Manusia adalah makhluk dwidimensi yang merangkumi kedua-dua
unsur fizikal dan spiritual yang saling lengkap-melengkapi dan memerlukan
antara satu sama lain. Akan tetapi unsur
kerohanianlah yang merupakan aspek unik dan utama yang melonjakkan martabat
manusia kepada sebaik-baik kejadian.
Akal dan pemikiran manusia adalah cirri utama yang
membezakannya daripada seluruh kejadian yang lain. Ianya merupakan satu manifestasi
tanggungjawab dan kepintaran untuk mengurus dan mentadbir kejadian
disekelilingnya mengikut acuan dan kemahuannya.
Disamping ia memiliki daya untuk berfikir dan menganalisis untuk
mendapatkan apa yang difikirkan terbaik dan boleh mendatangkan manfaat kepada
diri dan masyarakatnya
Walau bagaimanapun, kemampuan akal amat terhad ia hanya
berkisar di atas platform fizikal yang nyata.
Di sinilah letak peranan tubuh dan fizikal badan sebagai instrument
untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi yang dicetuskan oleh akal dan
pemikiran. Kuasa akal amatlah terbatas
dan tidak dapat mencapai hakikat dan kebenaran yang mutlak, kerana instrument
yang digunakan hanyalah pancaindera dan deria yang hanya dapat mengesan
perkara-perkara yang zahir dan bersifat fizikal sahaja disamping ia mudah
dipengaruhi oleh persekitarannya.
Manakala, perkara-perkara yang ghaib dan di luar darinya tidak dapat
ditafsirkan atau dimutlakkan kewujudannya oleh akal manusia.
Di sinilah letak peranan iman dan takwa sangat diperlukan
selaku wahana untuk mendapatkan bimbingan ke arah membuka jalan kebenaran
melalui hidayah dan taufik Ilahi.
Mengikut panduan agama, peranan keimanan dan ketakwaan kepada Allah
dapat difahami dan dihayati dalam dua dimensi yang penting, iaitu:
Pertama; iman dan takwa sebagai penggerak membuka minda
untuk mencari jalan yang terbaik dalam melaksanakan tugas khalifah umat manusia
bagi tujuan memakmur dan membangunkan dunia ini menjadi suatu destinasi yang
selesa dan menyenangkan untuk berbakti dan mencari keredhaan Ilahi. Disamping itu, iman dan takwa juga dapat
memberikan motivasi dan rangsangan yang kuat terhadap pembentukan peribadi dan
jati diri manusia yang unggul. Kekuatan ini bersesuaian dengan fitrah dan
naluri semula jadi manusia yang amat dahagakan pengetahuan dan kepercayaan
terhadap Pencipta dan kuasa agung yang telah menjadikan alam ini dan membawa
manusia ke alam kehidupan ini.
Kedua; sebagai pemelihara dan penapis iman dan takwa memberi
kekebalan atau kelalian kepada umat manusia supaya tidak mudah tergoda dan
terpengaruh kepada perkara-perkara negatif yang boleh menghalang perlaksanaan
tugas khalifah di muka bumi. Kerana
kehidupan yang penuh dengan cabaran seperti hari ini, perlu dihadapi dengan
persiapan mental, emosi dan ketrampilan diri yang memadai. Iman dan takwa juga memberi kekuatan dalaman
kepada manusia untuk terus berjuang dalam kehidupan ini tanpa mudah pasrah dan
bergantung kepada kemampuan orang lain.
Justeru, dorongan untuk bersaing dan berlumba dalam meraih kemajuan
adalah termasuk sebahagian daripada iman yang tersemai dalam diri.
Dengan menghayati dua dimensi yang terkandung dalam prinsip
keimanan dan ketakwaan ini, jelas memberi kebebasan kepada umat manusia untuk
menjalankan aktiviti pembangunan yang akan membawa kepada kemajuan yang berasas
kepada keadilan dan kesejahteraan semua warga masyarakat yang dinaungi oleh
rahmat Allah s.w.t yang dikenali dalam Islam sebagai konsep negara yang maju,
makmur dan mendapat keampunan Ilahi.
Ada empat perkara penting yang dihasilkan oleh prinsip
keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t jika dihayati secara benar, iaitu:.
Pertama; menjadikan manusia bebas tidak dikongkong oleh
kuasa lain selain daripada Allah Yang Maha Esa.
Akal fikirannya pula terbuka luas, bebas daripada belenggu khayalan dan
khurafat. Hatinya merasa lapang tidak
terikat dengan rasa rendah diri dan hina-dina.
Termasuk emosinya akan terkawal kerana ia merasa berserah diri kepada
Yang Maha Kuasa setelah melaksanakan segala usaha dan upaya yang ada padanya.
Kedua; membentuk sahsiah seimbang yang tercermin dari
tingkah laku dan cara berfikirnya.
Hasrat kehidupannya menuntut keredhaan Allah s.w.t terserlah ke arah
kebaikan dunia dan akhirat. Manhaj
kehidupannya diasaskan kepada cinta kasih dan hormat-menghormati kepada sesama
manusia dan alam sekitarnya.
Ketiga; melahirkan rasa ketenangan dalam hidupnya. Menutup pintu rasa takut dan khuatir, samada
pada diri dan keluarganya, begitu juga terhadap rezeki dan kematian. Kerana ianya telah bergantung sepenuhnya
kepada rahmat dan hidayah Tuhannya.
Aktiviti hidupnya dijalankan dengan penuh keikhlasan dan pengharapan
akan redha Tuhannya, kerana semua amal kerja yang dilakukannya telah diniatkan
sebagai sebahagian daripada tugas ibadah dan khalifah di muka bumi.
Keempat; membangunkan potensi diri dan kekuatan jiwa yang
dibina di atas usaha dan yakin kepada Allah s.w.t. Dengan demikian ia menikmati kehidupannya
dengan penuh kepuasan kepada Tuhannya.
Rasa optimis dengan bimbingan Tuhannya sentiasa membangkitkan semangat
untuk beramal, beribadah sesuai dengan fungsi dan peranannya hidup di dunia
ini.
Daripada huraian ringkas di atas, ia menunjukkan bahawa
penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan akan memberi makna hidup yang sebenar
kepada setiap manusia yang memilikinya dan seterusnya membangunkan umat yang
bermoral dan berakhlak mulia, membangunkan tamadun yang kukuh dan bernilai.
Penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t
akan memberi kekuatan kerohanian dan moral kepada masyarakat. Ia boleh menjadi penunjuk dalam
merealisasikan risalah hidup mereka di dunia ini, untuk mengambil bahagian
dalam membangunkan tamadun dunia mengikut kepakaran dan kemahiran
masing-masing.
Allah s.w.t menjanjikan bahawa menghayati nilai keimanan dan
ketakwaan akan memberi kemudahan mendapat rahmat yang berlipat ganda dan
memperolehi petunjuk dalam kehidupan dunia serta akan menerima ganjaran kelak
di kemudian hari.
Firman Allah bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah
s.w.t dan berimanlah kepada RasulNya, pasti (Allah) memberikan dua kali ganda
daripada rahmatNYA dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu pakai berjalan
(hidup di atas bumi) dan Dia akan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(al-Hadid:28).