usaha kita
untuk mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan
muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang sering
dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim hakiki. Justeru
menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung zaman. Gejala keruntuhan
akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan
seumpamanya meruntun jiwa kita selaku pendokong agama. Keruntuhan yang tidak
dikawal pada satu tahap yang minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu,
lantas melupakan terus Pencipta Yang Maha Esa.
Islam adalah ajaran
yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai
kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu
memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam
benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan
ketenteraman.
Sebaliknya manusia akan
menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya.
Allah Subhanahuwata’ala berfirman :
“Sesungguhnya Allah tidak
merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri
mereka sendiri.”
(Ar-Ra’d:
11)
Di antara ciri-ciri akhlaq
yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya ia menjadi seorang muslim
yang benar adalah akhlaq-akhlaq berikut:
1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat
Seorang muslim mestilah
menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga
perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat)
berdasarkan dari hadith Rasulullah yang berbunyi:
“Daripada Abu Abdullah
al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar
RasulullahSallallahu’alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu
nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang
tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya
dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan
kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia
kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling
kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah!
Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan
Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada
seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak,
rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.
(Diriwayatkan oleh Bukhari
dan Muslim)
Adapun setinggi-tinggi
pencapaian darjat wara’ adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith baginda (antara lain, bermaksud):
“Seorang hamba (Allah) itu
tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan
sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia
meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan”
2. Memelihara penglihatan.
Seseorang muslim itu
mestilah memelihara pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan
oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh
merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah pelanggaran dan maksiat.
Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat orang –orang mu’min supaya
memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah, firman Allah
Subahanu Wata,ala:
Katakanlah kepada orang
laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan
memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka,
Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".
(An-Nur: 30)
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam pula bersabda (antara lain, bermaksud):
“Pandangan itu ada satu
panahan dari panahan iblis”
Baginda juga mengingatkan
(antara lain, bermaksud):
“Hendaklah kamu memelihara
pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan
wajah kamu.”
(Hadith Riwayat At Tabrani)
3. Memelihara Lidah
Seseorang muslim itu
mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan kata-kata yng tidak berfaedah, perbualan-perbualan
yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan
mengadu domba. Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. “ketahuilah, seorang
mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali
percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah
sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri
kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau
makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah
jarang.”
Sebenarnya banyak dari
hadith-hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang menerangkan keburukan
dan bencana lidah ke atas empunya diri (antara lain):
“Tidaklah dihumbankan muka
manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya”
(Hadith riwayat Al Tarmizi)
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda:
“Bukanlah ia seorang mu’min
(jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji.”
(Hadith riwayat At Tarmizi)
Sabda baginda lagi:
“Sesiapa yang banyak
bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka
banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak
untuk dirinya.”
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)
4. Bersifat Pemalu.
Seorang muslim mestilah
bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak
seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu
seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan,
merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup seta
memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat seumpamanya. Diceritakan dari
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa baginda adalah seorang yang sangat
pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Iman itu mempunyai tujuh
puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan
Lailaha Illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah) dan yang paling
rendah ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan sifat malu ialah satu
cabang dari Iman”
Berhubung dengan sifat malu
ini para ulama’ mengatakan: “Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan
seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya dari mencuaikan hak
orang lain.
5. Bersifat Lembut dan Sabar
Di antara sifat-sifat yang
paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah, sifat
sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan
perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan da’wah sememangnya penuh
dengan kepayahan, penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang
memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal Islami
sehingga himmah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka
mungkin terus berpaling meninggalkan medan da’wah.
Dari keterangan ini
jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat
sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan da’wah kepada seluruh lapisan manusia
yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabi’atnya. Da’i akan menyampaikan
da’wahnya kepada orang-orang jahil dan orang-orang ‘alim, orang yang berfikiran
terbuka dan yang emosional (sensitif), orang yang mudah bertolak ansur dan yang
keras kepala, orang yang tenang dan yang mudah tersinggung. Oleh yang demikian
ia wajib menyampaikan da’wah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar
kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki
jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari
kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah lembut.
Oleh itu kita dapati banyak
ayat-ayat Al-quran dan hadith Nabi menganjur dan mengarahkan agar seorang da’i
itu berakhlak dengan sifat-sifat sabar, lemah lembut dan berhati-hati.
Arahan-arahan Dari
Al-Qur’an:
Di antara arahan-arahan
al-qur’an ialah:
Firman-firman Allah:
“Tetapi
orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu
termasuk hal-hal yang diutamakan”.
(Al-Syura, 42: 43)
“Maafkanlah mereka dengan
cara yang baik”
(Al-Hijr, 15: 85)
“Sesungguhnya hanya
orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”.
(Az-Zumar,
39: 10)
“Dan hendaklah mereka
memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”.
(An-Nur,
24 : 22)
“Dan apabila orang-oran
jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi)
keselamatan”.
(Al-Furqan 25 :63)
Arahan-arahan dari
hadith-hadith Nabi.
Di antara arahan-arahan dari
hadith-hadith Nabi ialah:
Sabda-sabda
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya seorang hamba
itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam
dengan sifat lemah-lembutnya.”
“Mahukah aku memberitahu
kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan
seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka
menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Berlemah-lembutlah kamu
terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah
pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan
silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu.”
“Apabila Allah
Subhanahuwata’ala telah menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada
hari itu pun menyeru; “Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan”.
Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah
sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh
para malaikat. Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan kamu”. Mereka
menjawab: “Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan
kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan kepada mereka:
“Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang
yang beramal”
Contoh-contoh praktikal dari
Nabi:
1. Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati
dengan pembahagian
rampasan perang) berkata:“Demi Allah, sesungguhnya ini adalah pembahagian
yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat keredhaan Allah”.Setelah
diceritakan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam baginda bersabda:
“Semoga Allah merahmati Nabi
Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia sabar”.
2. Anas Radiyallahu anh telah berkata:
“Pada suatu hari Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam telah memasuki sebuah masjid. Ia memakai kain
selendang buatan najran yang kasar buatannya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi
datang dari arah belakang baginda lalu menarik kain tersebut dari belakang
sehingga meninggalkan bekas di leher baginda. Badwi tersebut berkata
: “Wahai Muhammad, berikanlah kepada kami harta Allah yang ada di sisimu,
lalu Rasulullah berpaling kepadanya dengan wajah yang tersenyum dan baginda
bersabda: “Perintahkan kepada yang berkenaan supaya berikan kepadanya.”
3. Abu Hurairah menceritakan:
“Bahawa seorang Arab Badwi
telah berkata kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: “Wahai Muhammad
bawalah gandum ke atas dua ekor untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia
bukan harta engkau dan bukan juga harta bapa engkau”. Kemudian ia menarik kain
selendang Rasulullah sehingga meninggalkan kesan kemerahan di leher baginda.
Lalu Rasulullah memerintahkan supaya membawa kepada Badwi tersebut seguni
gandum dan tamar”.
4. Al-Tabrani menceritakan:
“Bahawa seorang wanita
berkata lucah (yakni ucapan yang menimbulkan berahi) kepada sekelompok lelaki,
kemudian ia lalu dihadapan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam ketika Nabi sedang memakan
roti berkuah di atas tanah. Kemudian wanita itu berkata: “Lihatlah kamu
kepadanya, ia duduk seperti seorang hamba abdi dan ia makan seperti seorang
hamba abdi”.
5. Abu Hurairah radiallahu anh menceritakan:
“Bahawa seorang leleki
berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai kaum kerabat yang
selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan hubungan dengan saya,
saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat terhadap saya, saya
berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap keras terhadap saya.” Lalu
baginda bersabda : “Jika sekiranya engkau berbuat seperti yang engkau katakan
seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan mendapat pertolongan
dari Allah selama engkau berbuat demikian”.
6. Pada suatu ketika datang seorang yahudi menuntut hutang
dengan Rasulullah dengan berkata: “Kamu dari Bani Abd.Manaf adalah bangsa yang suka
melambat-lambatkan pembayaran hutang”. Ketika itu Umar Ibn Al-Khattab ada bersama dan ia hampir
memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah berkata kepadanya: “Wahai Umar, sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku
dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.
7. Diriwyatkan bahawa Nabi Isa Alaihissalam bersama para
pengikut setianya (Hawariyyun) dari satu kampung ke satu kampung yang lain
kerana berda’wah. Lalu di dalam da’wahnya itu ia bercakap kepada manusia dengan
cara yang baik, sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk,
kutukan dan maki-hamun. Para pengikut setia itu merasa hairan terhadap tindakan
itu lalu mereka bertanya tentang rahsia perbuatan sedemikian. Baginda berkata: “Setiap orang itu mengeluarkan (membelanjakan) apa yang ada
padanya”.
Semua peristiwa di atas dan
peristiwa lainnya menjadi bukti yang menguatkan lagi tuntutan ke atas para
penda’wah supaya bersifat lemah-lembut, sabar dan belapang dada khususnya
apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu datangnya dari kaum kerabat,
sahabat-handai, orang-orang yang dikasihi, teman-teman rapat dan saudara mara
kerana sifat-sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu akan menghasilkan
kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan serta perbezaan.
Cukuplah oleh seorang penda’wah itu mendapat apa yang diredhai oleh Allah.
6. Bersifat Benar dan Jujur.
Seorang muslim itu mestilah
bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri
kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta
adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada
tipu daya syaitan. Seorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta
bererti ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was
syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat
dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang
kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang
akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya
sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan.
Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu
penyakit dari penyakit-penyakit yang dilaknat.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya sifat benar
membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di
sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa
kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang
lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang
pendusta”.
(Muttafaqun ‘alaihi)
7. Bersifat rendah diri
Seseorang mislim mestilah
bersifat tawadhu’ atau merendah diri khususnya terhadap saudara-maranya yang
muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang
miskin maupun yang kaya. Rasulullh Sallallahu’alaihiwasallam sendiri memohon
perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga
diri). Baginda bersabda (antara lain, bermaksud):
“Tidak akan memasuki syurga
sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam hadith qudsi Allah
berfirman :
“Kemuliaan itu ialah
pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang cuba merebut
salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya”.
(Hadith Qudsi riwayat
Muslim)
8. Menjauhi sangka buruk dan
mengumpat
Menjauhi sangka buruk dan
mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seorang itu mestilah menjauhi
sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah:
“Hai orang-orang yang
beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari
prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain
dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah
seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu
merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha
penerima taubat lagi penyayang”.
(Al-Hujurat, 49 : 12)
Allah berfirman lagi:
“Dan orang-orang yang
menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan yang mereka perbuat,
maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
(Al-Ahzab,
33 : 58)
Dan Rasulullah bersabda
(antara lain, bermaksud):
“Wahai golongan yang beriman
dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu
mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai
keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya,
Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.”
(Hadith riwayat Abu Daud)
9. Bersifat pemurah
Seorang muslim mestilah
bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan
Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah
dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari
kalangan mereka yang berkedudukan, berharta dan berpangkat gugur dari jalan
ini, lantaran rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Qur’an Al-Karim sendiri
terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan
dengan sifat pemurah.
Diantaranya:
“Orang-orang
yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang kami
berikan kepada mereka.”
(Al-Anfal,
8: 3)
“Dan apa saja harta yang
baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu
sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu
melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang
kamu nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu
sedikitpun tidak dianiayai”.
(Al-Baqarah, 2 : Ayat 272)
Orang-orang yang bakhil atau
kikir seharusnya mendengar dan mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam (antara lain, bermaksud):
“Tidak ada suatu haripun
yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dua malaikat
lalu seorang darinya berdo’a : “Ya Allah, berikanlah ganti kepada si hamba yang
menafkahkan hartanya”. Manakala malaikat yang ke dua berdo’a : “Ya Allah,
berikanlah kebinasaan kepada sihamba yang bakhil ini”.
10. Qudwah Hasanah (Suri
teladan yang baik)
Selain dari sifat-sifat yang
disebutkan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan
yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya adalah menjadi gambaran
kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum,
cara berpakaian, cara pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah
dalam seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan
merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw. Firman
Allah swt yang bermaksud:
"
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu
(iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat
dan dia banyak menyebut Allah " ( Surah al Ahzab : Ayat 21 )