Mari sama-sama kita menilai dan membuat persediaan
sebelum kita semua, menghadapi SAAT-SAAT SAKARATUL MAUT.
Iblis dan Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia,
bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani
hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir
hayat iaitu ketika sakaratul maut. Syaitan mengganggu manusia sewaktu sakaratul
maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.Hadith Rasulullah s.a.w..
menerangkan:
Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau
daripada perdayaan Syaitan di waktu maut.”
Rombongan 1
Akan datang Syaitan dengan banyaknya dengan berbagai rupa
yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan
dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul
maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut,
maka diraba dan disentuhnya barangan Syaitan itu, di waktu itu nyawanya putus
dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t.
inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 2
Akan datang Syaitan kepada orang yang didalam sakaratul
maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau,
Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul
maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan
melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari
badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan
lupa kepada Allah s.w.t., matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke
nerakalah tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Syaitan mengacau dan memperdayakan orang yang
di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang
menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati
itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat
dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi).
Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan
dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu
meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia
pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah
s.w.t.. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.
Rombongan 4
Akan datang Syaitan merupakan dirinya sebagai rupa yang
paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya
dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya
untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah
maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah
tempatnya
Rombongan 5
Akan datang Syaitan merupakan dirinya dengan rupa
sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan
dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat
mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk
mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai
oleh Syaitan, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan
dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan
menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi
bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.”
Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa
berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam
keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan
semasa hidupnya.
Rombongan 6
Akan datanglah Syaitan merupakan dirinya sebagai
ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku,
lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi,
rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan
bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah
rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula
Syaitan yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu
untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu
bagaimana hakikat Allah?”
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku
tidak tahu.”
Berkata ulamak Syaitan: “Ketahuilah, aku ini adalah
seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan
telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah
disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah s.w.t. hendaklah
kamu patuh kepada kami.”
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun
memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada
di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Syaitan bagi
tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang
sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu:
“Bagaimanakah Zat Allah?” Syaitan merasa gembira apabila
jeratnya mengena .
Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding
dan tirai akan dibuka kepadamu. “
Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang
berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat
satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.
Berkata Syaitan: “Itulah dia Zat Allah yang patut kita
sembah.”
Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai guruku,
bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat
enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan
bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai
makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang
ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut
aku sembah ialah benda yang besar ini.”
Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan
terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan
kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama
hidupnya di dunia ini.
Rombongan 7
Rombongan Syaitan yang ketujuh ini Syaitan terdiri dari
72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad
s.a.w. bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak
sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.
Ketahuilah bahawa Syaitan itu akan mengacau dan
mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu
manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang
hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan
dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha bersungguh-sungguh
mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.
Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan
oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa
Ilaaha Illallah.”
Mereka yang dipermudahkan dan disenangkan ketika
menghadapi nazak ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas.
Allah mengutus berpuluh-puluh Malaikat Rahmat untuk menghibur hatinya ketika
menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya
sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira.
Manakala bagi orang yang terlibat dengan dosa besar dan maksiat menghadapi kesukaran
dan keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak.
Firman Allah dalam surah al-Qiyamah, ayat 29:
وَالْتَفَّتِ
السَّاقُ بِالسَّاقِ
Maksudnya: “Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih.”
Orang yang yang disukarkan nazak ialah orang yang
mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong dan jahat, serta
bergelumang dengan dosa demi dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakarataulmaut
itu, Allah memperlihatkan kepada dirinya segala dosa yang dilakukan, seluruh
penderitaan zahir dan batin mangsa-mangsa perbuatannya dikumpulkan dan
ditayangkan kepadanya ketika menghadapi saat kematian. Kalau dia membunuh diperlihatkan
perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan
kezaliman yang dilakukan.
Di dalam beberapa hadith disebutkan mereka juga dijerkah
oleh Malaikat Maut dan diperlihatkan kepadanya azab seksa api neraka. Keperitan
dan kesakitan menghadapi sakaratulmaut menyebabkan mati dalam keadaan kufur
tidak sempat mengucap dua kalimah syahadah. Malah kadangkala di pertunjukkan
kelakuan buruk kepada ahli-ahli yang hadir menziarahinya yang menjatuhkan nama
baik dan pangkat yang diperolehi. Dengan demikian berwaspadalah dan jagalah
tingkahlaku semasa kita hidup.
Keperitan sakaratulmaut tidak dapat dibayangkan dan tidak
dapat dibandingkan dengan kesakitan di dunia ini. Rasulullah sendiri merasakan
sakitnya di waktu saat kematiannya sehingga baginda membasahi sehelai kain
dengan air kemudian mengusapi diwajahnya sambil bersabda, (لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله)“ Tiada Tuhan melainkan Allah.
Sesungguhnya bagi setiap kematian itu ada sakaratulmaut. Ya Allah, bantulah aku
dalam menghadapi sakaratulmaut”. Walaupun Rasulullah SAW terpelihara daripada
dosa, namun baginda juga meninggal dunia seperti orang lain menghadapi proses
sakaratulmaut, menghadapi kesakitan apatah lagi kita manusia yang tidak dapat
lari melakukan perbuatan berdosa.
Justeru itu teman-teman, janganlah sekali-kali kita
terfikir untuk berbuat dosa lagi, yang sudah tu, sudahlah... takut-takut saat
ajal datang saat kita tidak bersedia dan terleka. Kita semua tidak tahu bila
ajal akan datang menjemput kita...
Allahu a'lam.