"Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari
Tuhannya, lalu Dia ampunkannya kerana sesungguhnya Allah itu Pengampun dan
Penyayang. Kami berkata: “Pergilah kamu sekalian dari (syurga) itu, kemudian
jika datang petunjuk (agama) daripada-Ku dan sesiapa yang ikut petunjuk itu
tidaklah ada ketakutan atas mereka dan tidaklah mereka berdukacita.” (QS
Al-Baqarah: 37~38)
"Hai Bani Adam! Sesungguhnya Kami telah turunkan
atas kamu pakaian untuk menutup kemaluan kamu dan pakaian perhiasan dan juga
pakaian takwa, ini lebih baik. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (kurnia)
Allah supaya kamu ingat." (QS Al-A’raaf: 26)
Nabi Adam AS hanya dipakaikan dengan syariat apabila
beliau masuk ke dalam dunia. Beliau tidak dibebankan dengan syariat sewaktu
beliau berada di dalam syurga. Syariat menjadi pakaian kebal yang dengannya
keturunan Adam AS boleh selamat daripada fitnah dan tipu daya dunia. Dunia
adalah umpama racun dan syariat adalah penawarnya. Sesiapa yang masuk ke dalam
dunia tanpa memakai syariat akan ditelan oleh dunia dan diheret kepada alam
syaitan.
Syariat adalah peraturan atau sistem yang digubal oleh
Allah SWT untuk dipatuhi oleh manusia dalam mengadakan perhubungan dengan
Tuhan, dengan sesama manusia dan dengan makhluk lain dalam alam maya ini.
Syariat sampai kepada umat manusia melalui manusia pilihan Tuhan yang
berkedudukan sebagai nabi-nabi. Nabi-nabi bertanggungjawab menerima, memahami,
mengamalkan dan menyebarkan syariat yang diturunkan oleh Allah SWT. Dasar
syariat adalah taat kepada Allah SWT dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi
larangan-Nya. Peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh seorang
Nabi harus ada perbezaan dengan peraturan yang terdapat dalam syariat yang
dibawa oleh Nabi yang lain. Walaupun ada perubahan pada peraturan syariat
tetapi tuntutan mentaati syariat tidak berubah.
Syariat Nabi Daud AS mengizinkan lelaki berkahwin
seberapa ramai yang mereka mampu tetapi syariat Nabi Muhammad SAW menghadkan
setakat 4 orang isteri sahaja dalam satu masa. Haram bagi umat Nabi Muhammad
SAW berkahwin lebih daripada empat orang dalam satu masa, walaupun umat Nabi
Daud AS boleh berbuat demikian. Umat Nabi Muhammad SAW tidak boleh bersandar
kepada syariat Nabi Daud AS bagi berkahwin lebih daripada empat orang.
Jika diperhatikan kepada tuntutan mentaati syariat yang
dibawa oleh Nabi bagi satu-satu umat, dapatlah difahamkan bahawa dosa dan
pahala yang dikatakan oleh syariat bukanlah kerana tidak melakukan atau
melakukan peraturan semata-mata. Hukum dosa dan pahala bergantung kepada tidak
mentaati atau mentaati Allah SWT berhubung dengan peraturan yang Dia tetapkan.
Orang munafik boleh melakukan perbuatan sembahyang dengan sempurna, tetapi ia
tidak disertakan dengan ketaatan kepada Allah SWT, maka perbuatannya itu tidak
mendatangkan pahala. Darjah pahala bergantung kepada kekuatan taat dan dalam
melakukan peraturan syariat itu dituntut supaya melakukannya dengan cara yang
betul, tidak boleh membuat cara sendiri yang menyalahi peraturan syariat.
Firman Allah SWT: “Bagi setiap umat telah Kami tetapkan
upacara ibadat (syariat) yang mereka akan lalui. Maka janganlah sekali-kali
mereka membantah engkau dalam perkara ini; dan serulah kepada Tuhan engkau.
Sesungguhnya engkau adalah di atas petunjuk yang lurus.” (QS Al-Hajj: 67)
Umat satu nabi wajib berpegang kepada syariat yang dibawa
oleh nabi tersebut, tidak boleh lari kepada syariat nabi yang lain, melainkan
telah datang nabi lain yang membawa syariat yang lebih lengkap dan sempurna.
Apabila datang Nabi Muhammad SAW, sekalian umat manusia wajib berpegang kepada
syariat yang dibawa oleh Baginda SAW. Umat Nabi Muhammad tidak boleh
meninggalkan syariat Baginda SAW kerana mahu mengikuti nabi-nabi yang
terdahulu. Umat Nabi Muhammad SAW wajib berpegang kepada firman Allah SWT: “Hari
ini Aku sempurnakan agama kamu bagi kamu dan Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku.
Dan Aku redha Islam menjadi agama (syariat) kamu.” (QS Al-Ma’idah: 3)
Umat Nabi Muhammad SAW sangat bertuah kerana Allah SWT
telah kurniakan kepada mereka nikmat yang lengkap iaitu agama Islam, sehingga
mereka tidak perlu lagi merujuk kepada apa yang telah diturunkan terdahulu.
Allah SWT menjamin bahawa Dia redha menerima Islam sebagai agama bagi umat Nabi
Muhammad SAW. Jaminan Allah SWT itu sudah cukup bagi orang yang benar-benar
mencari keredaan Allah SWT untuk tetap berjalan di atas landasan yang telah
dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang cukup lengkap, mencakupi
perkara zahir dan juga perkara batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti
dibuat dan apa yang mesti tidak dibuat dan bagaimana mahu bertindak menghadapi
sesuatu perkara. Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian sesuatu
masalah. Segala penyelesaian sudah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan
rujukkan kepada Islam itu sendiri, nescaya segala kemusykilan akan terjawab.
Setiap umat Islam dituntut supaya beriman kepada
peraturan yang Tuhan telah tetapkan, mempelajarinya, mengamalkannya dan
menyebarkannya sekadar kemampuan masing-masing. Hubungan kaum Muslimin dengan
syariat Islam adalah percaya, mempelajari dan melaksanakan. Oleh kerana darjat
zahir dan rohani manusia tidak serupa, maka terdapatlah perbezaan tahap
kepercayaan, pengetahuan dan kekuatan melaksanakannya. Perbezaan tersebut
menyebabkan umat Islam mudah bersepakat dalam perkara pokok, bertolak ansur
pada perkara cabang, walaupun mungkin tidak bersefahaman pada perkara ranting.
Kegoncangan pada ranting tidak seharusnya menggoncangkan pokok perpaduan umat
Islam. Perbezaan pada tumpuan pelaksanaan tidak seharusnya menyekat kerjasama sesama
Muslim. Masalah khilafiah tidak seharusnya menjarakkan kumpulan yang berlainan
mazhab.
Al-Quran yang sampai kepada kita sekarang ini mengandungi
6,666 ayat. Tidak mungkin ada orang Islam masa ini yang mampu menyesuaikan
dirinya dengan 6,666 ayat tersebut sekaligus, dengan serta merta atau dalam
jangka masa yang singkat. Rasulullah SAW membawa pengikut-pengikut Baginda SAW
‘ke dalam’ al-Quran secara berperingkat-peringkat dan Baginda SAW mengambil
masa lebih daripada dua puluh tahun untuk membawa mereka ‘berjalan di dalam’
6,666 ayat tersebut. Allah SWT dan Rasul-Nya sangat berhikmah di dalam mendidik
umat manusia. Pada masa berlaku peperangan Badar, arak masih belum diharamkan.
Sebahagian daripada syuhada Badar terdiri daripada mereka yang kuat meminum
arak tetapi Allah SWT, dengan kasihan belas dan rahmat-Nya, menerima sekalian
ahli Badar sebagai ahli syurga.
Rasulullah SAW memberi tumpuan kepada akidah, diikuti
oleh akhlak. Al-Quran mengajarkan beriman, kemudian beramal soleh. Allah SWT
memperingatkan bahawa Dia mengampunkan segala dosa, termasuk dosa zina, meminum
arak dan sebagainya tetapi Dia tidak mengampunkan dosa syirik. Umat manusia
harus diselamatkan daripada dosa yang tidak diampunkan Tuhan terlebih dahulu
sebelum dosa yang Tuhan ampunkan. Golongan Muslim yang berilmu berkewajipan
menyelamatkan golongan Muslim yang jahil daripada lembah syirik. Dalam berbuat
demikian perbezaan fahaman tidak boleh dijadikan penghalang. Golongan yang
berkuasa dan golongan yang berilmu sama-sama akan disoal oleh Tuhan nanti
apakah yang mereka buat bagi membersihkan akidah umat manusia. Golongan berilmu
tidak boleh memberi alasan yang puak berkuasa tidak menerima nasihat.
Tanggungjawab ahli ilmu tidak terlepas dengan alasan yang demikian. Dengan
sedikit ‘suntikan’ daripada golongan yang berilmu akan menjadikan golongan yang
berkuasa boleh melakukan berbagai-bagai perkara demi kebaikan syariat Tuhan.
Dengan sedikit tolak-ansur daripada golongan yang berkuasa akan membolehkan
golongan yang berilmu menyampaikan banyak perkara demi syariat Tuhan.
Orang Islam yang mempunyai kesedaran dan kemampuan
haruslah mengkaji dengan mendalam apakah yang terlebih terdesak diperlukan oleh
umat Islam masa kini. Setelah mengetahui penyakit semasa yang melanda umat
Islam itu, golongan berilmu dan golongan berkuasa sama-sama berkewajipan
mencari penawar di antara 6,666 ayat al-Quran. Penawar yang diperlukan dengan
segera itulah yang mesti dihulurkan kepada orang ramai terlebih dahulu.
Mengubati penyakit secara sistematik lebih berkesan daripada mengubati semua
jenis penyakit sekaligus. Syariat telah menyediakan segala jenis ubat untuk
semua jenis penyakit. Ahli ilmu dan pemerintah haruslah faham menyusun jadual
pengubatan umat.
Kita perlu menjiwai Islam untuk merasai nikmat Islam yang
Tuhan kurniakan. Orang Islam bukan sahaja mendukung Islam untuk dirinya sahaja
malah dia juga mendukung Islam untuk ahlinya, saudara-saudara Muslim yang lain
dan juga umat manusia seluruhnya. Kewajipan manusia adalah melakukan apa yang
Tuhan aturkan dengan penuh ketaatan kepada-Nya, sementara hak mengatur
diserahkan kepada Allah SWT. Sekiranya Allah SWT mengaturkan seseorang itu
menjadi alim dan mendapat kuasa ketika masyarakat Islam sedang menghadapi
ancaman perang, orang alim dan berkuasa itu berkewajipan membuka syariat
bahagian jihad, keperluan memperkuatkan ketenteraan, strategi peperangan dan
lain-lain yang bersangkutan dengan perang, terlebih dahulu daripada bahagian
syariat yang lain. Mengajar cara pembahagian harta pusaka kepada orang yang
sedang bersiap ke medan perang adalah kurang sesuai. Dalam tabligh
(menyampaikan), bukan sahaja perlu ada siddiq dan amanah, malah perlu juga ada
fatanah (kebijaksanaan).
Rasulullah SAW bertabligh secara siddiq, amanah dan
fatanah. Setelah berjaya menawan Makkah, Baginda SAW memaafkan secara
beramai-ramai orang Makkah yang pernah berperang menentang Baginda SAW. Baginda
SAW tidak ghairah melakukan hukum qisas. Beberapa orang yang Baginda SAW telah
umumkan untuk dibunuh pun kemudiannya Baginda SAW maafkan. Kemaafan daripada
Baginda SAW telah menarik orang-orang yang bersalah itu kepada Islam. Sekiranya
Baginda SAW telah melakukan hukuman bunuh, tentu ramai daripada orang Makkah
yang mati sebagai orang kafir musyrik. Kebijaksanaan Baginda SAW telah
menyelamatkan ramai manusia daripada azab neraka.
Allah SWT menghargai orang alim yang menggunakan
kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam.
Pelaksanaan peraturan Tuhan kepada umat manusia yang tidak mengerti haruslah
dengan kasih sayang, belas kasihan dan simpati. Bukankah Rasulullah SAW telah
mendoakan bagi penduduk Taif yang mengkasari Baginda SAW dengan doa yang baik:
“Wahai Tuhan. Maafkan mereka kerana mereka tidak mengerti.”
Rasulullah SAW mengerti setakat mana pengikut Baginda SAW
mampu memikul beban. Baginda SAW tidak meletakkan beban melebihi keupayaan
mereka. Sebab itulah dakwah Baginda SAW berjaya. Baginda SAW telah memberi
contoh, ketika berdakwah di Makkah, bilangan kaum Muslimin masih sangat
sedikit. Baginda SAW tidak menggerakkan kaum Muslimin supaya berperang dengan
kaum musyrikin. Jika Baginda SAW berbuat demikian tentu sahaja kaum Muslimin
akan terhapus sebelum agama Islam sempat berkembang di atas muka bumi.
Umat Islam dituntut melaksanakan syariat Tuhan secara
bijaksana. Serahkan urusan mentadbir kepada Tuhan. Kaum Muslimin perlu
bertindak sesuai dengan pentadbiran Tuhan. Umat Islam yang tinggal di negeri
yang sering dilanda banjir dituntut menyediakan kelengkapan banjir, tidak
dituntut menyediakan kelengkapan gempa bumi. Dalam menguruskan hal-ehwal kaum
Muslimin secara bijaksana, Muslim yang ditakdirkan berkuasa dengan Muslim yang
ditakdirkan berilmu wajib bekerjasama demi mencari keredhaan Allah SWT.
Syariat mengajarkan prinsip satu untuk ramai kerana Allah
SWT. Lelaki bertanggungjawab menyelamatkan dirinya dan ahlinya daripada api
neraka. Orang yang berharta berkewajipan mengeluarkan zakat bagi membantu orang
miskin. Orang yang memiliki makanan yang cukup perlu mempastikan jirannya tidak
tidur dalam kelaparan. Orang yang berilmu berkewajipan mengajar orang yang
jahil. Orang yang berkuasa berkewajipan melindungi orang yang lemah. Setiap
anggota masyarakat perlu menyumbangkan sesuatu untuk kesejahteraan
masyarakatnya.
Syariat Islam mengajarkan supaya menyebarkan yang makruf
dan mencegah yang mungkar. Muslim diajar supaya mengasihani orang yang dizalimi
dan juga orang yang berbuat kezaliman. Mengasihani orang yang dizalimi adalah
dengan cara menyelamatkannya daripada kezaliman dan mengasihani orang yang
berbuat zalim adalah dengan cara menyekatnya daripada berbuat kezaliman atau
setidak-tidaknya menasihatinya. Dalam menyebarkan yang makruf dan mencegah yang
mungkar, tidak ada istilah ‘menjaga tepi kain orang lain’.
Satu perkara yang sangat diberati oleh syariat adalah
perbuatan menzalimi diri sendiri. Tuhan memberi ancaman yang keras terhadap
mereka yang melakukan kezaliman terhadap diri mereka. Syariat Islam melarang
kaum Muslimin sengaja mencampakkan diri mereka kepada kebinasaan walaupun atas
alasan berserah kepada takdir. Rasulullah SAW menyuruh kaum Muslimin mengikat
unta mereka terlebih dahulu, barulah bertawakkal. Saidina Umar al-Khattab
melarang orang ramai memasuki kampung yang sedang dilanda wabak taun dan pergi
ke kampung yang tidak ada taun. Lari daripada takdir yang memudaratkan dan
pergi kepada takdir yang mensejahterakan masih lagi dalam medan takdir.
Maksud menzalimi diri sendiri sangat luas. Zalim adalah
lawan kepada adil. Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada kedudukan yang
benar dan layak baginya. Jika meletakkan sesuatu pada kedudukan yang tidak
benar dan tidak layak, ia dinamakan zalim. Menggunakan pancaindera yang
dikurniakan Tuhan untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh Tuhan adalah
melakukan kezaliman kepada pancaindera atau diri sendiri.
Kezaliman yang paling besar dilakukan oleh hamba Tuhan
adalah meletakkan Tuhan pada taraf yang tidak benar dan tidak layak bagi-Nya.
Ketuhanan Allah SWT meliputi bidang penyembahan, pematuhan, pemujaan,
penyayangan dan kebaktian. Ada batas yang mesti dipelihara agar tidak terjadi
perbuatan yang menurunkan taraf ketuhanan Allah SWT daripada yang sepatutnya.
Batas tersebut juga dipelihara agar apa sahaja yang selain Tuhan tidak sampai
kepada taraf tersebut. Jangan sekali-kali terjadi penyembahan, perhambaan,
ketaatan, pemujian dan penyayangan hak ketuhanan Allah SWT turun daripada taraf
ketuhanan-Nya dan jangan pula yang selain Tuhan naik kepada taraf ketuhanan.
Jika percerobohan dilakukan maka perbuatan yang demikian dikatakan menzalimi
hak ketuhanan Allah SWT dan ia diistilahkan sebagai syirik.
Syirik adalah menyekutukan hak ketuhanan Allah SWT dengan
sesuatu yang lain. Meletakkan taraf Isa al-Masih sebagai anak Tuhan adalah
syirik. Menganggap Uzair sebagai anak Tuhan adalah syirik. Mengiktikadkan Nur
Muhammad sebagai penjelmaan Tuhan atau Tuhan sendiri adalah syirik. Nur
Muhammad bukanlah Allah SWT sebagaimana Isa al-Masih (zahirnya atau rohaninya
iaitu nurnya) bukan anak Allah SWT. Mematuhi guru dengan sepenuh jiwa raga
sehingga perkara haram dihalalkan dan perkara halal diharamkan masih juga
dipatuhi, pun termasuk di dalam perbuatan syirik. Mencari rezeki yang baik
tetapi dengan meninggalkan hak ketuhanan Allah SWT yang wajib dilaksanakan juga
berunsur syirik. Kasih sayang sesama makhluk yang menyebabkan tenggelam hukum
dan peraturan Tuhan juga berunsur syirik. Besar atau kecilnya syirik itu
bergantung kepada sejauh mana hak ketuhanan Allah SWT dicerobohi.
Al-Quran menceritakan beberapa keadaan syirik:
“Dan berkata orang-orang Yahudi: “Uzair anak Allah”. Dan
berkata orang-orang Nasrani: “Al-Masih anak Allah”. Demikian itulah kata-kata
mereka dengan mulut mereka; menyerupai perkataan orang-orang kafir yang dahulu.
Diperangi Allah akan mereka. Bagaimana mereka dapat dipalingkan? Telah mereka
ambil guru-guru mereka dan pendeta-pendeta mereka menjadi Tuhan selain Allah
dan (juga) al-Masih anak Maryam; padahal tidaklah mereka diperintahkan
melainkan supaya menyembah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan
melainkan Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka sekutukan.” (QS At-Taubah:
30~31)
“Bahkan mereka mempertuhankan jin.” (QS Saba’: 41)
“Tidakkah engkau perhatikan mereka yang mempertuhankan
nafsu mereka? Maka apakah engkau boleh jadi pemelihara atas mereka?” (QS
al-Furqan: 43)
Selain yang dinyatakan di atas al-Quran juga menceritakan
beberapa perkara yang boleh menggelincirkan manusia kepada syirik:
"Katakanlah: “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu,
isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta yang kamu dapati, perniagaan yang
kamu takut akan mundur dan tempat kediaman yang kamu sukai, lebih tercinta
kepada kamu daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya, maka
tunggulah sehingga Allah mendatangkan ketentuan-Nya. Dan Allah itu tidak akan
memberi petunjuk kepada kaum yang fasik”. (QS At-Taubah: 24)
Syirik adalah kezaliman yang paling besar boleh dilakukan
oleh seseorang kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Tuhan tidak cedera
lantaran manusia berbuat syirik dan tidak beruntung Tuhan jika manusia berbakti
kepada-Nya. Apa yang manusia lakukan memberi keuntungan atau kerugian kepada
dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Syirik adalah kerugian manusia yang paling
besar kerana Allah SWT sangat tegas menghadapi orang yang berbuat syirik. Oleh
itu tugas seseorang Muslim adalah menghapuskan syirik pada dirinya dan juga
pada saudara-saudara Muslimnya yang lain. Tugas utama penguasa Muslim dan ulama
Muslim juga demikian. Syirik adalah musuh utama umat manusia. Di dalam berjihad
menentang kemusyrikan, kaum Muslimin mestilah bersatu sekalipun mereka tidak
boleh bersatu dalam bidang yang lain.
Selain syirik, syariat juga menekankan soal perbuatan
mungkar. Kerosakan akidah dinamakan syirik dan kerosakan akhlak dinamakan
perbuatan mungkar. Dalam soal kemungkaran, rujukannya secara umum adalah fitrah
kemanusiaan, nilai-nilai murni kemanusiaan yang dipersetujui oleh syarak.
Fitrah kemanusiaan yang sejati sangat hampir dengan fitrah Muslim, tetapi
jarang yang sampai kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati kerana bakat
fitrah mereka dihijab oleh kemampuan berfikir yang terhad, pengaruh pendidikan,
pengalaman dan sebagainya. Sekalipun manusia boleh sampai kepada tahap
kesedaran fitrah yang sejati namun, ia belum boleh dikatakan fitrah Muslim
kerana ia tidak berkeupayaan menyingkap tentang Tuhan. Ia mesti tunduk kepada
perkhabaran yang datang daripada Tuhan barulah fitrah kemanusiaan yang sejati
itu beroleh kedudukan sebagai fitrah Muslim. Fitrah kemanusiaan yang sejati
hanya memerlukan iman untuk menjadikannya fitrah Muslim.
Nilai-nilai murni kemanusiaan yang disertai iman menjadi
rujukan dalam menentukan sesuatu perkara itu mungkar atau tidak. Perbuatan
mungkar adalah perbuatan yang menyalahi akhlak Muslim. Perbuatan yang sesuai
dengan akhlak Muslim dan dilakukan dengan disertai iman, dinamakan perbuatan
makruf. Perbuatan makruf termasuk dalam kategori amal soleh. Amal yang tidak
soleh itulah yang mungkar.
Amal yang tidak soleh secara automatiknya adalah amal
yang mungkar, tetapi amal yang pada zahirnya kelihatan soleh belum tentu ianya
soleh. Ia hanya menjadi soleh jika ia disertai oleh iman. Tidak ada amal soleh
tanpa iman. Sebab itulah sistem yang digubal oleh cerdik pandai bukan Islam,
walaupun sesuai dengan nilai-nilai murni kemanusiaan, jika diambil bulat-bulat
ia tidak mampu melahirkan amal soleh kerana tidak ada dasar iman padanya.
Itulah punca kegagalan badan dunia menyebarkan perkara makruf dan mencegah yang
mungkar. Umat Islam sendiri jika menggubal sistem yang tidak berlandaskan iman
akan menemui kegagalan yang serupa. Kemungkaran hanya boleh dihancurkan oleh
kekuatan iman.
Fitrah kemanusiaan yang tidak disertakan iman tidak dapat
melihat rasional di sebalik kebanyakan peraturan syariat, terutamanya dalam
bidang penghakiman dan penghukuman terhadap orang yang melakukan jenayah.
Penghukuman menurut syarak biasanya dipandang sebagai keterlaluan, di luar
perikemanusiaan. Fitrah kemanusiaan hanya memandang kepada skop kehidupan dunia
sahaja, sedangkan syarak mengenakan hukuman yang berat di dalam dunia bagi
menyelamatkan pesalah daripada hukuman berat di akhirat. Syarak melihat dunia
sebagai kehidupan yang sangat singkat sementara akhirat adalah kehidupan yang
abadi. Menderita dalam tempoh yang singkat lebih baik daripada menderita
berkekalan. Tuhan tidak suka menghukum hamba-Nya dua kali. Hamba-Nya yang telah
menjalani hukuman menurut syarak tidak perlu lagi dihukum di akhirat. Atas
dasar inilah hukuman menurut syarak dipandang berat menurut nilai kemanusiaan
sejagat.
Syariat memberi penumpuan kepada penyucian akidah dan
akhlak. Akidah yang bersih daripada syirik menjadi dasar syariat. Akhlak yang
mulia menjadi pengapit kepada akidah yang benar. Apabila dua perkara ini sudah
teguh barulah perkara-perkara lain boleh berdiri dengan tegap. Selama tiga
belas tahun berdakwah di Makkah, Nabi Muhammad SAW menumpukan soal akidah dan
akhlak. Bidang syariat yang lain banyak dipraktikkan setelah Baginda SAW
berhijrah ke Madinah.
Bidang syariat yang paling penting adalah pengajaran
tentang Tuhan dan pengabdian kepada-Nya. Syariat mengajarkan bahawa Allah SWT
adalah Tuhan Yang Maha Esa. Dia adalah pergantungan sekalian makhluk, tidak ada
makhluk yang merdeka daripada-Nya. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan.
Tidak ada sesiapa boleh mendakwakan bahawa dirinya adalah sebahagian daripada
Tuhan. Dia tidak serupa dengan sesuatu dan Dia Mendengar serta Melihat. Dia
menguasai seluruh alam maya. Syariat memperkenalkan Tuhan dalam dua aspek
penting. Dalam aspek pertama syariat menceritakan bahawa Tuhan adalah Maha Kaya
dari seluruh alam. Tuhan tidak memerlukan apa-apa daripada sesiapa pun. Tuhan
tidak bergantung kepada sesuatu. Tuhan tidak ditanya tentang apa yang Dia
lakukan tetapi makhluk ditanya tentang apa yang mereka perbuat. Syariat juga
mengajarkan bahawa jika manusia bersyukur maka kebaikan syukur itu pergi
kepadanya, bukan kepada Tuhan. Jika manusia kufur, ia memudaratkan diri manusia
sendiri, tidak menjejaskan ketuhanan Allah SWT. Dalam aspek kedua syariat
memperkenalkan Tuhan sebagai pergantungan sekalian makhluk, Dia melakukan apa
yang Dia kehendaki kepada makhluk-Nya. Dia meletakkan ketentuan kepada setiap
yang Dia ciptakan. Semua makhluk tidak berupaya mengubah ketentuan yang telah
Tuhan tetapkan pada azali. Semua makhluk tunduk patuh kepada ketentuan-Nya.
Gabungan dua aspek tersebut menceritakan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang
Maha Kaya dari segala sesuatu, tidak berkehendakkan apa-apa pun daripada
sesiapa pun, tetapi sekalian makhluk bergantung, berhajat dan berkehendak
kepada-Nya. Begitulah dasar akidah seorang Muslim yang disimpulkan dengan
kalimah: ‘La Ilaha Ilallah’.
Bagi menghuraikan dasar akidah tersebut, diadakan
pengajian sifat dua puluh. Sifat dua puluh dan apa jua sifat yang dinisbahkan
kepada Allah SWT, termasuklah nama-nama-Nya, tertakluk kepada dasar: ‘Laisa
Kamithlihi Syai’un’
Makrifat melalui syariat diperolehi dengan iman bukan
dengan hujah dan dalil. Hujah dan dalil berguna bagi orang cenderung
menggunakan akal fikiran. Akal fikiran mempunyai had kemampuannya. Apabila
sampai kepada had kemampuannya akal terpaksa tunduk, menyerah sepenuhnya kepada
perkhabaran yang dibawa oleh syariat. Barulah akal itu menjadi Muslim. Makrifat
secara syariat juga menjadi permulaan setelah berakhirnya makrifat secara
kasyaf dan pengalaman kerohanian. Kasyaf membawa seseorang kepada suasana
kehairanan menemui kenyataan bahawa Tuhan melampaui segala perkenalan. Ahli
kasyaf pun tunduk, menyerah kepada perkhabaran yang terdapat dalam syariat.
Barulah hati yang mengalami kasyaf benar-benar menjadi Muslim.
Apa juga jalan yang diikuti, permulaan jalan adalah
syariat dan penghujung jalan juga syariat, barulah perjalanan itu menjadi
bulatan yang lengkap. Syariat yang ditemui pada permulaan jalan adalah syariat
secara umum, dipegang oleh orang awam. Syariat pada akhir perjalanan adalah
syariat khusus dan lengkap, dipegang oleh orang arif. Apa juga tarekat yang
dijalani sekiranya tidak ditemui syariat pada akhir perjalanannya, maka tarekat
tersebut tidak mencapai Kebenaran Hakiki. Sekiranya sesuatu tarekat itu membawa
seseorang kepada penafian terhadap syariat, sekiranya ahli tarekat itu
mempunyai kesedaran, wajiblah dia berundur daripada jalan yang dilaluinya itu.
Selain menyampaikan pengetahuan tentang Tuhan, syariat
juga mengajarkan cara-cara melakukan ibadat dan pengabdian kepada Tuhan. Hanya
ibadat yang dilakukan menurut peraturan syariat sahaja diterima oleh Tuhan
sebagai ibadat. Misalnya, syariat menentukan syarat dan rukun sembahyang. Tidak
menepati syarat dan tidak menyempurnakan rukun tidak dinamakan sembahyang. Akal
dan kasyaf tidak akan menemui cara yang betul bagi menyembah Tuhan. Hanya
syariat, semata-mata syariat mengajarkan cara pengabdian yang sebenarnya
terhadap Allah SWT.
Syariat juga menyampaikan perkhabaran tentang malaikat
dan Nabi-nabi. Malaikat dikenali dengan mengetahui asal kejadiannya daripada
nur yang murni yang berbeza daripada cahaya matahari atau sebarang cahaya yang
diketahui oleh manusia. Perlu juga diketahui beberapa malaikat yang menjadi
pemimpin kepada malaikat-malaikat sekaliannya. Mengenali Nabi pula adalah
dengan mempelajari sejarah perjalanan mereka, tahu keturunan mereka dan tahu
pula siapakah di antara mereka yang menerima kitab dan suhuf serta tahu
kitab-kitab tersebut. Pengetahuan tentang perjalanan Nabi-nabi bagi
meningkatkan kedudukan kerohanian dalam melaksanakan tuntutan syariat.
Seterusnya syariat mengajarkan manusia tentang akhirat.
Matlamat utama manusia adalah akhirat dan dunia menjadi jalan kepada akhirat.
Di samping mencari kesejahteraan hidup di dunia manusia lebih dituntut mencari
keselamatan di akhirat. Kehidupan dunia hanyalah sementara dan kehidupan
akhirat berkekalan, tanpa kesudahan. Syariat juga mengajar manusia supaya
mengakui kelemahan mereka. Oleh yang demikian mereka dikehendaki beriman kepada
Qada’ dan Qadar. Keyakinan kepada akhirat menggerakkan manusia supaya rajin
beramal. Keyakinan kepada Qada’ dan Qadar memimpin manusia menjadi hamba yang
tunduk kepada ketuhanan Allah SWT. Apa yang diajar oleh syariat membentuk sifat
aslim iaitu berserah diri kepada Tuhan. Orang Islam yang bersifat aslim itulah
yang benar-benar tunduk, patuh dan melaksanakan hukum Tuhan sebagaimana
layaknya dibuat oleh seorang hamba yang merdeka.
Orang yang melalui jalan syariat akan berjaya apabila
sampai kepada makam Mukmin. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah akan membeli orang-orang mukmin,
dirinya dan hartanya dengan syurga, iaitu mereka yang berjihad pada jalan
Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh, sebagai satu perjanjian yang benar di
tentang itu (yang tersebut) dalam Taurat dan Injil dan Quran; kerana bukankah
tidak ada yang sempurnakan janjinya lebih daripada Allah? Lantaran itu
bergembiralah dengan perjanjian kamu yang kamu janjikan kepada-Nya, kerana yang
demikian adalah kebahagiaan yang besar.” (QS At-Taubah: 111)
Orang yang mencapai darjat Mukmin ada harga pada sisi
Allah SWT hinggakan Dia sanggup membeli mereka dengan harga syurga, harta yang
paling tinggi nilainya dalam seluruh alam makhluk. Tidak ada keraguan lagi
kedudukan mereka sebagai ahli syurga. Makam yang di bawah daripada makam Mukmin
ada dua. Pertama adalah mereka yang dijamin sebagai ahli neraka. Kedua adalah
mereka yang mungkin ke syurga atau mungkin ke neraka, hanya belas kasihan Tuhan
yang boleh menyelamatkan mereka. Ketika hayat masih ada ujilah diri sendiri
apakah sudah mencapai taraf Mukmin atau belum. Alat pengujinya adalah firman
Allah SWT:
“Orang-orang mukmin apabila diperingatkan dengan Allah
nescaya gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayat-Nya menambahkan bagi mereka keimanan; dan kepada Tuhan mereka
berserah diri. (Iaitu) orang yang mendirikan sembahyang dan membelanjakan
sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka.” (QS Al-Anfaal: 2~3)
Jika tanda yang tersebut di atas tidak ada,
berwaspadalah! Mungkin neraka menunggu di akhir perjalanan hidup di dunia ini.
Mulalah bekerja untuk menyelamatkan diri dengan berniaga dengan Allah SWT,
menjualkan diri kepadanya dengan cara berjihad pada jalan-Nya. Mudah-mudahan
Tuhan sudi membeli.
Kejayaan bagi mereka yang berjihad pada jalan Allah SWT
adalah mereka dikurniakan petunjuk dengan nur tawajjuh (tawajjuh: menghadapkan
wajah serta hati menuju Allah SWT) yang berperanan memalingkan hati kepada
Allah SWT dan membentenginya daripada apa yang cuba memesongkannya. Orang yang
dikurniakan nur tawajjuh dinamakan orang soleh yang berpegang teguh dengan
syariat Allah SWT. Nur tawajjuh membuat mereka berasa damai dan tenang serta
bertambah kehampiran dengan Allah SWT. Mereka tidak berasa berat untuk
melakukan ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak mereka
beribadat semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan menghadap Allah
SWT) dan semakin mereka berasa lazat beribadat. Orang soleh adalah ahli syariat
yang memakai pakaian warak dan berjalan dengan nur tawajjuh.
Wallahua’lam.