Sabtu, 21 Julai 2012

Fadhilat Ta'awwuz



Tawwuz ialah ucapan " A'uzubillahi minas Syaitonir Rajim " yang diucapkan sebelum membaca Bismillah apabila kita membuat sesuatu. Ucapan Ta'awwuz itu ibarat meminta izin dan ibarat mengetuk pintu. Seumpama seseorang yang hendak masuk ke istana berkata-kata dengan Raja, maka hendaklah dibersihkan dirinya daripada kekotoran dan begitu juga dengan pembacaan Al Quran. Kerana barangsiapa yang membaca Al Quran, hendaklah dimulai dengan bacaan "A'uzu " yang akan membersihkan lidahnya daripada kekotoran yang dibawa oleh syaitan. Hukum membaca Ta'awwuz itu sunat dan sunnah.

Firman Allah :
" Jika engkau diganggu Syaitan dengan sesuatu gangguan, hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Kerana sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui." ( Al A'raf : ayat 200 )

" Apabila engkau membaca Al Quran, maka ucapkanlah " A'uzubillahi minas Syaitonir Rajim. Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai kekuatan dapat memaksa orang-orang beriman yang bertawakkal kepada Allah" ( An Nahl : 98 - 99)

Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai kekuatan dapat memaksa orang yang beriman kepada Allah untuk masuk ke dalam perangkapnya. Maka pengertian daripada ayat di atas, fahamlah kita bahawa Ta'awwuz seseorang mukmin itu adalah merupakan satu cara untuk bertawakkal kepada Allah s.w.t.

Diterangkan oleh Ibnu Abbas r.a :
" Kebesaran Al Quran itu dengan A'uzubillahi minas syaitonir Rajim dan pembukaan Al Quran itu dengan Bismillahirrahmanirrahim."
Berkata ulama' bahawa A'uzu itu adalah seperti sesapu Al Quran.. Maka setiap orang yang hendak membaca Al Quran, perlulah menyapu hatinya dari segala keraguan dan was-was. Dan berkata Al Hassan bin Abi Tolib : " Barangsiapa yang membaca A'uzubillahi minas Syaitonir Rajim " itu, maka tidak ada jalan Syaitan yang boleh menggodanya."

Kebanyakan hati manusia dikalahkan oleh Syaitan yang telah berjaya menyerap masuk ke dalam hatinya dengan pengaruh nafsu. Sehingga hati itu memilih keduniaan dan melupakan akhirat. Hal ini tidak dapat dikalahkan melainkan manusia itu kembali kepada zikir Allah ( mengingati Allah ) dan membanyakkan membaca Ta'awwuz..

Berkata Jabir bin Ubaidah Al Adawi : Saya pernah mengeluh kepada Al A'la bin Ziyad : tentang was-was yang terdapat di dalam dada saya. Maka ia berkata : Bahawa Hati itu umpama sebuah rumah yang dilalui beberapa pencuri. Pencuri-pencuri itu berusaha mencuri apa-apa yang menjadi kegemarannya di dalam rumah tersebut. Tetapi jika di dalam rumah tersebut tidak mempunyai apa-apa, maka pencuri-pencuri itu akan melalui sahaja rumah itu dan akan meninggalkannya. Yakni hati yang bersih daripada syahwat nafsu tidak akan dimasuki Syaitan.

Kerana itu Allah berfirman : " Sesungguhnya hamba-hambaKu itu tidak ada kekuasaan bagimu ( Syaitan ) ke atas mereka." ( Bani Israil : 65 )
" Bahawasanya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka diganggu oleh Syaitan, lantas mereka ingat kepada Allah, maka jika begitu mereka akan melihat." ( Al A'raf : 201 )

Untuk mengalahkan Syaitan hati perlu diisi dengan zikrullah dan iman. Dosa samada kecil atau besar adalah perosak dan peruntuh iman. Orang yang benar-benar mahu memelihara dan meningkatkan iman, janganlah melakukan dosa. Kalau terbuat cepat-cepatlah istigfar dan bertaubat kepada Allah. Jika tidak Syaitan akan menjalankan tipudayanya.

Iman juga boleh naik dan turun . Inilah sifat iman ilmu yang belum lagi meresap ke dalam hati. Kerana itu ianya mesti dibajai dan disuburkan dengan ibadah dan mujahadah. Dan perlu diingat segala amalan dan ibadah yang kita lakukan itu, mestilah dengan ikhlas dan tawadhuk. Jikalau tidak ibadah yang kita lakukan itu tidak ada nilainya di sisi Allah. Malah jikalau tidak bersungguh-sungguh kita melakukan ibadah, ibadah yang kita lakukan itu, bukan sahaja tidak mendapat apa-apa di sisi Allah, tetapi akan mendapat dosa kerana tidak beradabnya kita di sisi Allah.

Bila kita dapat melakukan ibadah dengan khusyuk dan ikhlas, maka akan timbullah di dalam hati rasa kebesaran Allah, hati akan lebih mengenal Allah, takut kepada Allah, menghina diri dan malu dengan Allah, takut ancaman Allah dan harap akan nikmat Allah, terasa gerun dan cinta kepada Allah. Bila telah masuk perasaan-perasaan tersebut di dalam hati, secara sendirinya hati akan beramal dengan amalan yang baik dan sentiasa mengingati Allah dengan zikrullah yang akhirnya mendatangkan ketenangan pada batin manusia dan akan memundurkan Syaitan daripada menguasai hati kita.

Rasulallah s.a.w bersabda : " Tergesa-gesa itu daripada Syaitan dan tenang itu dari Allah."

Mengingati Allah sehingga melahirkan tenang bukannya senang. Ramai orang yang beribadah dan mengingati Allah, tetapi jiwa mereka kusut. Mengapa ?. Kerana ibadah mereka itu tidak dijiwai dan dijagai adabnya. Tuntutan ibadah tidak dilaksanakan.

Ramai manusia yang fikir apabila menunaikan ibadah kepada Allah, mereka telah melaksanakan tuntutan ibadah. Belum selesai lagi. Kerana tuntutan ibadah itu ada hubungannya dengan manusia. Ibadah melahirkan akhlak. Akhlak melahirkan kasih sayang dan kemesraan sesama manusia.

Syaitan ini sangat pandai di dalam menjalankan tipudayanya. Adakalanya digesa kita beribadah kepada Allah tetapi dilalaikan kita dengan adab dan akhlak kepada manusia. Jikalau kasih sayang sesama manusia belum wujud di dalam diri kita, ertinya ibadah yang kita lakukan masih belum sempurna. Kerana itu ramai yang kita lihat rajin sembahyang, rajin berpuasa, rajin pergi umrah tetapi hati mereka tidak tenang.

Kerana apa ? Kerana mereka rajin pergi umrah tetapi jiran mereka kelaparan mereka tidak ambil tahu. Mereka rajin bersembahyang, tetapi jiran mereka tidak ada pakaian, mereka tidak peduli. Tidak ada kasih sayang, tidak ada silaturrahim. Maka hasilnya tiada keberkatan dan ketenangan. Kerana apa ? Kerana ibadah yang dilakukan itu bukan hasil dari Iman yang sempurna. Kerana Iman yang sempurna itu akan menguatkan hubungan hati dengan Allah dan hubungan hati dengan manusia.

Tanpa mengasihi manusia, kasih sayang Allah tidak akan diperolehi. Barangsiapa yang kasih kepada makhluk di bumi, maka dia akan dikasihi oleh makhluk di langit. Dan Allah akan campakkan kehebatan dan ketenangan kepada hamba-hamba yang dipilihNya, lalu menyelamatkan mereka dari dikuasai oleh nafsu dan Syaitan laknatullah alaih di dalam melaksanakan ketaatan dan ibadah kepada Allah s.w.t. Oleh itu perbanyakkanlah membaca A'uzubillahi minas Syaitonir Rajim sebagai satu zikir dan senjata di dalam usaha kita menghindarkan diri kita daripada gangguan dan godaan Syaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan