Syeikh Sulaiman bin Abdullah telah membahagikan syirik
itu kepada empat bahagian iaitu :
Syirik Rububiyyah,
Syirik Asma’,
Syirik Sifat
dan Syirik Ubudiyyah.
Bentuk Syirik Rububiyyah ialah mempersekutukan Allah
dalam pentadbiran alam ini iaitu, Pertama – Menafikan Allah sebagai pentadbir
alam ini sebagaimana ucapan yang dilafazkan oleh firaun yang termaktub di dalan
Al-Quran yang bermaksud:” (Firaun berkata) akulah tuhan kamu yang tertinggi”.
Surah An-Nazi’aat ayat 24. Kedua – Mengiktiraf adanya kuasa selain Allah yang
mengurus alam ini.
Manakala Syirik Asma’ dan Sifat iaitu menyamakan
sifat-sifat Allah dengan sesuatu yang lain, sama ada dalam bentuk tindakan atau
percakapan. Ia juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Pertama – Menyamakan
Allah dengan makhluk seperti pendapat yang mengatakan tangan Allah seperti
tangan makhluk, pandangan dan pendengaran Allah sama seperti pendengaran
manusia sedangkan Allah bersifat sempurna sebagaimana firmannya yang bermaksud:
“Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengannya”. Kedua – Menyatakan sifat
Allah S.w.t. kurang atau lemah yang nyata bertentangan dengan sifat Allah
s.w.t., Yang Lengkap lagi Maha Tinggi.
Syirik Ubudiyyah iaitu syirik dari segi penyembahan yang
banyak berlaku dalam masyarakat kita sama ada disedari atau tidak iaitu:
Pertama – Menyembah selain Allah. Meminta dan bergantung harap kepada selainnya
seperti meminta sesuatu kepada pokok, busut, kubur keramat, pantai dan
lain-lain lagi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan jangan
kamu menyekutukan sesuatu pun denganNya”. Surah An-Nisa’ : Ayat 36.
Kedua – Beribadat dengan tidak ikhklas (riak). Ia
beribadat mungkin kerana kepentingan diri, mencari nama, pangkat, pengaruh dan
sebagainya. Ia juga disebut sebagai syirik kecil. Dalam satu peristiwa yang
diriwayatkan oleh Ibnu Majjah dan Al-Hakim, seorang sahabat bernama Syaddadi
bin Aus telah menemui Rasulullah s.a.w. pada suatu malam dan mendapati baginda
sedang menangis, lalu ia pun bertanya :” Kenapa Rasulullah s.a.w. menangis?,.
Baginda menjawab:” Aku takut umatku ditimpa syirik walhal mereka bukan
menyembah berhala, tidak pula menyembah bulan dan matahari atau batu, hanya
kerana mereka berlaku riak dalam mengerjakan amalan”.
Menurut Dr Yusuf Al-Qardawi, syirik terdiri dari dua
jenis, dikenali dengan syirik akbar dan syirik asghar. Syirik Akbar ialah
syirik yang tidak diampunkan oleh Allah dan pelakunya tidak akan dimasukkan
sama sekali ke syurga. Manakala Syirik Asghar pula adalah di antara dosa-dosa
besar yang dikhuatiri orang yang melakukannya dan yang berterusan melakukannya
akan membawa kepada mati di dalam keadaan kafir jika Allah tidak memberi
pertolongan dengan rahmat-Nya sekiranya dia tidak bertaubat sebelum mati.
1. Syirik Akbar Jali (terang) dan Khafi (tersembunyi)
Syirik Akbar terbahagi kepada dua iaitu Syirik Akbar Jali
(terang) dan Syirik Akbar Khafi (tersembunyi). Syirik akbar yang terang ialah
beribadah kepada satu tuhan atau beberapa tuhan di samping Allah SWT sama ada
tuhan tersebut berbentuk objek seperti matahari, bulan atau benda mati seperti
berhala atau batu ataupun tuhan tersebut berbentuk binatang seperti anak lembu
atau bapak lembu atau tuhan yang berbentuk manusia seperti Firaun yang mendakwa
dirinya tuhan.
Ahmad Mohd Salleh (2002) menjelaskan syirik akbar ialah
menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk dari aspek penciptaannya seperti
mempercayai ada kuasa lain selain daripada kuasa Allah SWT yang lebih berkuasa.
Firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu
dengan) Allah, Maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya
ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” Surah Al-Maa’idah: Ayat 72
Secara kesimpulannya, Syirik Akbar ialah mempersekutukan
Allah dengan sesuatu yang lain, dengan mempercayai dan menyembah sesuatu yang
dianggap mempunyai kuasa luar biasa, sama ada sebagai pengantara dengan Allah
seperti berhala, sebagai anak Allah, isteri, roh ataupun mempunyai kuasa tertentu
yang hanya milik Allah SWT. (Mardzelah Makhsin, 2003). Syirik akbar adalah
syirik yang sebenar, yang tidak diampunkan oleh Allah SWT dan orang Islam yang
melakukannya boleh dijatuhkan hukuman murtad.
Perkara ini dilakukan oleh orang-orang Quraisy kerana
pada hakikatnya mereka masih mempercayai kewujudan Allah dan bersumpah dengan
nama Allah tetapi mereka mensyirikkan Allah dengan mengambil berhala sebagai
sembahan. Oleh itu mereka disebut dalam al-Quran sebagai musyrikun atau
kafirun. Begitu juga dengan orang-orang yang beragama Kristian yang mengambil
Isa a.s sebagai anak tuhan yang disembah selain daripada Allah demi mendapatkan
keampunan. Begitulah juga orang Yahudi yang menganggap Uzair anak Tuhan dan
bangsa Yahudi sebagai bangsa yang terpilih di sisi Allah. Oleh kerana itu
mereka melakukan syirik yang besar dan ini mengeluarkan mereka daripada agama
Tauhid yang dibawa oleh para Nabi, dan rasul terakhir Muhammad SAW. Firman
Allah SWT yang bermaksud, “Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu putera Allah”
dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Maseh itu putera Allah”. Demikianlah itu
Ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir
yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?:”
Surah at-Taubah: Ayat 30
Bagi orang Islam, sesiapa yang mempercayai, meyakini,
mentaati dan menyembah apa sahaja perkara yang dianggap berkuasa ataupun
menyamai sifat dan keagungan Allah S.W.T, dia sudah melakukan syirik yang besar
dan boleh dijatuhkan hukuman murtad jika enggan bertaubat setelah diberikan
penerangan serta peluang. Antara contoh perlakuan syirik yang sering dilakukan
dalam masyarakat adalah
memohon sesuatu daripada kubur orang yang meninggal dunia, memohon sesuatu daripada makhluk jin dengan cara memuja dan mempersembahkan sesuatu kepada mereka, memuja dan mempercayai ‘kekuasaan’ semua makhluk sama ada pokok, bukit, gua, busut, matahari, bintang, bulan dan sebagainya.
memohon sesuatu daripada kubur orang yang meninggal dunia, memohon sesuatu daripada makhluk jin dengan cara memuja dan mempersembahkan sesuatu kepada mereka, memuja dan mempercayai ‘kekuasaan’ semua makhluk sama ada pokok, bukit, gua, busut, matahari, bintang, bulan dan sebagainya.
Selain daripada syirik dalam bentuk pemujaan dan
permohonan, terdapat juga syirik dalam bentuk penghambaan dan ketaatan kepada
selain daripada Allah SWT. Perkara ini terjadi kerana seseorang atau pun
sekumpulan orang mematuhi perintah dengan menolak hukum Allah SWT. Perkara ini
jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah SWT: ‘ Maksudnya: “Maka demi
Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu
hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa
dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan
mereka menerima dengan sepenuhnya.”
Surah anNisaa’ : Ayat 65
Dalam ayat ini, Allah SWT menafikan iman bagi orang yang
tidak berhukum dengan hukum-Nya kerana manifestasi keimanan adalah menuntut
ketaatan dan kepatuhan kepada perintah-Nya. Keingkaran menggunakan hukum Allah
serta pengambilan hukum lain adalah perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu
yang lain dan ini adalah syirik yang nyata. Perkara ini jelas dalam ayat-ayat
lain antaranya firman Allah berkenaan ahli-ahli kitab yang mengambil ahli-ahli
agama mereka sebagai tuhan selain Allah. Ini kerana mereka patuh dan taat
kepada ahli agama dalam melakukan pendustaan pada agama Allah, “Mereka
mengambil orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah,
dan al-Maseh Isa bin Maryam, sedang mereka tidak diperintahkan melainkan untuk
menyembah tuhan yang satu, tidak ada tuhan selain dia, Maha Suci Allah daripada
apa yang mereka persekutukan.” Surah Al-Furqan : Ayat 43
Allah juga menyifatkan orang yang patuh kepada hawa
nafsunya pada hakikatnya mengambil hawa nafsu tersebut sebagai tuhan yang
disembah; Firman Allah SWT: Maksudnya: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang
menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan
ilmu-Nya dan Allah Telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan
tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk
sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka Mengapa kamu tidak mengambil
pelajaran?” Surah al Jaatsiyah : Ayat 23
“Di kolong langit ini, tidak ada tuhan yang disembah yang
lebih besar dalam pandangan Allah selain dari hawa nafsu yang dituruti.” Hadith
Riwayat Ahmad
Sabda nabi S.a.w yang bermaksud, “Syurga itu dikelilingi
dengan hal-hal yang dibenci dan neraka itu dikelilingi dengan berbagai (nafsu)
syahwat.” Hadith riwayat Bukhari & Muslim
2. Syirik Akbar Khafi
Syirik ini berlaku dalam bentuk percampuran antara amalan
yang berunsurkan kekufuran dengan amalan yang berunsurkan Islam serta dicampur
dengan kepercayaan karut marut berkaitan kekuasaan sesuatu benda yang
menyerupai kuasa Allah SWT. Percampuran ini menyebabkan kecelaruan dalam akidah
seseorang kerana hak-hak Allah SWT diberikan atau dikongsikan kepada
makhluk-makhluk ciptaan Allah seperti kekuasaan, pengabdian, pertolongan
perlindungan, keikhlasan, sifat-sifat kesempurnaan dan sebagainya.
Perkara-perkara ini jika tidak diteliti menyebabkan seseorang terjerumus dalam
perangkap syaitan dan dibimbangi pelakunya mati dalam keadaan kufur kepada
Allah SWT jika tidak sempat bertaubat.
Contohnya bersumpah dengan yang lain daripada Allah
seperti bersumpah dengan nama nabi, Kaabah, wali, orang-orang soleh dan
sebagainya. Ini kerana manusia hanya layak bersumpah dengan nama Allah sahaja.
Bersumpah dengan nama-nama makhluk adalah tidak layak bagi manusia kerana dikhuatiri
ia menyamakan makhluk dengan penciptanya. Manakala amalan-amalan yang turut
membawa kepada syirik akbar adalah seperti memakai tangkal dengan tujuan
menolak kemudaratan atau mendatangkan sesuatu keuntungan dengan pergantungan
kepada tangkal tersebut, menggunakan jampi mantera yang mengandungi permohonan
pertolongan atau perlindungan daripada selain Allah, mempercayai ramalan ahli
nujum atau mengamalkan ilmu nujum, bernazar kepada selain Allah, terlalu
mengagungkan sesuatu sama ada nabi, rasul, tempat-tempat tertentu atau objek
tertentu sehingga menyamai salah satu sifat Allah SWT dan amalan-amalan lain
seumpamanya.
3. Syirik Asghar
Ianya adalah di antara jenis-jenis dosa besar bahkan
lebih besar di sisi Allah daripada dosa-dosa besar yang lain.
Syirik asghar adalah syirik yang tersembunyi kerana
kadang kala tidak disedari oleh orang yang melakukan perkara tersebut. Syirik
ini banyak bersangkutan dengan amalan hati seseorang. Ia terjadi apabila
sesuatu amalan ketaatan dikerjakan dengan niat yang tidak ikhlas kerana Allah
SWT seperti hanya menunjuk-nunjuk kepada orang ramai, mendapat pujian dan
sanjungan bagi sesuatu tujuan seperti perniagaan dan perkahwinan serta
tujuan-tujuan yang seumpamanya.
Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan
mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau
tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi
mereka terdedah kepada perbuatan syirik. Gejala syirik khafi tidak kurang
hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk manusia, perasaan
dengki, mengharap redha manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas, tathoyyur (merasa
sial kerana melihat sesuatu), meninggalkan solat kerana malas, menandakan amalan
syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.
.