'Hai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah
dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada pemangku kekuasaan di antaramu. Maka
jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab)
Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari
kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya."
Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan
jelas memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan
atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.
Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan
mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru
apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat
kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan
sesiapa.
Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36
dengan menegaskan, ''Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun."
Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan
pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan
sebijak-bijaknya.
Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat
andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud
cabar-mencabar.
Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu
diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur
orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh
Allah.
Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud;
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan
hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih
baik."
Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin
banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh
seseorang itu mempunyai kebenarannya.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa
sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga
menegaskan,
''Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran,
maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah
dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini
adalah keimanan paling lemah."
Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita
haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang
perantaraan' bagi menjelaskan sesuatu perkara.
PANDUAN
Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan
sesuatu teguran itu ialah;
1) tidak merendahkan ego orang yang ditegur
2) mencari waktu yang tepat
3) memahami kedudukan orang yang ditegur
Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita
memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus
melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan
kata-kata yang tidak sepatutnya.
Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya
hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau
tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan
diperhitungkan oleh Allah.
Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan
menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan
antara kita.
Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman
Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,
''Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali
(agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah
kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu
lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal
dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu
daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu
mendapat petunjuk."
Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat
seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul
kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.
Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah
kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana
firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;
''Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan
kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut."
Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap
dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka
jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.
Rasulullah s.a.w bersabda,
''Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati
nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada
nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh
mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya
hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia
mahukan''.
Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan
sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang
bukan-bukan kepada seseorang ini.
Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah
(min afat al lisan) yang sangat berbahaya.
Dalam buku Ihya 'Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan
enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut
iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua
keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.
Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh
ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta,
dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi
sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak
disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah
menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.
BANGGA
Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah
dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) - kedua-dua adalah
penyakit yang boleh 'mematikan' hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang
dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.
Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan
dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah
sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.
Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan
diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal
kebenaran dan kebatilan.
Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran
ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat
yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran
dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang
bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada
mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat."