Khamis, 26 Julai 2012

DOA UNTUK ORANG SAKIT




CARA seorang Muslim melawat saudaranya yang sakit berbeza dengan cara yang dilakukan oleh bukan Islam kerana disertakan dengan jampi dan doa. Maka di antara sunnahnya ialah kita hendaklah mendoakan si sakit dan menjampinya (membaca bacaan tertentu) yang ada diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.
Contohnya: "Imam al-Bukhari menulis" "Bab Du'a al-'Aa'id lil Maridh" (Bab Doa Menziarahi Orang Sakit) dan menyebutkan hadis Aisyah bahawa Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit atau orang yang menderita sakit itu didatangkan kepada baginda SAW, Baginda mengucapkan (doa yang bermaksud): "Hilangkan penyakit ini, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit." (Riwayat al-Bukhari dalam Fathul-Bari No.5675).
Dan Nabi SAW juga pernah menjenguk Sa'ad bin Abi Waqash kemudiannya Baginda SAW mendoakannya (yang bermaksud): "Ya Allah sembuhkanlah Sa'ad dan sempurnakanlah hijrahnya." (Riwayat al-Bukhari dalam fathul-Bari No.5659).
Ada sesetengah orang mengemukakan pandangan tidak perlu didoakan kesembuhan kerana mereka beralasan bahawa sakit dapat menghapuskan dosa dan mendatangkan pahala seperti disebutkan dalam beberapa hadis. Bagi kemusykilan itu, al-Hafiz Ibnu Hajar memberikan jawapan demikian, "Sesungguhnya doa itu adalah ibadat dan tidaklah menafikan antara pahala dan kafarat (penghapus dosa).
Sebab keduanya diperoleh pada permulaan sakit dan dengan sikap sabar terhadapnya. Adapun orang yang mendoakan, akan mendapat dua macam kebaikan, iaitu mungkin memperoleh apa yang dimaksudkan atau diganti dengan mendapatkan manfaat lain atau ditolaknya suatu bahaya yang mana semuanya itu adalah kurniaan Allah SWT."
Memanglah seorang Muslim itu hendaklah bersabar ketika menderita sakit atau ditimpa musibah, tetapi hendaklah juga ia meminta keselamatan kepada Allah SWT seperti hadis sabda Baginda SAW: "Janganlah kamu mengharapkan bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah SWT. Tetapi apabila kamu bertemu musuh, maka bersabarlah dan ketahuilah bahawasanya syurga itu di bawah bayang-bayang pedang." (Hadis Muttafaqun 'alaih daripada Abdullah bin Abi Aufa).
Dalam hadis Ibnu Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda: "Perbanyakkan berdoa memohon 'afiat (keselamatan)." (Riwayat al-Tabrani dan adh-Dhiya').
Salah satu doa Nabi SAW (yang bermaksud): "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu penjagaan daripada yang terlarang dan keselamatan dalam urusan dunia dan agamaku, keluarga dan hartaku." (Hadis riwayat al-Bazzar daripada Ibn Abbas).
Di antara doa lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amir, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang menjenguk orang sakit, maka hendaklah ia mendoakannya dengan mengucapkan, "Ya Allah, sembuhkanlah hamba-Mu, agar dia dapat membunuh musuhmu atau berjalan kepada-Mu untuk melakukan solat." Maksud musuh di sini mungkin orang-orang kafir yang memerangi umat Islam atau Iblis dan tenteranya
Selain itu ada lagi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas berhubung sabda nabi SAW: "Barang siapa yang menjenguk orang sakit yang belum tiba ajalnya, lalu ia mengucapkan doa ini di sisinya sebanyak tujuh kali (yang bermaksud "Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi 'arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu") nescaya Allah SWT akan menyembuhkannya daripada penyakit itu. (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).
Di antara sunnahnya lagi iaitu kita harus memberi harapan sembuh kepada pesakit seperti ucapan yang sering diucapkan oleh Baginda SAW iaitu "La Ba'sa Tohurun, Insya-Allah" (maksudnya: tidak apa-apa, bersih (sembuh), Insya-Allah). Maksud tidak apa-apa itu ialah jangan bimbang kerana penyakit yang dihidap akan sembuh.
Ucapan ini menimbulkan keyakinan, sekali gus menjadi doa semoga hilang penyakit dan penderitaannya serta kembali sihat di samping dapat menghapuskan dosa-dosanya.
Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan hadis daripada Abu Sa'is al-Khudri secara marfu' (maksudnya): "Apabila kamu menjenguk orang sakit, maka hendaklah kamu beri harapan akan panjang umur. Kerana yang demikian itu, meskipun tidak dapat menolak takdir sedikit pun, tetapi dapat menyenangkan hatinya." (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi).
Sementara itu, bagi pesakit yang tiada harapan untuk sembuh, mengikut Sunnatullah- maka hendakah si pelawat itu memohon kepada Allah SWT agar Dia memberikan kasih sayang dan tunjukkanlah sikap yang lemah lembut kepadanya dan meringankan penderitaannya.

Rabu, 25 Julai 2012

APA ITU SEKULARISME ?



Kita tidak perlu membahas dan memperkatakan tentang erti perkataan sekular ini dari sudut sejarah, siapakah tokoh yang menuturkannya lebih dahulu, di zaman bila dan mengapa timbul perkataan ini kerana itu semua tidak penting bagi kita.

Apa yang penting bagi kita, sebagai pegangan dan panduan agar kita tidak terjebak oleh faham sekular atau sekularisme ini ialah pengertian sekular itu sendiri mengikut pandangan Islam. Oleh itu perbahasan secara falsafah serta merujuk kepada sejarah dan tokoh-tokoh yang memperkatakan perkataan itu, tidak perlu kita bawa di sini. Ditakuti artikel ini terlalu panjang. Jadi kita hanya ambil yang perlunya sahaja untuk menjadi pegangan kita bersama. Agar di dalam kehidupan kita, walaupun di dalam bidang apa pun, kita tidak terjebak atau menempuh jalan sekular ini.

Sekarang marilah kita menghurai faham sekular ini mengikut pandangan Islam.
Faham sekular ialah mengendalikan urusan kehidupan di dunia secara terpisah daripada agama, ia tidak ada hubungan dengan Tuhan atau tidak ada hubungkait dengan Akhirat. Terpisah ini tidak kira sama ada di bidang ekonomi, politik, pendidikan, pentadbiran, kebudayaan, perhubungan dan lain-lain lagi. Dengan kata-kata yang lain, faham sekular itu ialah faham keduniaan semata-mata. la tidak ada sangkut paut dengan Akhirat.

Ertinya, bagi orang yang berfaham sekular, hidup di dunia ini hanya habis di dunia. Kalau untung pun hanya berlaku di dunia. Kalau rugi pun hanya berlaku di dunia. Sama ada susah atau senang, hanya di dunia. la tidak akan dipersoalkan lagi di Akhirat. Dosa dan pahala tidak masuk kira di sini kerana kehidupan itu hanya di dunia semata-mata.

Di dalam faham sekular, syariat tidak diambil kira. Syariat tidak ada tempat dalam kehidupan. Tuhan tidak campur tangan di dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian manusia boleh buat apa sahaja. Yang penting mendapat untung. Yang diperlukan adalah pembangunan dan kemajuan. Yang mustahak mendapat kemenangan dan kejayaan walau apa cara sekalipun. Walau terpaksa menghalalkan cara. Halal dan haram jangan difikirkan. Pantang larang jangan diambil kira.

Mengikut fahaman sekular, dunia bukan jambatan untuk Akhirat atau bukan tanaman untuk Akhirat. Segala apa yang berlaku di dunia ini hanya habis di dunia semata-mata. Tidak timbul soal dosa dan pahala dalam faham sekular. Tidak ada kehidupan di Akhirat atau tidak ambil pusing kehidupan di Akhirat. Kalaupun percaya dengan hari Akhirat, tetapi acuh tidak acuh. Seolah-olah Akhirat itu hendak dilupakan atau tiada. Bahkan sesetengah orang tidak senang dengan kehidupan Akhirat. Sebut sahaja Akhirat, hati benci, mulut mencemik. Orang yang menyebut Akhirat dirasakan kolot dan sudah ketinggalan zaman.

Golongan-Golongan Sekular
Setelah kita menghurai dan membahaskan erti faham sekular atau sekularisme maka di sini kita faham bahawa mereka yang berfaham sekular itu boleh dibahagi kepada beberapa kategori. Di antaranya seperti berikut:-

1.    Golongan yang berfaham sekular sejati (pure)
Golongan yang tidak percaya langsung adanya Tuhan dan adanya kehidupan Hari Akhirat. Agama dianggap candu kepada manusia. la adalah bikinan manusia. Wujudnya alam ini adalah secara nature atau semula jadi. Orang atau golongan yang berpegang dengan faham ini adalah orang yang berfaham komunis, atheis atau free thinker. Golongan ini adalah orang yang berfahaman sekular yang sejati atau yang pure.

2.    Golongan orang-orang yang berfaham sekular yang ter-sesat.
Golongan orang-orang kafir yang percaya dengan Tuhan, dengan hari Akhirat dan percaya dengan agama tetapi ti-dak kenal Tuhan. Keyakinannya dengan hari Akhirat tidak tepat. Agamanya tersesat. Kehidupan dunianya terpisah dari agama. Dalam urusan kehidupan di dunianya, seolah-olah Tuhan tidak campur tangan. Inilah golongan faham sekular yang tersesat.

3.    Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujud-nya Tuhan.
Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujudnya Tuhan dan pengenalannya tentang Tuhan tepat. Percaya dengan hari Akhirat secara tepat. Namun Islamnya hanya di sudut ibadah. Persoalan kehidupan seperti ekonomi, politik, pendidikan, perjuangan dan lain-lain tidak boleh dicampur aduk dengan Islam kerana kejahilan. Syariat Islam tidak ada tempat di dalam kehidupan kecuali di sudut ibadah sahaja. Selain ibadah, mereka boleh menerima apa sahaja pandangan ideologi atau akal fikiran. Itulah golongan sekular disebabkan fasik.

4.    Golongan sekular disebabkan zalim.
Orang Islam seperti golongan ketiga tadi tetapi yakin bahawa Islam itu adalah agama yang syumul. la adalah agama seluruh kehidupan. Islam adalah agama ibadah, agama politik, agama pentadbiran, agama ekonomi, agama pen-didikan tetapi mungkin kerana takut dengan golongan-golongan tertentu, atau tidak sanggup menerima risiko yang berat, kerana kepentingan peribadi atau kerana malu dan takut dituduh kolot maka berlakulah syariat Islam ditinggalkan melainkan di sudut ibadah. Di aspek-aspek kehidupan yang lain, syariat Islam tidak menjadi disiplin dan peraturan. Inilah golongan sekular disebabkan zalim.

5.    Golongan sekular yang tertukar nawaitu.
Orang Islam yang mengerjakan ibadah, berjuang, berekonomi, berpendidikan, berdakwah, berpolitik, berhubung dan lain-lain lagi walaupun mengikut syariat tetapi bukan kerana Allah Taala. Semua itu dibuat kerana riyak, ujub, nama, glamour, pangkat, wang ringgit, sama ada disedari atau tidak. Oleh kerana itu pahalanya tidak sampai di Akhi-rat. Itulah golongan sekular disebabkan tertukar nawaitu atau niatnya.

6. Golongan sekular yang disebabkan adanya unsur-unsur sekular atau mementingkan dunia.
Golongan yang lebih halus lagi daripada itu ialah apabila seseorang Islam itu, segala usaha-usahanya mengikut syariat tetapi oleh kerana terlalu membesarkan kehidupan dunia daripada kehidupan Akhirat, dia tidak sanggup mengeluar-kan zakat lalu menjadi bakhil. Dia tidak suka membuat kebaikan, tidak suka menolong orang, tidak suka berse-dekah, suka mengumpul harta sahaja dan menjadi tamak. Itulah golongan sekular disebabkan adanya unsur-unsur sekular atau mementingkan dunia.

Begitulah erti faham sekular atau sekularisme mengikut pandangan Islam yang saya faham secara ringkas. Jadi faham sekular ini hanya mementingkan dunia semata-mata. Percaya dengan hari Akhirat tetapi tidak mengambil berat terhadap Akhirat. Sengaja melupa-lupakan atau acuh tidak acuh dengan Akhirat kerana hati telah terpaut dengan kehidupan dunia. Apatah lagi kalau seseorang itu tidak percaya langsung dengan hari Akhirat. Kehidupan itu hanya di dunia semata-mata. Lebih-lebih lagilah orang itu berfaham sekular yang sejati atau orang yang berfaham keduniaan yang benar-benar pure.

Oleh yang demikian di akhir zaman ini, majoriti penduduk dunia ini berfaham sekular. Sama ada mereka berkeyakinan bahawa kehidupan ini hanya habis di dunia atau yang masih yakin dengan kehidupan di Akhirat tetapi dari segi hati dan sikapnya, dia lebih mementingkan kehidupan di dunia dari kehidupan Akhirat.

Di sini jugalah bahawa umat Islam pun telah ramai yang menganut faham ini. Kalau tidak berfaham sekular yang tulen pun setidak-tidaknya tempias-tempiasnya telah menyerang umat Islam. Di sinilah rahsianya mengapa umat Islam tidak boleh bersatu. Hati umat Islam telah dirosakkan oleh faham sekular atau faham sekularisme.

Allahu’aklam..





Isnin, 23 Julai 2012

QADA SOLAT BAGI WANITA KEDATANGAN HAID




Kebanyakkan perempuan/wanita/muslimah (wanita Islam) tak berapa perasan ATAU lebih malang lagi jika memang tak tahu menahu akan perkara ini…

Ilmu Fekah, khususnya BAB HAID yang berkaitan dengan diri wanita itu sendiri amat kurang dikuasai atau difahami secara menyeluruh oleh kebanyakkan wanita Islam…kenapa hal ini boleh terjadi??
Amat susah untuk mencari seorang guru/ustazah/…yang betul-betul pakar dalam bab ‘Orang-orang Perempuan ini’ kecuali terpaksa @ mesti dirujuk kepada lelaki/ustaz-ustaz yang bernama LELAKI jugak…

Contohnya yang paling simple ; bila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam;
“adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqhada’kan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?”

pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan:
“alaa…itu soalan mudah jee..bila ‘datang period’ maka solat tu tak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa jee..itulah yang kami belajar sejak mula-mula ‘bergelar wanita’ dulu”
Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa…
Sebenarnya TAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun. Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur. Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama’ terdahulu.


” Fi adab Mua’sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah…”
perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut :
PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID:

Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid :

1.Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asar sebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar.

2.Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat    baginya solat Isya’ sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya’.
“Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam” (Imam Al-Ghazali)

HURAIAN MASALAH :
1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor?
- Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar, maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas)

2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama?
- Kerana di dalam hukum menjama’ (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama’ dan diqosarkan bersama solat Zohor.
- Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat (menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor.

3. Dalam perkara solat subuh pun sama :
-perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh, kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya’ sebab darahnya kering masih dalam waktu Isya’.
-Solat Isya’ juga boleh dijama’ (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib.
-Di atas kecuainnya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku)
-maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu di qadha juga solat maghribnya.

Sila rujuk : Kitab Ihya’ Ulumuddin (Jilid ke 2) cetakan Darul Nahwan Nil / Darul Haram Lil Turath, Kaherah.

Diharapkan tulisan ini memberi kesedaran kepada seluruh yang bergelar Muslimah untuk lebih mendalami diri mereka dengan ilmu ‘Fiqhul Nisa’ ini yang berkaitan dengan diri mereka sendiri.


10 GODAAN SYAITAN KETIKA SOLAT


Assalamualaikum semua,setiap kali kita melakukan ibadah pasti kita akan berasa terganggu dan tidak khusyuk walaupun kita cuba untuk khusyuk kerana syaitan itu tetap mencuba untuk mengganggu kita solat dengan apa cara sekalipun. Antara gangguan ketika melakukan solat adalah:

1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram
Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.
Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.
Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.
Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.
“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan
Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan
Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.
Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.
Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat
Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.
Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.
Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu
Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.
“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat
Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk
Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).
Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat
Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).
Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

10) Terasa ingin buang angin atau buang air
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).
Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.


Wallahu'aklam,,,


10 CIRI AKHLAK TERPUJI


Akhlak berasal dari perkataan Al Khuluq. Al-Khuluq bererti tabiat atau tingkah laku. Menurut Iman Al Ghazali, akhlak merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang telah sebati dan daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.
Tepatlah apa yang dikatakan oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, “Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota manusia, sehingga tidak ada suatu perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa yang ada dalam hati manusia”.

Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Umpama pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik akhlaknya, sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka baiklah pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan cabangnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
  
“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”
(Al- A’raf: 58)

Akhlaq yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya (yang bermaksud, antara lain:

“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”.

Hal ini ditegaskan lagi oleh ayat al-Qur’an dalam firman Allah:

“Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”
(Al-Qalam: 4)
  
Juga dalam firman Allah swt. lagi:

Orang –orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.
(Al Hajj, 22 : 41)

Firman Allah swt. lagi:

Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak–anak yatim, orang-orang miskin, (yang memerlukan pertolongngan) dan orang-orang yang meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
(Al-Baqarah, 2: 177)

Akhlaq yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak. Sebuah athar menyatakan (antara lain, bermaksud):

“Bukanlah iman itu hanya dengan cita – cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam didalam hati dan dibuktikan dengan amalan”

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah ditanya: Apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlaq (Husnul Khulq). Bila ditanya tentang kejahatan, baginda menjawab: Akhlaq yang buruk (Su’ul khalq).

Diriwayatkan dari Annawas bin Sam’an ra. berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah saw. Tentang bakti dan dosa, maka jawab Nabi saw. “Bakti itu baik budi pekerti, dan dosa itu ialah semua yang meragukan dalam hati dan tidak suka diketahui orang.” (HR. Muslim)

Abu Darda berkata, “Bersabda Nabi saw, “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (HR. At Tirmidzi)

Aisyah ra. Berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam.” (HR. Abu Daud)

Jabir ra. berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya.” (HR. At Tirmidzi).  

Kekuatan akhlak lahir melalui proses panjang yang memerlukan kesediaan untuk sentiasa memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam. Seorang ulama menjelaskan thariqah (jalan) untuk membina akhlak islami adalah dengan kemahuan untuk melaksanakan latihan (tadribat) dan pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki kesempatan yang sama untuk menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh mana usaha kita untuk mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang sering dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim hakiki. Justeru menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung zaman. Gejala keruntuhan akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan seumpamanya meruntun jiwa kita selaku pendokong agama. Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu tahap yang minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan terus Pencipta Yang Maha Esa.

Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.

Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman :

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”
 (Ar-Ra’d: 11)
Di antara ciri-ciri akhlaq yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya ia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlaq-akhlaq berikut:

1.     Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat

Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadith Rasulullah yang berbunyi:  

“Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar RasulullahSallallahu’alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)   

Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara’ adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith baginda (antara lain, bermaksud):

“Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan”

2.     Memelihara penglihatan.

Seseorang muslim itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat orang –orang mu’min supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah, firman Allah Subahanu Wata,ala:

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".
 (An-Nur: 30)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula bersabda (antara lain, bermaksud):

“Pandangan itu ada satu panahan dari panahan iblis”

Baginda juga mengingatkan (antara lain, bermaksud):

“Hendaklah kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan wajah kamu.”
                                          (Hadith Riwayat At Tabrani)

3. Memelihara Lidah

Seseorang muslim itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan kata-kata yng tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. “ketahuilah, seorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang.”

Sebenarnya banyak dari hadith-hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas empunya diri (antara lain):

“Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya”
(Hadith riwayat Al Tarmizi)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda:

“Bukanlah ia seorang mu’min (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji.”
(Hadith riwayat At Tarmizi)

Sabda baginda lagi:

“Sesiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.”
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)


4. Bersifat Pemalu.

Seorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup seta memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat seumpamanya. Diceritakan dari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

“Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan sifat malu ialah satu cabang dari Iman”

Berhubung dengan sifat malu ini para ulama’ mengatakan: “Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.

5. Bersifat Lembut dan Sabar

Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan da’wah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal Islami sehingga himmah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan da’wah.

Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan da’wah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabi’atnya. Da’i akan menyampaikan da’wahnya kepada orang-orang jahil dan orang-orang ‘alim, orang yang berfikiran terbuka dan yang emosional (sensitif), orang yang mudah bertolak ansur dan yang keras kepala, orang yang tenang dan yang mudah tersinggung. Oleh yang demikian ia wajib menyampaikan da’wah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah lembut.

Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-quran dan hadith Nabi menganjur dan mengarahkan agar seorang da’i itu berakhlak dengan sifat-sifat sabar, lemah lembut dan berhati-hati.

Arahan-arahan Dari Al-Qur’an:

Di antara arahan-arahan al-qur’an ialah:

Firman-firman Allah:

“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”.
(Al-Syura, 42: 43)

“Maafkanlah mereka dengan cara yang baik”
(Al-Hijr, 15: 85)

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”.
(Az-Zumar, 39: 10)

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”.
(An-Nur, 24 : 22)

“Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan”.
(Al-Furqan 25 :63)

 Arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi.

Di antara arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi ialah:

Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud, antara lain):

“Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.”

“Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu.”
  
“Apabila Allah Subhanahuwata’ala telah menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun menyeru; “Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan”. Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan kamu”. Mereka menjawab: “Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal”

Contoh-contoh praktikal dari Nabi:

1.      Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati dengan          pembahagian rampasan perang) berkata:“Demi Allah, sesungguhnya ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat keredhaan Allah”.Setelah diceritakan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam baginda bersabda:

“Semoga Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia sabar”.

2.      Anas Radiyallahu anh telah berkata:

“Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memasuki sebuah masjid. Ia memakai kain selendang buatan najran yang kasar buatannya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi datang dari arah belakang baginda lalu menarik kain tersebut dari belakang sehingga meninggalkan bekas di leher baginda. Badwi tersebut berkata : “Wahai Muhammad, berikanlah kepada kami harta Allah yang ada di sisimu, lalu Rasulullah berpaling kepadanya dengan wajah yang tersenyum dan baginda bersabda: “Perintahkan kepada yang berkenaan supaya berikan kepadanya.”

3.      Abu Hurairah menceritakan:

“Bahawa seorang Arab Badwi telah berkata kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: “Wahai Muhammad bawalah gandum ke atas dua ekor untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia bukan harta engkau dan bukan juga harta bapa engkau”. Kemudian ia menarik kain selendang Rasulullah sehingga meninggalkan kesan kemerahan di leher baginda. Lalu Rasulullah memerintahkan supaya membawa kepada Badwi tersebut seguni gandum dan tamar”.

4.      Al-Tabrani menceritakan:

“Bahawa seorang wanita berkata lucah (yakni ucapan yang menimbulkan berahi) kepada sekelompok lelaki, kemudian ia lalu dihadapan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam ketika Nabi sedang memakan roti berkuah di atas tanah. Kemudian wanita itu berkata: “Lihatlah kamu kepadanya, ia duduk seperti seorang hamba abdi dan ia makan seperti seorang hamba abdi”.

5.      Abu Hurairah radiallahu anh menceritakan:

“Bahawa seorang leleki berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai kaum kerabat yang selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan hubungan dengan saya, saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat terhadap saya, saya berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap keras terhadap saya.” Lalu baginda bersabda : “Jika sekiranya engkau berbuat seperti yang engkau katakan seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan mendapat pertolongan dari Allah selama engkau berbuat demikian”.

6.      Pada suatu ketika datang seorang yahudi menuntut hutang dengan Rasulullah dengan berkata: “Kamu dari Bani Abd.Manaf adalah bangsa yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang”. Ketika itu Umar Ibn Al-Khattab ada bersama dan ia hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah berkata kepadanya: “Wahai Umar, sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.

7.      Diriwyatkan bahawa Nabi Isa Alaihissalam bersama para pengikut setianya (Hawariyyun) dari satu kampung ke satu kampung yang lain kerana berda’wah. Lalu di dalam da’wahnya itu ia bercakap kepada manusia dengan cara yang baik, sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk, kutukan dan maki-hamun. Para pengikut setia itu merasa hairan terhadap tindakan itu lalu mereka bertanya tentang rahsia perbuatan sedemikian. Baginda berkata: “Setiap orang itu mengeluarkan (membelanjakan) apa yang ada padanya”.

Semua peristiwa di atas dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang menguatkan lagi tuntutan ke atas para penda’wah supaya bersifat lemah-lembut, sabar dan belapang dada khususnya apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu datangnya dari kaum kerabat, sahabat-handai, orang-orang yang dikasihi, teman-teman rapat dan saudara mara kerana sifat-sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu akan menghasilkan kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan serta perbezaan. Cukuplah oleh seorang penda’wah itu mendapat apa yang diredhai oleh Allah.

6. Bersifat Benar dan Jujur.

Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang dilaknat.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud, antara lain):

“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.
(Muttafaqun ‘alaihi)

7. Bersifat rendah diri

Seseorang mislim mestilah bersifat tawadhu’ atau merendah diri khususnya terhadap saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullh Sallallahu’alaihiwasallam sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda (antara lain, bermaksud):

“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam hadith qudsi Allah berfirman :

“Kemuliaan itu ialah pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya”.
(Hadith Qudsi riwayat Muslim)

8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat

Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi penyayang”.
(Al-Hujurat, 49 : 12)


Allah berfirman lagi:

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
(Al-Ahzab, 33 : 58)

Dan Rasulullah bersabda (antara lain, bermaksud):

“Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.”
(Hadith riwayat Abu Daud)


9. Bersifat pemurah

Seorang muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, berharta dan berpangkat gugur dari jalan ini, lantaran rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Qur’an Al-Karim sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.

Diantaranya:

“Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka.”
 (Al-Anfal, 8: 3)

“Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak dianiayai”.
(Al-Baqarah, 2 : Ayat 272)

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (antara lain, bermaksud):

“Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dua malaikat lalu seorang darinya berdo’a : “Ya Allah, berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala malaikat yang ke dua berdo’a : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada sihamba yang bakhil ini”.

10. Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)

Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw. Firman Allah swt yang bermaksud:

"    Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah " ( Surah al Ahzab : Ayat 21 )