Menurut Islam, setiap orang Islam yang akil baligh sama
ada lelaki atau pun perempuan adalah pemimpin.
Rasullulah bersabda:
" Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan
ditanya tentang rakyatnya. Imam (ketua negara ) adalah pemimpin, dia akan ditanya
tentang rakyatnya . Seorang lelaki itu pemimpin kepada ahli keluarganya dan dia
di tanya tentang rakyatnya. Seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan
rumah suaminya dan dia di tanya tentang rakyatnya. Seorang khadam itu menjadi
pemimpin tentang urusan harta tuannya dan ditanya tentang rakyatnya Seorang
anak menjadi pemimpin tentang harta ayahnya dan ditanya tentang rakyatnya.Maka
kamu semua adalah pemimpin dan ditanya tentang rakyatnya." (Bukhari Dan
Muslim)
Oleh hal yang demikian ,setiap orang Islam tanpa kecuali
semuanya adalah pemimpin yang mempunyai tanggungjawab-tanggungjawab tertentu
yang mestilah dilaksanakan di dunia ini dan tanggungjawab tersebut akan disoal
oleh Allah swt di akhirat nanti dan kemudiannya diberi balasan yang setimpal.
Tanggungjawab pemimpin Islam
Dalam tajuk ini ,perbincangan akan difokuskan kepada
tanggungjawab pemimpin Islam dalam konteks sesebuah negara. Dengan kata
lain,tajuk ini akan membincangkan tentang tanggungjawab pemimpin-pemimpin
negara umat Islam.
Untuk menghuraikannya,bolehlah diklafikasikan
tanggungjawab tersebut kepada dua bentuk, iaitu :
(a). Tanggungjawab di dunia
(b). Tanggungjawab di akhirat
Tanggungjawab di dunia
Pemimpin-pemimpin Islam adalah khalifah diatas muka bumi.
Allah s.w.t berfirman:
"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para
malaikat ,Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka
bumi". (Surah Al-Baqarah: 30)
Para ulama Islam telah menghuraikan maksud khalifah
sebagai :
" Menggalang ganti Rasullullah saw (selepas wafatnya)
di dalam memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya."
Jadi ,secara umumnya pemimpin Islam bertanggungjawab
meneruskan perjuangan Rasullullah saw di dalam memelihara dan menjaga agama
serta mentadbir dan mengurus dunia ini dengan panduan agama.
Di dalam urusan memelihara agama dan mentadbir dunia
dengan agama, para ulama telah membahagikan empat tanggungjawab penting
pemimpin Islam iaitu :
(i). Menegakkan masyarakat Islam.
(ii). Menegakkan keadilan di dalam masyarakat.
(iii). Menyebarkan dakwah Islamiyyah.
(iv). Mempertahankan Islam dan bumi umat Islam.
1. Menegakkan masyarakat Islam.
Menurut Asy-Syahid Syed Qutb:
"Islam tidak akan mampu untuk menunaikan tugasnya
kecuali bila ia menjelma di dalam bentuk sebuah masyarakat, iaitu ia menjadi
panduan hidup suatu umat. Ini kerana manusia tidak boleh menerima suatu akidah
yang kosong dan yang tidak dapat dilihat buktinya melalui suatu benda hidup
yang nyata dan dapat disaksikan kewujudannya".
Oleh itu menegakkan masyarakat Islam adalah amat penting
.Masyarakat Islam dapatlah diertikan sebagai, sebuah masyarakat atau umat yang
mempraktikkan cara hidup Islam yang sempurna di dalam semua lapangan kehidupan
bermasyarakat meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial . Asas kepada
pembentukkan masyarakat ini ialah akidah tauhid yang murni dan ukhwah Islamiyah
yang hakiki di antara sesama anggota masyarakat.
Sesungguhnya Rasullullah saw telah mendirikan masyarakat
Islam ini ketika baginda memimpin negara Islam Madinah Al-Munawwarah dan Allah
telah memuji mereka di dalam Al-Quran:
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk
manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman
kepada Allah." (Surah Ali-Imran: 110)
Firman Allah swt:
"Dan demikian, Kami telah menjadikan kamu umat yang
adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas manusia dan agar Rasul menjadi
saksi atas kamu." (Surah Al-Baqarah: 143)
Seandainya diperhatikan secara teliti Rasullullah saw
telah menitikberatkan dua unsur penting didalam membina masyarakat Islam
Madinah yang masyhur itu.Unsur-unsur tersebut ialah:
(1) Pengukuhan dan Pemantapan Akidah
Akidah merupakan dasar dan asas masyarakat Islam yang
mempengaruhi seluruh perjalanan dan pergerakkan sosial masyarakat tersebut. Ini
sejajar dengan kedudukan akidah itu yang menjadi mesej utama di dalam dakwah
para rasul kepada manusia. Allah berfirman:
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada
tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "sembahlah Allah dan jauhilah
thaghut" (Surah An-Nahl: 36)
Rasullullah saw sebelum menegakkan masyarakat Islam
Madinah ,baginda telah mentarbiah para pengikutnya selama 13 tahun di Mekah
agar mereka memiliki akidah yang mantap dan kukuh. Dengan akidah yang mantap
itulah mereka menegakkan Daulah Islamiyah di Madinah dan membentuk masyarakat
Islam yang belum pernah wujud sebelum daripada itu.
Oleh kerana itu menjadi kewajipan besar kepada pemimpin
umat Islam membentuk akidah umat dengan akidah yang benar di dalam membina
sebuah masyarakat Islam, seperti yang telah ditegaskan oleh Syed Qutb:
"Maka sebelum daripada difikirkan soal mewujudkan
sistem masyarakat Islam dan sebelum daripada mewujudkan masyarakat Islam diatas
landasan sistem itu, perlulah dan sayugialah dititikberatkan dahulu kepada
kebersihan hati nurani muslim itu daripada mengabdikan diri kepada yang lain
daripada Allah dalam sebarang bentuk rupa".
(2) Membentuk persaudaraan Islam hakiki.
Firman Allah swt:
" Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara,
kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah,
supaya kamu mendapat rahmat." ( Surah Al-Hujurat: 10)
Persaudaraan merupakan rukun penting kepada kesejahteraan
dan kestabilan masyarakat dan negara Islam. Semasa menjawat jawatan ketua
negara Islam Madinah, baginda telah menekankan perkara ini, lalu baginda
mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ausar dengan ikatan Ukhuwah Islamiyah yang
kuat. Persaudaraan ini kemudiannya telah melahirkan kasih sayang
,tolong-menolong, ,tolak-ansur dan seterusnya membuahkan perpaduan umat. Allah
swt telah mengabadikan kisah mereka di dalam Al-Quran:
"Dan orang-orang yang telah menepati Kota Madinah dan
telah beriman (Ansar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka menyayangi
orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam
hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan pada mereka (Muhajirin) dan mereka
mengutamakan (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri." ( Surah A-Hasyr
: 9 )
Persaudaraan yang beginilah yang harus dibangunkan oleh
pemimpin umat Islam di dalam membentuk masyarakat Islam. Al-Ustaz Mustafa
Mahsyur menyatakan:
"Sesungguhnya tugas yang paling besar disediakan
oleh Rasulullah saw kepada muslimin ialah menegakkan akidah tauhid dan
membangunkan daulah Islamiyah. Di dalam perlaksanaanya pula perlulah ada
perpaduan dan ikatan diantara anggota muslimin".
2. Menegakkan keadilan di dalam masyarakat.
Adil adalah sifat asasi setiap pemimpin Islam.
Allah swt berfirman:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan
amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan
hukum diantara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah
memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha
Mendengar Lagi Maha Melihat." (Surah An-Nisak: 58)
Keadilan tidak akan tegak selagi tidak dilaksanakan
syariat Islam di dalam negara. Ini kerana Syariat Islam sahajalah yang adil dan
saksama kerana sumbernya ialah Tuhan Pencipta alam yang Maha mengetahui
keperluan hidup manusia.
Allah swt berfirman:
" Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu
dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang
telah Allah diwahyukan kepadamu". ( Surah An-Nisak : 105)
Rasulullah saw adalah contoh pemimpin yang adil di dalam
menegakkan hukum Allah dan syariat Islam. Baginda ketika menjadi pemimpin di
Madinah pernah berpidato dengan tegasnya di hadapan rakyatnya sebagaimana
berikut:
" Sesungguhnya telah binasalah umat yang terdahulu
daripada kamu, mereka hanya bertindak sekiranya orang-orang yang lemah
dikalangan mereka mencuri dan mereka potong tangannya dan apabila orang yang
kuat di kalangan mereka mencuri maka mereka membiarkannya. Maka demi Tuhan yang
diri Muhammad di dalam genggamannya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri
nescaya Muhammad memotong tangannya".
Jadi, di dalam pemerintahan Islam keadilannya meliputi
semua lapisan masyarakat sama ada orang miskin atau orang kaya, orang bawahan
atau orang atasan, pemimpin atau rakyat dan orang Islam atau pun orang yang
bukan Islam. Tidak ada pilih kasih, berat sebelah dan diskrimikasi. Keadilan
yang beginilah yang menjadi impian manusia. Maka menjadi tanggungjawab kepada
pemimpin Islam hari ini menegakkannya.Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang:
"Keadilan itu sangat perlu bagi menegakkan kebenaran
di kalangan manusia bagi menjamin kedamaian dan ketenangan hidup, menegakkan
keamanan dan keselamatan ,mengukuhkan hubungan yang baik diantara satu sama
lain dan untuk memelihara keperluan hidup manusia dengan cara yang baik.. Oleh
itu, Al-Quran dan hadis-hadis Rasullullah saw sangat memberi penekanan kepada
pemerintah untuk menegakkannya dan memberi amaran yang keras kepada sesiapa
yang melakukan kezaliman".
3. Menyebarkan dakwah Islamiyah.
Allah swt berfirman:
"Orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan
mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat,
menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar dan
kepada Allah lah kembali segala urusan". (Surah Al-Haj:41)
Berdasarkan kepada ayat di atas, Allah menerangkan bahawa
diantara tanggungjawab pemimpin dan pemerintah Islam ialah menyebarkan dakwah
Islamiyah (amar makruf-nahi mungkar). Menyebarkan dakwah ini merangkumi orang
Islam dan orang bukan Islam. Dakwah kepada orang Islam bertujuan untuk islah
dan membentuk sebuah masyarakat Islam yang benar-benar menghayati Islam.
Sementara dakwah kepada orang bukan Islam bertujuan untuk menarik mereka kepada
kemurnian ajaran Islam dengan harapan mereka berhasrat untuk memeluk agama
Islam atau sekurang-kurangnya mereka menerima sistem pemerintahan Islam.
Rasullullah saw telah melaksanakan tanggungjawab ini
dengan jayanya di Madinah. Baginda dari masa ke semasa menyampaikan ajaran
Islam kepada rakyatnya melalui khutbah-khutbah, nasihat-nasihat dan
arahan-arahan yang diberikannya. Masjid dijadikan sebagai pusat dakwah dan
tarbiah .Hasilnya lahirlah insan-insan rabbani yang kuat berpegang dengan Islam
seperti Abu Bakar As-Siddik, Umar Al-Khatab, Usman bin Affan dan Ali bin Abi
Talib.
Kepada orang yang bukan Islam baginda menjalinkan
hubungan baik dan dibuat perjanjian damai serta diberi keadilan Islam.
Natijahnya ramai orang-orang yang bukan Islam memeluk Islam. Baginda juga telah
mengutus surat kepada Maharaja Rom dan Parsi menyeru mereka kepada Islam. Semua
ini dilakukan oleh baginda demi untuk menunaikan amanah dakwah yang dipikulkan
ke atas pundaknya. Allah swt berfirman:
"Dan Kami tidak mengutuskan kamu ,melainkan kepada
umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi
peringatan." (Surah Saba:28)
Inilah juga tugas dan tanggungjawab pemimpin umat Islam
.Pemimpin Islam hari ini hendaklah menggunakan segala wasilah yang ada untuk
tujuan dakwah terutamanya melalui media massa sama ada media cetak atau pun
media elektronik .Ini kerana media mempunyai pengaruh yang besar di dalam
membentuk pemikiran dan akhlak masyarakat. Berhubung dengan perkara ini,Al-Ustaz
Mustafa Mahsyur menyatakan:
" Sebaran am yang dilengkapkan dengan alat-alat
moden mempunyai peranan yang penting dan berkesan di dalam membentuk
masyarakat. Radio dan televisyen, pentas, panggung wayang, akhbar, majalah,
risalah, buku-buku ,syarikat penerbitan, pusat-pusat kebudayaan, kaset-kaset
dan lain-lain mempunyai peranan yang amat besar dalam menyebarkan pandapat
sesuatu dasar diperingkat tempatan dan antarabangsa. Kita dapati banyak
pertubuhan yang menggunakan sepenuhnya alat-alat ini untuk menyebarkan
dasar-dasarnya serta menghancurkan dasar-dasar yang lain. Oleh itu
pejuang-pejuang Islam (Pemimpin-pemimpin Islam) lebih utama menggunakan
alat-alat sebaran am ini untuk menyampaikan prinsip-prinsip Islam supaya
cahayanya bersinar ke seluruh alam dan dapat menghapuskan kegelapan kebendaan
yang banyak menyesatkan banyak negara di dunia ini".
4. Mempertahankan Islam dan bumi umat Islam.
Di dalam usaha untuk mempertahankan Islam dan bumi umat
Islam ini, jihad memainkan peranan yang amat penting.
Allah swt berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku
tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang
pedih?I aitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul dan berjihad pada jalan Allah
dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu„jika kamu
mengetahui". (Surah As-Shuf: 10-11)
Jihad terdapat dalam dua keadaan:
(1) Ketika damai
Ketika negara Islam dalam situasi damai, pemimpin Islam
berkewajipan membuat persediaan tentang kemungkinan-kemungkinan musuh datang
menyerang.
Allah swt berfirman:
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan
kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk
berperang. Kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan selain mereka yang
kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya". (Surah
Al-Anfal:60)
Persediaan yang dibuat mestilah ,merangkumi persediaan
dalaman dan luaran. Persediaan dalaman bermaksud bala tentera Islam mesti
ditanam rasa takwa dan cintakan syahid. Manakala persediaan luaran bermaksud
bala tentera Islam mestilah terlatih dan mahir untuk menggunakan alat-alat
senjata canggih.
(2) Ketika perang
Sekiranya negara diancam oleh musuh dan peperangan tidak
dapat dielakkan lagi maka pemimpin negara Islam wajarlah melancarkan jihad
fisabilillah demi mempertahankan darah dan bumi umat Islam. Pada zaman
Rasullullah saw setelah turunnya ayat membenarkan perang terhadap orang kafir
iaitu firman Allah swt:
"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang
diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah teraniya. Dan sesungguhnya Allah
benar-benar Maha Kuasa menolong mereka". (Surah Al-Hajj:39)
Maka baginda telah turun ke medan jihad memimpin bala
tentera Islam sehinggalah Allah memberikan kemenangan kepada Islam di dalam
peperangan Badar yang terkenal.
Demikianlah tanggungjawab pemimpin Islam didalam
mempertahankan Islam dan umatnya. Para pemimpin Islam hendaklah kehadapan di
dalam mempertahankan Islam dan sanggup berkorban apa saja demi kelangsungan
Islam.
Imam Khomeini pernah berkata:
"Saya menyeru kepada pemerintah-pemerintah
negara-negara Islam sama ada Arab atau bukan Arab, para ulama, golongan
cendiakawan, angkatan tentera dan masyarakat Islam seluruhnya supaya menjunjung
dan melaksanakan Islam. Kita mesti bangun menentang sebarang bentuk persekutuan
dengan kuasa kafir terutamanya Israel, Amerika, Rusia dan Inggeris. Saya
memberi amaran kepada semua kalangan yang bercita-cita untuk membelot daripada
perjuangan Islam, biar sekalipun nyawa saya tergadai kerananya."
Tanggungjawab di Akhirat
Pemimpin Islam bertanggungjawab di atas tugas-tugas
mereka selama di dunia ini pada hari akhirat kelak. Allah swt akan menyoal
tentang kepimpinannya di dunia sama ada menurut perintah Allah atau pun tidak.
Seterusnya Allah akan memberi balasan yang setimpal kepada mereka. Rasulullah
saw bersabda:
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan
ditanya tentang rakyatnya". (Bukhari dan Muslim)
Seandainya seorang pemimpin itu adil dan amanah di dalam
pemerintahan dan kepimpinannya maka Allah akan memberi balasan yang baik
untuknya. Rasulullah saw bersabda:
"Tujuh golongan yang dinaungi Allah pada hari yang
tidak ada naungan kecuali naungan-Nya iaitu pemimpin yang adil". (Bukhari
dan Muslim)
Namun sekiranya pemimpin itu zalim dan menyeleweng maka
Allah memberikannya balasan siksa. Rasulullah saw bersabda:
"Mana-mana pemimpin yang mengkhianati rakyatnya maka
dia di dalam neraka".
(al-Tabari)
Menyedari tentang tanggungjawab yang menggerunkan inilah
para pemimpin Islam pada zaman lampau amat takutkan pertemuan mereka dengan
Allah. Lalu mereka hidup sebagai seorang pemimpin yang warak, tawaduk dan
zuhud. Saidina Umar Al-Khattab semasa menjadi Amir Al-Mukminin pernah berkata:
"Demi tuhan yang nyawaku ditangan-Nya, seandainya
kebaikan-kebaikanku tidak berkurang nescaya aku telah menyertai kalian di dalam
kehidupan yang enak dan andaikata aku menghendaki tentulah aku yang paling baik
makanannya diantara kalian dan paling baik sejahtera hidupnya dan kalian lebih
mengetahui tentang makanan yang baik daripada pemakan-pemakannya. Namun kami
tinggalkan itu semua untuk menghadapi hari dimana perempuan-perempuan yang
menyusui lupa terhadap anak yang disusuinya dan setiap perempuan yang hamil
melahirkan kandungannya".
Begitulah pemimpin Islam pada zaman lampau yang amat
menyedari tangungjawabnya di hadapan Allah nanti dan ini sepatutnya menjadi
teladan kepada pemimpin-pemimpin Islam hari ini.
Penutup
Sesungguhnya pemimpin Islam yang memerintah di negara
umat Islam memikul tanggungjawab yang amat besar dan berat sama ada terhadap
manusia di dunia ini ataupun di hadapan Allah di akhirat nanti. Allah telah
menggambarkan di dalamAl-Quran tentang betapa besar dan beratnya tanggungjawab
tersebut sehingga gunung-ganang dan bukit-bukau tidak sanggup memikulnya.
Allah swt berfirman:
"Sesunguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada
langit,bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan memikul amanat itu dan
mereka bimbang akan mengkhianatinya dan dipikulkanlah amanat itu oleh manusia.
Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh". (Surah Al-Ahzab: 72)
Sesungguhnya tanggungjawab yang besar ini tidak mampu
dipikul kecuali oleh insan-insan yang beriman, beramal soleh dan bertakwa.
Wallau’aklam..