Kepimpinan dalam Islam yang disebut sebagai imam merupakan suatu
amanah yang amat besar dan perlu dilaksanakan secara berhemah.Hal ini
dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud “Imam (Khalifah) itu adalah pemelihara dan
dia bertanggungjawab di atas apa yang dipeliharanya (rakyatnya)…..” (Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Islam juga menjelaskan bahawa “Imam itu adalah perisai, yang
mana dibelakangnya umat berperang.” (Riwayat Muslim). Hadis-hadis ini dan yang
senada dengannya telah menjelaskan tentang tanggungjawab pemimpin terhadap
rakyatnya.
Dalam satu peristiwa, Rasulullah pernah menasihati Abdul Rahman
bin Samarah RA. Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud “Wahai Abdul
Rahman! Janganlah kau meminta jawatan kepimpinan. Sesungguhnya jika kau diberi
jawatan itu atas permintaan, nescaya kau akan dibiarkan dengannya. Jika kau
diberi jawatan pemimpin bukan atas permintaan, kau akan dibantu untuk melakukannya.
Jika kau bersumpah dengan satu sumpah, lalu kau lihat yang lain lebih baik,
maka datangilah yang lebih baik dan kaffarahlah ke atas sumpah kau.” (Hadis
Riwayat Al-Bukhari)
Adalah menjadi tanggungjawab kepada kita untuk memberi baiah
kepada pemimpin negara. Dalam Islam Bai`ah bermaksud berjanji untuk taat kepada
pemimpin. Bai`ah sememangnya wujud dalam amalan Islam. ALLAH SWT berfirman yang
bermaksud “Bahawasanya mereka yang memberi bai`ah kepada kamu, sesungguhnya
mereka memberi bai`ah kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka.
Maka barangsiapa yang melanggar (bai`ah), sesungguhnya (akibat) melanggar
bai`ah akan menimpa dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang menunaikan apa yang
dia janjikan kepada Allah, maka Dia akan memberinya ganjaran yang besar.”
(Surah Al-Fath, ayat 10)
Sikap setia dan patuh yang tidak berbelah bagi perlu diamalkan,
sama ada dalam perkara yang disukai atau tidak, susah atau senang, selagi
ketaatan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran agama dan peraturan yang mendasari
dasar sesebuah negara.
Berkaitan dengan perkara tersersebut, Rasulullah SAW ada
bersabda yang bermaksud “Diwajibkan ke atas orang Islam itu dengar dan taat
(kepada pemimpin) dalam perkara yang disukainya dan dalam perkara yang
dibencinya, kecuali ia diperintah melakukan maksiat.” ( Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Sejarah Islam telah menceritakan bagaimana sebelum berhijrah ke
Yathrib, baginda Rasulullah SAW telah dikunjungi oleh penduduk Yathrib sebanyak
dua kali dan kedua-duanya melibatkan ikrar taat mereka yang disebut sebagai
bai’ah. Bai’ah al-Aqabah yang pertama dikenali sebagai Bai’at-an Nisa’.
Bai’ah ini lebih menjuruskan kepada persetujuan dan janji untuk
menjaga dan mempertahankan keamanan di Yathrib. Seramai 12 orang penduduk
Yathrib yang terdiri dari 10 orang suku kaum Khazraj dan 2 orang suku kaum Aus
terlibat dengan ikrar ini didepan Rasulullah SAW. Mereka berjanji untuk tidak
menyekutukan Allah, tidak mencuri, tidak membunuh anak, tidak berbohong, tidak
memfitnah dan lain-lain.
Bai’ah Aqabah kedua yang diadakan pada tahun 13 selepas
kerasulan Nabi disebut sebagai Bai’at-al-Haub yang mana penduduk Yathrib
berjanji dan berikrar akan melindungi dan mempertahankan Nabi serta umat Islam
sepertimana mereka melindungi keluarga mereka sendiri.
Sementara bai’ah khas terhadap Saidina Abu Bakar As-Siddiq di
Thaqifah Bani Saadah berlaku selepas kewafatan Rasulullah. Kewafatan Rasulullah
SAW pada bulan Rabiulawal tahun 11 Hijrah amat dirasai oleh umat Islam dan
mereka merasakan betapa besarnya musibah yang sedang menimpa mereka. Walau
bagaimanapun Sayidina Abu Bakar terus keluar dan berkata kepada umat Islam di
dalam kata-katanya yang masyhur “ Wahai manusia sesiapa yang menyembah
Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah
Allah “ .
Seterusnya beliau membaca firman Allah s.w.t yang bermaksud “Dan
Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh
beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia
pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi
kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak
akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun dan (sebaliknya) Allah akan
memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam
yang tidak ada bandingannya itu). Lalu umat Islam kembali kepada kewarasan
mereka yang asal dan melihat siapakah yang bakal mengganti Nabi SAW dengan
menuju ke serambi Bani Saadah bagi memilih Abu Bakar as-Siddiq RA sebagai Khalifah.
Bai’ah ini di namakan sebagai Bai’ah Khas.
Bai’ah am bagi pelantikan Abu Bakar As-Siddiq r.a menjadi
khalifah di masjid Nabi s.a.w: Adapun bai’ah umum berlaku ketika umat Islam
berhimpun di Masjid Nabawi di Madinah. Sayidina Umar bin al-Khattab RA bangun
serta menggesa orang ramai agar melakukan bai’ah terhadap Abu Bakar as-Siddiq
atas kedudukan Abu Bakar salah seorang yang paling hampir dengan Baginda
Rasulullah SAW dan merupakan salah seorang pelopor dari kalangan para sahabat
dan amat erat dengan Rasulullah SAW.
Lantaran itu umat Islam menyokong cadangan Umar mereka telah
melakukan bai’ah terhadap Abu Bakar sebagai khalifah dan bermula dari masa dan
ketika itulah Saidina Abu Bakar As-Siddiq secara rasmi menjadi Khalifah bagi
umat islam yang pertama.
Sebenarnya, bai`ah diamalkan dalam pelbagai bentuk dalam
kumpulan masyarakat Islam. Ia bukan hanya diamalkan oleh oleh kumpulan
berorientasi politik tetapi juga amalan biasa dalam perkumpulan sufi. Isu
bai`ah ini amat relevan dalam usaha menangkis ideologi pelampau kerana ia
adalah satu amalan yang juga digunapakai oleh kumpulan tersebut.
Amalan bai’ah pada asalnya bukanlah suatu yang melampau didalam
agama, namun ia seringkali disalah gunakan oleh mereka yang mengaku atas nama
Islam untuk melemahkan psikologi para pengikut dalam menjaga ketaatan mereka
kepada organisasi.
Bai`ah dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu
Bai`ah Kubra (besar) . Bai`ah seperti ini biasanya dilafazkan kepada pemimpin
negara Islam yang dilantik secara sah. Sementara Bai’ah yang kedua dikenali
sebagai Bai`ah Sughra (kecil) iaitu bai`ah untuk bersepakat dan berjanji
bersama-sama melakukan sesuatu kewajiban atau amalan.
Bai`ah Sughra ini diharuskan berdasarkan hadis yang bermaksud
“Berkata Maimunah binte Raqiqah ‘Aku mendatangi Rasulullah SAW bersama kaum
wanita. Kami membai`ahnya atas Islam. Lalu kami berkata ‘Wahai Rasulullah! Kami
membai`ah kamu untuk tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, kami tidak akan
mencuri, kami tidak akan berzina, kami tidak akan membunuh anak-anak kami dan
kami tidak akan mendatangi cerita bohong yang kami reka di antara dua tangan
dan kaki kami, kami tidak akan melakukan maksiat terhadap kau dalam perkara
yang makruf’ Berkata Rasulullah s.a.w, ‘Pada kadar yang kamu mampu dan berupaya’.....”
( Hadis Riwayat Imam Malik dan At-Termizi)
Hukum Bai`ah Sughra adalah sunat sahaja sebagai menguatkan azam
untuk melakukan kebaikan secara bersama dan menghayati sunnah Nabi SAW. Namun
bagi mereka yang telah memberi Bai`ah Sughra, wajiblah ke atasnya untuk
memenuhi janji yang dibuat dalam bai`ah itu selama mana ia tidak bercanggah
dengan syara’ dan syarat-syarat yang dinyatakan di atas. Hal ini adalah kerana
Allah taala berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman!
Tunaikanlah janji-janji kamu.” ( Surah Al-Maidah, ayat 1)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Orang-orang Islam
(diikat) bersama syarat-syarat mereka kecuali syarat-syarat yang mengharamkan
yang halal atau menghalalkan yang haram.” (Riwayat At-Termizi, Ibn Majah &
Abu Daud)
Melanggar janji sedemikian bukan atas alasan yang syar`ii adalah
berdosa. Oleh yang demikian, wajiblah bagi sesiapa yang ingin memberi bai`ah
dalam apa jua perkara memberi pertimbangan yang berat terhadapnya dan tidak
melakukannya secara mudah sahaja.
Begitu pula, sekiranya sebuah bai’ah itu diberi kepada sesuatu
perkumpulan Islam asalnya,namun pengikut kumpulan tersebut merasakan tidak
mampu kekal di dalam bai’ah berlaku ketidakselarian syara’.
Namun tidak boleh sesiapa pun mewajibkan orang lain untuk
mengikut jejaknya dalam memberi bai`ah dan menyalahkan orang lain yang tidak
melakukannya dengan tuduhan bahawa matinya akan seperti mati jahiliyah.
Adapun orang yang telah memberi bai`ah kemudian melanggar
bai`ahnya secara tidak syar`ii, walaupun dia berdosa kerana melanggar janji
tetapi tidak dikatakan sebagai terkeluar dari agama dan masuk ke neraka. Dia
tidak pula dituduh sebagai telah keluar dari jemaah kaum Muslimin. Seseorang
yang meninggalkan bai`ah yang mengandungi lafaz sumpah (wallahi, billahi,
tallahi) hendaklah ia melakukan kaffarah sebagaimana firman Allah SWT yang
bermaksud “Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak
dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah
yang kamu sengaja, maka kafarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan
sepuluh orang miskin, yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada
keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak.
Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kafaratnya puasa
selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kafarat sumpah-sumpahmu bila kamu
bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah
menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).”
Pemerintah mempunyai tanggungjawab kepada rakyatnya manakala
rakyat pula mempunyai tanggungjawab kepada pemerintah. Syeikh Abu Ubaid
Al-Qasim, salah seorang ulama Islam yang meninggal tahun 224H (884M), telah
meletakkan bab "Tanggungjawab rakyat terhadap pemimpin dan tanggungjawab
pemimpin terhadap rakyat" sebagai bab pertama di dalam kitab tulisannya
bagi menggambarkan tanggungjawab yang mesti ditunaikan keatas kedua-duanya.