Firman Allah taala yang bermaksud: "Dan hendaklah ahli
Kitab Injil menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya;
dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah,
maka mereka itulah orang-orang Yang fasik." ( Al Maidah : 47 )
Kefahaman masyarakat Islam di Malaysia sudah sampai ke tahap
sayangi hukum Allah. Sebahagian besarnya sedar betapa pentingnya Hukum dan
Peraturan Allah untuk menyelesaikan masalah sosial yang berlaku kini. Malangnya
kerana sistem pendidikan, pemikiran, politik dan budaya telah mengaburi akal
mereka sehingga hampir tidak tahu bagaimana hendak mengaplikasikannya. Dalam
keadaan sebegini lahir sekumpulan yang berjuang untuk menegakkannya tetapi
dirasakan masih belum memuaskan dan kurang kesesuaian dengan hasrat mereka.
Adakah ini disebabkan bentuk penyampaian dan pengolahan yang disampaikan
sehingga hampir sebahagian umat Islam hilang kepercayaan? Sebenarnya,
pendidikan ala penjajah lebih mempengaruhi dalam membina diri dan tanggapan
masyarakat.
Selama ini sebahagian masyarakat yang beranggapan dirinya
muslim meletakkan apa yang dilakukannya sudah memadai untuk penerusan hidup
mereka dunia dan akhirat. Harapan ini tidak akan menjadi kenyataan kerana Allah
tetap menjanjikan kejayaan kepada mereka yang berpegang teguh tanpa
mengetepikan mana-mana yang wajib dilaksanakan. Tugas ini diletakkan pada bahu
pejuang-pejuang Islam khususnya gerakan Islam. Di Malaysia, tugas ini telah
ditanggung oleh PAS. Sudah pasti satu pendekatan baru perlu dijalankan dalam
membawa reformasi pemikiran masyarakat.
Kenapa Perlu Kepada Hukum Allah
Sejak merdeka sehingga hari ini semua peraturan dan
undang-undang yang diamalkan masih tidak mampu menyelesaikan dan mengurangkan
kadar gejala sosial yang berlaku. Ke mana lagi manusia perlu merujuk? Bukankah
kepada Yang maha Mencipta dan Maha Berkuasa!. Yakinkah manusia pada Allah
dengan penciptaan diri manusia yang serba indah ini? Sekiranya benar, maka
perlukah manusia memahami bahawa Allah jadikan manusia berserta dengan
peraturan hidupnya sekali? Bolehkah al-Quran itu diterima sebagai Perlembagaan
hidup yang terkandung di dalamnya peraturan-peraturan dan undang-undang dalam
kehidupan bermasyarakat? Adakah tahap keyakinan mencapai 100% atau masih ada
dalam pemikiran mengharapkan penghukuman model sendiri kerana beralasan kepada
masyarakat majmuk? Bukankah Allah datangkan manusia dalam pelbagai bangsa dan
kaum sebagai masyarakat majmuk yang kemudiannya disediakan peraturan hidup yang
sama, sama ada di waktu anak-anak, remaja, belia, dewasa sehingga kepada
kematiannya?
Jawapan perlu dilahirkan oleh akal yang waras, kerana
apabila Tuhan jadikan manusia maka sudah tentu dijadikan dengan peraturannya
sekali, sama juga dengan manusia bila mereka jadikan robot maka dijadikan
peraturan dan cara untuk robot itu beroperasi. Sebagai seorang muslim, marilah
tanam keyakinan diri bahawa seluruh dalil naqli (nas al-Quran dan al-Sunnah)
dan aqli (pendapat ulama) membuktikan bahawa undang-undang yang semestinya
mendominasi alam ini adalah undang-undang Allah. Kehidupan di alam ini tidak
akan tersusun secara ideal dan adil kecuali di bawah naungan hukum dan
peraturan Allah. Segala hal yang berlaku membabitkan manusia tidak akan dapat
diselesaikan melainkan merujuk kepada kaedah dan cara yang diperintahkan oleh
Allah. Maka perintah Allah itulah yang dikatakan sebagai hukum. Apabila ia
melibatkan bilangan yang ramai maka ia menjadi fardhu kifayah, iaitu fardhu
dalam erti kata wajib yang dituntut. Jika tidak dilaksanakan maka padahnya
berdosa dan zalim dengan erti kata yang lain gejala tersebut tidak dapat
diselesaikan atau diatasi. Maka itulah sebabnya wajib melaksanakan Hukum Allah.
Perintah Wajib Melaksanakan Hukum
Allah
Allah telah menyebut dengan jelas tentang perintah
melaksanakan Hukum dengan Hukum Allah dan akibat kepada keingkaran menempatkan
seseorang itu fasiq, kafir dan zalim. Sebagaimana disebut oleh Allah dalam
surah al-Maidah ayat 44, 45 dan 47 yang bermaksud:
44. "Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat,
Yang mengandungi petunjuk dan cahaya Yang menerangi; Dengan Kitab itu Nabi-nabi
Yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan
(dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah),
sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab
Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya
(dari sebarang perubahan). oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi
hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan
patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu
Dengan harga Yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain
keuntungan dunia); dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah
diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang
kafir.
45. Dan Kami telah tetapkan atas mereka di Dalam Kitab
Taurat itu, Bahawa jiwa dibalas Dengan jiwa, dan mata dibalas Dengan mata, dan
hidung dibalas Dengan hidung, dan telinga dibalas Dengan telinga, dan gigi
dibalas Dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). tetapi sesiapa
Yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan
sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan Allah, maka
mereka itulah orang-orang Yang zalim.
46. Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak
langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat Yang
diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, Yang
mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya Yang menerangi, sambil mengesahkan
benarnya apa Yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi
petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa.
47. Dan hendaklah ahli Kitab Injil menghukum Dengan apa Yang
telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa Yang tidak menghukum
Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang
Yang fasik.
Meskipun ayat-ayat ini ditujukan kepada Yahudi yang menerima
kitab Taurat dan Injil, sebenarnya bermaksud kepada mereka yang ada kitab
tetapi tidak mahu menghukum dengan kitab tersebut. Maka samalah dengan umat
Islam yang Allah sediakan al-Quran tetapi tidak mahu menghukum dengan al-Quran
tersebut. Sesungguhnya Allah telah melaknat kaum Yahudi dengan sebab tindakan
mereka itu dalam bentuk sentiasa berlaku persengketaan, jenayah, kemaksiatan
dan sebagainya. Begitu juga sekiranya umat Islam kini enggan maka Allah akan
murka sebagaimana Allah murka kepada kaum Yahudi sehinggalah ke hari ini.
Firman Allah di dalam Surah Yusof ayat 40 yang bermaksud:
“Keputusan (Hukum ) itu hanyalah kepunyaan Allah. dia Telah memerintahkan agar
kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui”
Berhukum dengan hukum Allah adalah manifestasi ( terjemahan
) iman dan tauhid, manakala mencanggahinya adalah
manifestasi kekufuran, syirik dan kezaliman.
Persoalan ini bukan suatu bahan gurauan, sendaan, kajian,
penangguhan atau rundingan. Hanya ada dua pilihan. Sama ada berhukum dengan
hukum Allah yang merupakan rentetan dari prinsip kehambaan mutlak kepada Allah
atau berhukum dengan hukum yang lain, dengan menyerahkan hak berhukum itu
kepada taghut, syirik dan kufur.
Inilah yang digambarkan oleh firman Allah dalam Surah
al-Nisā’ : 60 yang bermaksud:
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku
dirinya Telah beriman kepada apa yang diturunkan kepada mu dan kepada apa yang
diturunkan sebelum kamu? mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka
Telah diperintah mengingkari taghut itu. dan syaitan bermaksud menyesatkan
mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”.
Allah Taala sendiri menafikan keimanan mereka di dalam Surah
al-Nisā’ : 65 yang bermaksud:
“Maka demi Tuhan mu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman
hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan,
Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap
putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.
Hanya berhukum dengan hukum Allah menjamin kesejahteraan
kehidupan manusia rohani dan jasmani, individu dan komuniti di dunia mahupun di
akhirat. Ini merujuk kepada hakikat hukum dan perundangan Islam yang
bermatlamatkan kemaslahatan dan keadilan. Sekaligus ia mencegah kerosakan,
kemudaratan dan kezaliman. Walaupun ia kelihatan keras dan kasar namun
hakikatnya adalah kemaslahatan dan kesejahteraan. Inilah yang dijelaskan dalam
firman Allah di dalam Surah al-Baqarah : 179 yang bermaksud :
“Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup
bagimu, Hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa”.
Hukuman qisas walau kelihatan kasar dan keras ke atas
individu dan masyarakat namun ia menjamin keamanan dan kesejahteraan mereka.
Bila ia dijalankan secara berkesan masyarakat akan menjalani kehidupan seharian
dengan penuh ketenangan. Tanpa bimbang dan takut kepada penjenayah-penjenayah
yang membarah rasa tidak selamat. Lihatlah pada realiti kehidupan masyarakat,
akibat daripada meninggalkan hukum Allah. Kecurian, rompakan, rogol, samun,
pembunuhan, penagihan dadah, zina, judi, rasuah dan sebagainya telah menjadi
suatu penyakit masyarakat bahkan industri yang terlalu amat berkembang.
Akibatnya lahirlah rasa bimbang, rasa curiga, wasangka, kezaliman, masyarakat
tanpa nasab keturunan, kemiskinan, budaya berseronok yang melampau, budaya
hiburan yang merosakkan, ketidakseimbangan agihan kekayaan, kemiskinan dan
kemelaratan.
Kelebihan Melaksanakan Hukum Allah
Setelah merujuk kepada perintah Allah dan pelaksanaannya di
zaman Rasulullah maka terpancar di pemikiran yang sihat bahawa pelaksanaan
hukum Allah mendatangkan kebajikan, keadilan, keamanan dan kesempurnaan hidup
seluruh umat manusia. Ini merupakan ganjaran yang diberikan oleh Allah kepada
umat manusia apabila melaksanakan hukum Allah tanpa mengira dasar politik dan
berbilang kaum. Bahkan ia akan meningkatkan lagi hubungan persaudaraan dan
kasih-sayang sesama manusia. Malah ia akan memadamkan segala perpecahan dan
perkelahian (al-Qaradhawy, 1997b:18). Segala macam ancaman kepada masyarakat
akan dapat diselesaikan dengan sempurna. Segala bentuk gejala sosial akan dapat
dileraikan dengan baik tanpa sebarang kekecohan dan kekeliruan. Apa yang paling
penting ialah kesan daripada pelaksanaan tersebut menghasilkan kemanisan iman
dan kecintaan kepada Allah.
Keadilan Allah yang mutlak itulah
menjamin kehidupan yang sejahtera.
Sekiranya manusia menggunakan hukum ciptaannya sendiri maka
ia telah mempersendakan Allah yang menyebabkan kufur dan syirik kepada Allah.
Sekiranya ia perbuatan orang bukan Islam maka padanlah mereka sememangnya
syirik dan kufur, tetapi jika seseorang mukmin bertindak demikian maka
hilanglah segala amalan dan keislamannya. Ia bertepatan dengan firman Allah di
dalam Surah al-Nahl : 116 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang
disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "Ini halal dan Ini haram",
untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang
mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung”
Wallahu'aklam..