Kita tidak perlu membahas dan memperkatakan tentang erti
perkataan sekular ini dari sudut sejarah, siapakah tokoh yang menuturkannya
lebih dahulu, di zaman bila dan mengapa timbul perkataan ini kerana itu semua
tidak penting bagi kita.
Apa yang penting bagi kita, sebagai pegangan dan panduan
agar kita tidak terjebak oleh faham sekular atau sekularisme ini ialah
pengertian sekular itu sendiri mengikut pandangan Islam. Oleh itu perbahasan
secara falsafah serta merujuk kepada sejarah dan tokoh-tokoh yang memperkatakan
perkataan itu, tidak perlu kita bawa di sini. Ditakuti artikel ini terlalu
panjang. Jadi kita hanya ambil yang perlunya sahaja untuk menjadi pegangan kita
bersama. Agar di dalam kehidupan kita, walaupun di dalam bidang apa pun, kita
tidak terjebak atau menempuh jalan sekular ini.
Sekarang marilah kita menghurai faham sekular ini mengikut
pandangan Islam.
Faham sekular ialah mengendalikan urusan kehidupan di dunia
secara terpisah daripada agama, ia tidak ada hubungan dengan Tuhan atau tidak
ada hubungkait dengan Akhirat. Terpisah ini tidak kira sama ada di bidang
ekonomi, politik, pendidikan, pentadbiran, kebudayaan, perhubungan dan
lain-lain lagi. Dengan kata-kata yang lain, faham sekular itu ialah faham
keduniaan semata-mata. la tidak ada sangkut paut dengan Akhirat.
Ertinya, bagi orang yang berfaham sekular, hidup di dunia
ini hanya habis di dunia. Kalau untung pun hanya berlaku di dunia. Kalau rugi
pun hanya berlaku di dunia. Sama ada susah atau senang, hanya di dunia. la
tidak akan dipersoalkan lagi di Akhirat. Dosa dan pahala tidak masuk kira di
sini kerana kehidupan itu hanya di dunia semata-mata.
Di dalam faham sekular, syariat tidak diambil kira. Syariat
tidak ada tempat dalam kehidupan. Tuhan tidak campur tangan di dalam kehidupan
manusia. Oleh yang demikian manusia boleh buat apa sahaja. Yang penting
mendapat untung. Yang diperlukan adalah pembangunan dan kemajuan. Yang mustahak
mendapat kemenangan dan kejayaan walau apa cara sekalipun. Walau terpaksa
menghalalkan cara. Halal dan haram jangan difikirkan. Pantang larang jangan
diambil kira.
Mengikut fahaman sekular, dunia bukan jambatan untuk Akhirat
atau bukan tanaman untuk Akhirat. Segala apa yang berlaku di dunia ini hanya
habis di dunia semata-mata. Tidak timbul soal dosa dan pahala dalam faham
sekular. Tidak ada kehidupan di Akhirat atau tidak ambil pusing kehidupan di
Akhirat. Kalaupun percaya dengan hari Akhirat, tetapi acuh tidak acuh.
Seolah-olah Akhirat itu hendak dilupakan atau tiada. Bahkan sesetengah orang
tidak senang dengan kehidupan Akhirat. Sebut sahaja Akhirat, hati benci, mulut
mencemik. Orang yang menyebut Akhirat dirasakan kolot dan sudah ketinggalan
zaman.
Golongan-Golongan Sekular
Setelah kita menghurai dan membahaskan erti faham sekular
atau sekularisme maka di sini kita faham bahawa mereka yang berfaham sekular
itu boleh dibahagi kepada beberapa kategori. Di antaranya seperti berikut:-
1. Golongan yang
berfaham sekular sejati (pure)
Golongan yang tidak percaya langsung adanya Tuhan dan adanya
kehidupan Hari Akhirat. Agama dianggap candu kepada manusia. la adalah bikinan
manusia. Wujudnya alam ini adalah secara nature atau semula jadi. Orang atau
golongan yang berpegang dengan faham ini adalah orang yang berfaham komunis,
atheis atau free thinker. Golongan ini adalah orang yang berfahaman sekular
yang sejati atau yang pure.
2. Golongan
orang-orang yang berfaham sekular yang ter-sesat.
Golongan orang-orang kafir yang percaya dengan Tuhan, dengan
hari Akhirat dan percaya dengan agama tetapi ti-dak kenal Tuhan. Keyakinannya
dengan hari Akhirat tidak tepat. Agamanya tersesat. Kehidupan dunianya terpisah
dari agama. Dalam urusan kehidupan di dunianya, seolah-olah Tuhan tidak campur
tangan. Inilah golongan faham sekular yang tersesat.
3. Golongan
orang-orang Islam yang yakin dengan wujud-nya Tuhan.
Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujudnya Tuhan
dan pengenalannya tentang Tuhan tepat. Percaya dengan hari Akhirat secara
tepat. Namun Islamnya hanya di sudut ibadah. Persoalan kehidupan seperti
ekonomi, politik, pendidikan, perjuangan dan lain-lain tidak boleh dicampur
aduk dengan Islam kerana kejahilan. Syariat Islam tidak ada tempat di dalam
kehidupan kecuali di sudut ibadah sahaja. Selain ibadah, mereka boleh menerima
apa sahaja pandangan ideologi atau akal fikiran. Itulah golongan sekular
disebabkan fasik.
4. Golongan sekular
disebabkan zalim.
Orang Islam seperti golongan ketiga tadi tetapi yakin bahawa
Islam itu adalah agama yang syumul. la adalah agama seluruh kehidupan. Islam
adalah agama ibadah, agama politik, agama pentadbiran, agama ekonomi, agama
pen-didikan tetapi mungkin kerana takut dengan golongan-golongan tertentu, atau
tidak sanggup menerima risiko yang berat, kerana kepentingan peribadi atau
kerana malu dan takut dituduh kolot maka berlakulah syariat Islam ditinggalkan
melainkan di sudut ibadah. Di aspek-aspek kehidupan yang lain, syariat Islam
tidak menjadi disiplin dan peraturan. Inilah golongan sekular disebabkan zalim.
5. Golongan sekular
yang tertukar nawaitu.
Orang Islam yang mengerjakan ibadah, berjuang, berekonomi,
berpendidikan, berdakwah, berpolitik, berhubung dan lain-lain lagi walaupun
mengikut syariat tetapi bukan kerana Allah Taala. Semua itu dibuat kerana
riyak, ujub, nama, glamour, pangkat, wang ringgit, sama ada disedari atau
tidak. Oleh kerana itu pahalanya tidak sampai di Akhi-rat. Itulah golongan
sekular disebabkan tertukar nawaitu atau niatnya.
6. Golongan sekular yang disebabkan adanya unsur-unsur
sekular atau mementingkan dunia.
Golongan yang lebih halus lagi daripada itu ialah apabila
seseorang Islam itu, segala usaha-usahanya mengikut syariat tetapi oleh kerana
terlalu membesarkan kehidupan dunia daripada kehidupan Akhirat, dia tidak
sanggup mengeluar-kan zakat lalu menjadi bakhil. Dia tidak suka membuat
kebaikan, tidak suka menolong orang, tidak suka berse-dekah, suka mengumpul
harta sahaja dan menjadi tamak. Itulah golongan sekular disebabkan adanya
unsur-unsur sekular atau mementingkan dunia.
Begitulah erti faham sekular atau sekularisme mengikut
pandangan Islam yang saya faham secara ringkas. Jadi faham sekular ini hanya
mementingkan dunia semata-mata. Percaya dengan hari Akhirat tetapi tidak
mengambil berat terhadap Akhirat. Sengaja melupa-lupakan atau acuh tidak acuh
dengan Akhirat kerana hati telah terpaut dengan kehidupan dunia. Apatah lagi
kalau seseorang itu tidak percaya langsung dengan hari Akhirat. Kehidupan itu
hanya di dunia semata-mata. Lebih-lebih lagilah orang itu berfaham sekular yang
sejati atau orang yang berfaham keduniaan yang benar-benar pure.
Oleh yang demikian di akhir zaman ini, majoriti penduduk
dunia ini berfaham sekular. Sama ada mereka berkeyakinan bahawa kehidupan ini
hanya habis di dunia atau yang masih yakin dengan kehidupan di Akhirat tetapi
dari segi hati dan sikapnya, dia lebih mementingkan kehidupan di dunia dari kehidupan
Akhirat.
Di sini jugalah bahawa umat Islam pun telah ramai yang
menganut faham ini. Kalau tidak berfaham sekular yang tulen pun
setidak-tidaknya tempias-tempiasnya telah menyerang umat Islam. Di sinilah
rahsianya mengapa umat Islam tidak boleh bersatu. Hati umat Islam telah
dirosakkan oleh faham sekular atau faham sekularisme.
Allahu’aklam..