Tatacara hidup suami isteri Adam dan Hawa di bumi mulai
tertib dan sempurna tatkala Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang
akan menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pertama lahirlah
pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama "Iqlima",
kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi
nama "Lubuda".
Kedua orang tua,
Nabi Adam dan Siti Hawa, menerima kelahiran keempat putera puterinya itu dengan
senang dan gembira, walaupun Hawa telah menderita apa yang lumrahnya dideritai
oleh setiap ibu yang melahirkan bayinya. Mereka mengharapkan dari keempat anak
pertamanya ini akan menurunkan anak cucu yang akan berkembang biak untuk
mengisi bumi Allah dan menguasai sesuai dengan amanat yang telah di bebankan ke
atas bahunya.
Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih
sayang maka membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa
kanak-kanak dan menginjak masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan kudrat dan
fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang
menjadi tugas wanita,sedang yang laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari
nafkah untuk memenuhi keperluan hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian
sedangkan Habil di bidang perternakan.
Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan Hawa berjalan
tertib sempurna diliputi rasa kasih sayang saling cinta mencintai hormat
menghormati masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukan yang wajar si ayah
terhadap isterinya dan putera-puterinya,si isteri terhadap suami dan
anak-anaknya. Demikianlah pula pergaulan di antara keempat bersaudara berlaku
dalam harmoni damai dan tenang saling bantu membantu hormat menghormati dan
bergotong-royong.
Keempat Anak Adam Memasuki Alam Remaja
Keempat putera-puteri Adam mencapai usia remaja dan
memasuki alam akil baligh di mana nafsu berahi dan syahwat serta hajat kepada
hubungan kelamin makin hari makin nyata dan nampak pada gaya dan sikap mereka
hal mana menjadi pemikiran kedua orang tuanya dengan cara bagaimana menyalurkan
nafsu berahi dan syahwat itu agar terjaga kemurnian keturunan dan menghindari
hubungan kelamin yang bebas di antara putera-puterinya.
Kepada Nabi Adam Allah memberi ilham dan petunjuk agar
kedua puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik
Habil yang bernama Lubuda dan Habil dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.
Cara yang telah di ilham oleh Allah s.w.t. kepada Nabi
Adam telah disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang
harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana
damai dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga mereka. Akan tetapi
dengan tanpa diduga dan disangka rancangan yang diputuskan itu ditolak
mentah-mentah oleh Qabil dan menyatakan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda,
adik Habil dengan mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak
secantik adiknya sendiri Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut
mempersunting adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali tidak rela
menyerahkannya untuk dikahwinkan oleh Habil. Dan memang demikianlah kecantikan
dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang
kadang-kadang menjurus kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai
mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki di antara
sesama keluarga dan sesama suku.
Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima
keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri
Iqlima maka Nabi Adam seraya menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang
dapat menimbulkan perpecahan di antara saudara serta mengganggu suasana damai
yang meliputi keluarga beliau secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan
masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa
masing- masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan
dengan catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu diterima
korbannya ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang
ditawarkan oleh ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya
sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk
tanamnya yang rosak dan busuk kemudian diletakkan kedua korban itu kambing
Habil dan gandum Qabil di atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan
dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis korban itu.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga
Adam yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di
mana kedua korban itu diletakkan, terlihat api besar yang turun dari langit
menyambar kambing binatang korban Habil yang seketika itu musnah ternakan oleh
api sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api
dan tetap tinggal utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang
dalam pertaruhan itu karena korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga
dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis
saudaranya itu yang akan dipersandingkan menjadi isterinya.
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia
Dengan telah jalurnya keputusan dari langit yang menerima
korban Habil dan menolak korban Qabil maka pudarlah harapan Qabil untuk
mempersandingkan Iqlima tidak puas dengan keputusan itu namun tidak ada jalan
untuk menyoalkan. Ia menyerah dan memerainya dengan rasa kesal dan marah sambil
menaruh dendam terhadap Habil yang akan dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.
Ketika Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah
beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan
kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama
ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan
rumahtangga terpelihara baik-baik jangan sampai terjadi hal-hal yang mengeruhkan
suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan yang sudah akrab dan intim.
Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan
kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya dengan
sebaik-baiknya dan sempurna berpergiannya akan mendapat segala sesuatu dalam
keadaan baik dan menyenangkan. Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari
mulut Qabil namun dalam hatinya ia berkata bahawa ia telah diberi kesempatan
yang baik untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan
dengkinya terhadap Habil saudaranya.
Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya
datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata ia kepada
Habil:"Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku
lenyapkan engkau dari atas bumi ini."
"Apa salahku?"tanya Habil. Dengan asalan apakah
engkau hendak membunuhku?"
Qabil berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh
Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini
adikku Iqlima yang cantik dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang
buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik itu."
Habil berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah
menerima korbanku dan menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara
penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami
laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu
dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat
perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari
orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang
suci dan niat yang murni.Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau
serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan
engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga
ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban
yang sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan
ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan
buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh
yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa
jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat
tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan
melakukan sesuatu yang tidak diredhainya.Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan
kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."
Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh
Qabil namun masuk telinga kanan keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak
sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati
sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada
saudara sekandungnya. Qabil yang dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya
kesempatan untuk menoleh kebelakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat
yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengkin
didalam dadanya mulai akan padam dikipasinya kembali oleh Iblis agar tetap
menyala-yala dan ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh
Habil saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya
dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu diterapkannya
atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habil sebagai
korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan
pertama dalam sejarah manusia
Penguburan Jenazah Habil
Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat
saudaranya.ia tidak tahu apa yang harus diperbuat dengan tubuh saudaranya yang
semakin lama semakin busuk itu.Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang
dipikulnya seraya mundar-mundir oleh Qabil dalam keadaan sedih melihat
burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang
sudah busuk itu.
Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak berlangsung lama
kerana ditolong oleh suatu contoh yang diberikan oleh Tuhan kepadanya
sebagaimana ia harus menguburkan jenazah saudaranya itu.Allah s.w.t. Yang Maha
Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan
tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka dipertunjukkanlah kepada
Qabil, bagaimana seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya,
lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang
yang telah digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan
pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil sejenak
lalu berkata pada dirinya sendiri:"Alangkah bodohnya aku, tidakkah aku dapat
berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti caranya menguburkan mayat
saudaraku ini?"
Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya.Ia tidak
melihat Habil di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul.Bertanyalah ia
kepada Qabil:"Di manakah Habil berada?Aku tidak melihatnya sejak aku
pulang."
Qabil menjawab:"Entah, aku tidak tahu dia ke mana!
Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."
Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari
Qabil, Adam dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil,
puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya
itu.Pada akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu
peninggalannya.Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam dan ganas itu
di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan
sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan yang menyesatkan.
Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berpasrah kepada
Allah menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniai
kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar
bagi puteranya Qabil.
Kisah Qabil dan Habil Dalam Al-Quran
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah
(mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan
sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban
(untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di
antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata
(Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab:
"Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
(Al-Maidah 5:27)
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia
tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia
dari golongan orang-orang yang rugi .(Al-Maidah 5:30)
Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak
(menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil)
bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai
celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat
seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?".
Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal. (Al-Maidah 5:31)
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam a.s.
Bahawasanya Allah s.w.t. hanya menerima korban dari
seseorang yang menyerahkannya dengan tulus dan ikhlas, tidak dicampuri dengan
sifat riyak, takabur atau ingin dipuji.Barang atau binatang yang dikorbankan
harus yang masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya dari harta dan
penghasilan yang halal.Jika korban itu berupa binatang sembelihan, harus yang
sihat, tidak mengandungi penyakit atau pun cacat, dan jika berupa bahan makanan
harus yang masih segar baik dan belum rusak atau busuk.
Bahawasanya penyelesaian jenazah manusia yang terbaik
adalah dengan cara penguburan sebagaimana telah diajarkan oleh Allah kepada
Qabil.itulah cara paling sesuai dengan martabat manusia sebagai makhluk yang
dimuliakan dan diberi kelebihan oleh Allah di atas makhluk-makhluk lainnya,
menurut firman Allah dalam surah "Al-Isra" ayat 70 yang bererti ;
"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam.Kami angkut mereka di
daratan dan di lautan.Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami
lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang
telah Kami ciptakan."