Seseorang itu dianggap terkeluar daripada iman dan Islam
apabila dia beri’tikad, berkata-kata atau melakukan perbuatan yang membatalkan
ikrar dan tasdiq dua kalimah syahadah dan diwajibkan kepada kerajaan Islam
melaksanakan hukum murtad (hudud) ke atasnya.Berdasarkan Al-Quran dan sunnah
Rasulullah, Al-Imam At-Tahawi menyenaraikan empat perkara asas yang membatalkan
iman, iaitu :
1. Mengingkari sifat Rubbubiyyah [4]
Setiap iktikad, perkataan dan tindak-tanduk yang mengengkari
dan tidak mempercayai Allah sebagai kuasa yang mencipta alam dan sekalian
makhluk, mentadbir, memberi rezeki, boleh menyebabkan seseorang menjadi kufur.
Dan jika kamu bertanya kepada mereka, siapakah yang
menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab : Allah!. Maka bagaimanakah mereka
dapat dipalingkan. (Az-Zukhruf : 87)
2. Mengingkari sifat Uluhiyyah [5]
Setiap iktikad, kepercayaan dan tindak-tanduk yang
mengengkari dan tidak mempercayai Allah sebagai ilah dengan penuh kasih, takut,
dll serta tidak disekutukan ibadat selain kepadaNya dan menerima segala
hukum-Nya dengan yakin dan redha.
Hanya kepada Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada
Engkaulah kami minta pertolongan. (Al-Fatihah : 5)
Inilah dasar yang memisahkan antara mukmin dan kafir kerana
ramai manusia mempercayai sifat Rubbubiyyah Allah tetapi mengengkari sifat
Uluhiyyah Allah.
Dan seandainya kamu bertanya kepada mereka siapakah yang
menciptakan mereka, nescaya mereka akan menjawab : Allah!, tetapi bagaimanakah
mereka dapat dipalingkan (daripada beriman kepada Allah)? (Az-Zukhruf : 87)
3. Mengingkari Asma’ Allah dan sifat-sifat-Nya
- Kafir Nafi
Menafikan dan mengengkari
mana-mana sifat Allah seperti ilmu-Nya, qudrat-Nya dll atau mentakrifkan
mana-mana sifat Allah dengan takrifan yang kurang sempurna seperti menyamakan
ilmu Allah dengan ilmu makhluk (terhad) dan mempertikaikan hak dan kekuasaan
Allah seperti tidak merujuk kepada perintah dan larangan Allah dalam menggubal
undang-undang.
- Kafir Isbat
Menetapkan mana-mana sifat
kekurangan atau mustahil bagi Allah sedangkan Al-Quran dan Hadith menafikannya
seperti mengatakan Allah mempunyai anak dan isteri serta mengadakan peraturan
sendiri yang bercanggah dengan yang telah ditetapkan oleh Allah.
4. Mengingkari Rasulullah dan kerasulannya.
Setiap i’tikad, perkataan dan tindak-tanduk yang mengengkari
dan mencela peribadi dan kerasulan Rasulullah serta apa yang disampaikannya
seperti tidak melaksanakan hukum Islam dalam pemerintahan, mengkafirkan sahabat
dll.
LANJUTAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN
Kita telah memahami bagaimana seseorang itu dianggap
menganut Islam dalam erti kata yang sebenarnya dan tertanam di dalam hatinya
ciri-ciri iman. Ada orang dikurniakan oleh Allah SWT dengan iman yang teguh
sehingga dia meninggal dunia dengan mentasdiqkan La Ilaha Illallah Muhammad
Rasulullah dan ada pula orang yang berpaling tadah dengan sebab engkar dan
durhakanya.
Orang yang ditetapkan imannya pula, ada yang dianggap
sentiasa di dalam kebaikan, ada pula yang cuai dan ada pula yang menzalimi
dirinya sendiri. Ada orang yang masuk syurga dengan tiada hisab, ada pula orang
yang dimasukkan ke neraka kerana dosa sehinggalah Allah melepaskannya dari
neraka dengan kurniaanNya.
Adapun orang yang dicabut imannya perlulah kita mengkaji
kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh ulama’ berdasarkan al-Quran dan sunnah
Rasulullah saw, di antaranya ialah apa yang ditegaskan oleh al-Imam At Tahawi
rahimahullah di dalam kitabnya.
“Dan kami menamakan ahli-ahli qiblat kami orang-orang Islam
dan orang-orang beriman selagi mereka mengakui apa yang dibawa oleh Nabi saw
dan membenarkan apa-apa yang disabda dan diberitahu…Kami tidak mengkafirkan
seseorang pun di kalangan ahli al qiblat dengan sebab melakukan dosa selagi dia
tidak menghalalkannya, dan kami tidak berkata, ‘bahawa mereka telah memberi
mudharat bersama iman itu oleh dosa sesiapa yang melakukannya…Dan seorang hamba
itu tidak terkeluar daripada iman melainkan dengan mengengkari hukum terhadap
apa yang diceburinya.”
Penjelasan daripada kaedah itu ialah bahawa hukum syara’ telah
menjelaskan bagi Iman dan Islam itu ada pintu masuk dan pintu keluarnya.
Sebagaimana yang dinyatakan dahulu, sesungguhnya ikrar dan mentasdiqkan dua
kalimah syahadah itu menjadi pintu masuk dan kuncinya. Maka orang itu dianggap
keluar daripada iman dan Islam apabila lahir daripadanya perkataan, perbuatan
atau iktikad yang membatalkan ikrar dan tasdiq dari dua kalimah syahadah yang
memberi makna mentauhidkan Allah swt pada Rubbubiyah, Asma’ dan SifatNya, dan
mentauhidkan Allah pada Uluhiyyah. Dan sebahagian yang kedua daripada syahadah
itu berikrar dan mentasdiqkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW di
samping mengakui segala sifat kenabian dan kerasulan.
Oleh itu, sesiapa yang bercakap atau melakukan
perkara-perkara yang menunjukkan keingkarannya terhadap ikrar syahadah itu,
maka syahadahnya terbatal dan keluarlah dia daripada Islam dan diwajipkan
kepada kerajaan Islam melaksanakan hukum murtad ke atasnya, bermula daripada
disuruh bertaubat sehinggalah dijatuhkan hukuman bunuh kalau dia tidak mahu bertaubat
dan tempatnya kekal di dalam neraka kalau dia mati di dalam keadaan begitu.
Adapun seorang mukmin itu melakukan dosa maka tidaklah batal
imannya sekalipun dia belum bertaubat jika tidak ada padanya perkara-perkara
yang membatalkan syahadahnya, jika Allah mengkehendaki dia mengampuninya, dan
dengan kehendakNya juga dia dimasukkan ke dalam neraka, kemudian dimasukkannya
pula ke syurga, kerana terlalu banyak hadith-hadith yang sahih yang menyatakan
bahawa Allah swt membebaskan dari neraka orang-orang yang ada iman di hatinya
walaupun sebesar zarrah dan firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik denganNya
dan Dia mengampuni yang lain daripada itu akan sesiapa yang dikehendaki.”
(An-Nisa’ : 116)
Oleh itu, maka perkara yang menyebabkan terkeluarnya
seseorang itu daripada agama Islam atau terbatal imannya ialah :
- mengingkari sifat Rubbubiyyah atau mencelanya,
- mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan sifat-sifatNya
- mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah
- mengingkari atau mencela Rasulullah saw atau kerasulannya.
Keempat-empat perkara tersebut berlaku dengan i’tiqad,
perkataan dan perbuatan, di mana sesiapa yang melakukannya batallah imannya dan
keluar daripada agama Islam dan syahadahnya tidak sah. Wal’iyadzubillah.
Bagi menjelaskannya ialah :
1. Mengingkari sifat Rubbubiyyah atau mencelanya
Yang pertama di dalam tauhid itu ialah mentauhidkan Allah
swr pada RubbubiyahNya beri’tiqad bahawa Dialah Tuhan yang menciptakan alam,
mentadbir, memilikinya, memberi rezeki, segala-galanya di bawah pengetahuan,
kehendak dan kebijaksanaanNya yang tidak terhingga. Maka setiap i’tiqad,
perkataan dan tindak-tanduk yang menunjukkan keingkarannya menjadi kafir dan
riddah, seperti orang yang menganggap ada yang Qiddam (sedia) selain daripada
Allah swt sehingga ia tidak berhajat kepada penciptanya, mengingkari bahawa
makhluk itu ciptaan Allah swt, menganggap Allah tidak mengambil tahu terhadap
makhluk setelah dijadikanNya, menganggap adanya rezekiyang bukan dari Allah
swt, menjadi kufur orang yang menganggap sifat itu dipunyai juga oleh ynag lain
daripada Allah swt seperti yang dinyatakan oleh Fir’aun :
“Akulah Tuhan kamu yang maha tinggi.” (An Naaziat: 24)
Atau mengaku dirinya berkuasa memiliki, memberi rezeki dan
mentadbir selain daripada Allah swt atau bersekutu dengan Allah swt. Dan
menjadi kafir juga orang-orang yang ikut atau mempercayai sesiapa yang membuat
pengakuan tersebut.
2. Mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan sifat-sifatNya
Allah swt dan RasulNya saw telah mensabitkan bagiNya
beberapa nama (Asma’) dan sifat, di samping menafikan beberapa sifat. Maka
sesiapa yang menafikan atau mengurangkan apa yang disabitkan oleh Allah atau
yang dinyatakan oleh Rasulullah , maka dia menjadi kafir. Begitu juga orang-orang
yang mensabitkan bagi Allah swt apa yang dinafikan oleh oleh RasulNya saw.
Adapun mengkafirkan sifat-sifat Allah dan Asma’Nya itu
dengan dua cara, iaitu kafir Nafi dan kafir Ithbat. Kafir Nafi itu ialah
menidakkan atau menafikan mana-mana sifat Allah swt seperti menafikan ilmuNya,
qudratNya dan lain-lain sifat yang dinyatakan di dalam al-Quran dan Sunnah
Rasulullsh saw. Juga termasuk menafikan sifat dan mentakwilkan dengan takwil
yang mengurangkan atau menghadkan kesempurnaan Allah swt, seperti orang yang
mengaku Allah itu bersifat ‘ilmu tetapi ‘ilmu secara ijmal, dia tidak
mengetahui secara tafsil dan detail atau menyamakan sifat Allah swt dengan
sifat makhluk.
Kafir Ithbat itu ialah menetapkan mana-mana sifat kekurangan
atau sifat yang mustahil bagi Allah swt sedangkan Allah swt dan RasulNya
menafikan sifat itu, seperti menyatakan bahawa Allah itu mempunyai anak, isteri
atau sekutu-sekutu, Allah swt itu mengantuk, tidur, lalai, mati dan sebagainya.
Begitu juga orang-orang yang mengaku bersifat seperti Allah swt maka kafirlah
orang yang berkata begitu dan kafir juga orang yang mempercayainya.
3. Mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah
Iaitu perkataan atau perbuatan atau i’tiqad yang mengingkari
bahawa Allah swt sahaja yang disembah dengan sebenarnya, yang lain daripadaNya
tidak berhak disembah dan diabdikan diri kepadaNya dengan pengertian ibadat.
Maka sesiapa yang berkata atau beramal atau beri’tiqad dengan cara yang
bercanggah dengan UluhiyyahNya, maka kafir dan murtadlah dia. Dan kekafiran
inilah yang paling banyak berlaku di kalangan manusia. Sesungguhnya kebanyakan
manusia sejak dahulu hingga sekarang mengakui tauhid Rubbubiyah dengan
mempercayai qudrat Allah swt, tadbirNya, rezekiNya, Dialah yang menghidupkan dn
mematikan, iaitulah apa yang dimaksudkan oleh firman Allah yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya jika kamu bertanyakan mereka, ‘Siapakah
yang menciptakan mereka?’. Nescaya mereka menjawab, ‘Allah’”. (Az Zukhruf : 87)
Tetapi mereka mengingkari di dalam i’tikad, perkataan dan
perbuatan terhadap Uluhiyyah Allah seperti beribadat kepada yang lain daripada
Allah swt, mengakui hukum dan undang-undang yang lain daripada syari’at Allah
dengan hati dan lidah.
4. Mengingkari atau mencela Rasulullah saw atau kerasulannya
Iaitu perkataan atau perbuatan atau i’tikad yang menafikan
atau mencela kerasulan atau peribadi orang yang menjadi rasul saw dan
mengingkari apa-apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw seperti tentang
kebangkitan selepas mati, tentang masyhar, hisab, mizan, sirat, syurga, neraka
dan lain-lain lagi daripada perkara-perkara ghaib. Begitu juga mengingkari
al-Quran dengan apa cara sekalipun kerana al-Quran itu disampaikan oleh
Rasulullah saw bahawa ianya dari Allah swt. Begitu juga mengingkari hukum yang
sabit menurut nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw yang diketahui oleh setiap
orang Islam seperti wajibnya sembahyang, puasa, zakat, haji, halal dan haram
melainkan mengingkari perkara-perkara yang diketahui oleh orang-orang yang
berilmu sahaja, maka dimaafkan kerana jahilnya tetapi tiada maaf lagi setelah
diberitahu.
Berkata al Imam Ibn Hajar al Haitami di dalam kitabnya :
“Di antara perkara-perkara kufur dan syirik itu ialah
seseorang yang berazam untuk menjadi kafir dan syirik sama ada dalam masa yang
dekat atau jauh, atau mentaklidkan dengan lidahnya dan hatinya untuk menjadi
kafir walaupun dengan perkara yang mustahil pada akal, maka dia menjadi kafir
ketika itu juga. Atau secara ingkar dan bersenda-senda seperti beri’tikad
dengan qadimnya alam, atau menafikan apa yang diwajibkan bagi Allah swt dengan
ijma’ dan diketahui oleh umum umat Islam seperti menafikan ilmu Allah swt itu
terbatas, ataupun mensabitkan apa yang nafi bagi Allah swt seperti menetapkan
warna bagiNya.”
Dan seterusnya Ibn Hajar menghuraikan : “termasuk di dalam
makna itu apabila seseorang yang menyatakan dia sebagai Islam tiba-tiba dia
melakukan perkara-perkara yang menjadi ijma’ berlaku di kalangan orang kafir
seperti mengunjungi gereja bersama-sama orang kafir dengan cara dan pakaian
yang sama, atau orang yang membuang kertas yang mengandungi ayat-ayat Quran
atau Ismullah ke dalam najis, atau meragui mana-mana nabi atau mana-mana Kitab
seperti Taurah, Injil atau Zabur atau Suhuf Ibrahim, atau mana-mana ayat
al-Quran. Atau menyesatkan umat yang tidak sesat, atau mengkafirkan sahabat,
atau mengingkari Mekah, Kaabah, Masjid al Haram, atau sifat-sifat haji,
sembahyang dan puasa, atau menghalalkan yang haram seperti mengharuskan
sembahyang tanpa wudhu’ dalam perkara yang tidak uzur, menghalalkan kezaliman
ke atas orang Islam atau kafir zimmi tanpa dalil syar’ie yang mengharuskan dia
beri’tikad begitu, atau mengharamkan yang halal seperti mengharamkan jual beli
dan nikah, atau mengatakan sesuatu yang tidak patut terhadap Rasulullah saw
seperti warnanya hitam, mati sebelum berjanggut, tidak Quraisy, bukan Arab,
bukan manusia, kerana berkata begitu adalah membohongi keadaan yang sebenar.
Begitu juga mengharuskan ada nabi selepas daripadanya atau
melahirkan keraguannya seperti berkata : ‘Saya tidak tahu sama ada yang
dibangkitkan di Mekah mati di Madinah atau orang lain.’ Atau mengatakan bahawa
jadi Nabi itu boleh diusahakan, atau menyatakan wali itu lebih tinggi
martabatnya daripada nabi dan malaikat, melaknatnya atau memakinya atau
mempersendakannya. Kemudiannya Ibn Hajar menyatakan bahawa menjadi kafir juga
orang yang meredhakan kafir seperti menasihatkan orang kafir supaya jangan
masuk Islam.
Berkata al Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ketika
menafsirkan firman Allah swt yang bermaksud :
“Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah, maka mereka orang-orang yang kafir.” (Al-Maidah : 44)
“…Tidak syak lagi bahawa sesiapa yang tidak beri’tikad
wajiblah berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt adalah
menjadi kafir. Sesungguhnya setiap umat Islam itu mestilah memerintah dengan
adil. Kadang-kadang keadilan menurut hukum mereka ialah yang dipandang oleh
pembesar-pembesar mereka. Bahkan banyak sekali di kalangan orang yang mengaku
Islam berhukum dengan adat yang bukannya diturunkan oleh Allah swt seperti
orang Badwi di zaman dahulu di mana mereka berpendapat itulah hukum yang
sayugia dilaksanakan, bukannya kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw.”