Bismillahirahmanirahim..
Assalamualaikum wbt,
Alhamdulillah syukur kita kepada Allah SWT kerana diberi
kesempatan sekali lagi untuk berkongsi pandangan dan pendapat dalam ruangan
yang sederhana ini. Kali ini ana ingin berkongsi dengan pelawat sekalian
mengenai percakapan kita seharian. kadang-kadang kita tidak menyedari apa
yang kita cakap itu boleh menyenangkan hati orang lain atau sebaliknya.
Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan sepert ‘lidah
tidak bertulang’ atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada
ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam
hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan
kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.
Jika kita merenung tentang kejadian alam ciptaan Allah SWT
nyatalah terdapat pelbagai keanehan dan perkara-perkara pelik yang dapat kita
saksikan yang mana itu semua sebagai tanda tentang keagungan dan keesaaan
Allah s.w.t.
Di antara keanehan-keanehan itulah kita temui lidah. Ia adalah
daging berbentuk kecil dan lembut yang terlindung di dalam mulut. Lidah juga
termasuk daripada anugerah Allah Yang Maha Besar yang amat mustahak sebagai
penghubung antara satu sama lain, menerusi percakapan mahu pun untuk mencapai
keredaan Tuhan.
Lidah jugalah yang boleh menyebabkan manusia itu terjerumus ke
dalam api neraka.
Berhati-hati
Oleh kerana lidah boleh membawa kepada perkara yang baik dan
buruk, maka kita hendaklah berhati-hati dalam menggunakan lidah. Dalam
hubungan lain, kita hendaklah berhati-hati apabila bertutur. Kesan tersalah
cakap boleh membawa sakit hati kepada orang lain. Tidak kurang pula yang
membawa kesusahan dan kerugian.
Oleh itu, sebaik-baik cara mengawal diri daripada
perkara-perkara yang tidak diingini ialah dengan diam. Diam dalam erti kata
tidak bercakap dalam perkara yang sia – sia dan tidak baik.
Sehubungan dengan ini Rasulullah SAW ada bersabda yang
bermaksud.
“Manusia itu ada tiga macam (jenis).
Pertama: Yang mendapat pahala.
Kedua: Yang selamat daripada dosa.
Ketiga: Yang binasa.
Orang yang mendapat pahala ialah orang yang sentiasa mengingati
Allah, berzikir dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka
yang diam, manakala orang yang binasa ialah orang yang sentiasa melakukan
perkara-perkara maksiat.”
Orang yang beriman dan bijaksana selalunya tidak berkata atau
bercakap sesuatu yang tidak berfaedah. Mereka seperti ini menjaga setiap
tutur kata dan percakapan. Mereka mengelakkan daripada berkata sesuatu yang
tidak berfaedah atau sia-sia apatah lagi mengumpat keji atau mencaci sesama
manusia. Sesuai dengan Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila kamu melihat orang mukmin itu pendiam dan mempunyai
kehormatan diri, maka dekatilah dia, kerana dia akan mengajarkan kamu ilmu
hikmah.”
Nyatalah orang yang beriman akan menggunakan lidah dan bercakap
hanya untuk perkara-perkara yang berfaedah. Setiap patah yang hendak
diucapkan difikir semasak-masaknya supaya setiap patah yang ditutur itu
berfaedah dan mendapat pahala. Kita juga dapat mengenal peribadi seseorang
daripada percakapannya, Kerana, semakin banyak kita bercakap, semakin
banyaklah kesilapan. Orang-orang munafiq pula akan bercakap apa sahaja tanpa
memikirkannya terlebih dahulu.
Di dalam sebuah Hadis lain yang diriwayatkan oleh Tarmizi dan
Ibnu Majah dan Abu Hurairah, disebutkan Rasulullah SAW ditanya tentang sebab
terbesar yang membawa masuk syurga. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: Taqwa
kepada allah dan akhlaq yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang
membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dua rongga
badan iaitu mulut dan kemaluan.”
Daripada hadis di atas jelaslah penyalahgunaan lidah iaitu
kerana tutur kata dan percakapan dan juga penggunaan kemaluan yang
bertentangan dengan hukum-hukum boleh membawa manusia ke neraka.
Seorang ahli sufi yang terkenal, al-Hassan al-Basri pula pernah
menyebutkan, orang yang tidak menjaga lidahnya ialah orang yang tidak
memahami agamanya. Oleh itu, sebagai orang Islam, kita hendaklah menjaga
lidah kita daripada bertutur perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah
seperti mengumpat, mencaci dan berbohong.
Bertentangan
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Berbahagialah orang yang
menahan kelebihan lidahnya dan membelanjakan kelebihan hartanya.”
Untuk menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat amatlah penting
kira mengawal lidah agar tidak timbul perselisihan dan perbalahan. Sebuah
masyarakat yang aman dan harmoni terbentuk kerana ahlinya hidup kasih
mengasihi antara satu sama lain, tidak menghasut dan mempelagakan antara satu
sama lain.
Luqmanul Hakim pernah ditanya: “Apakah falsafah hidupmu?” Beliau
menjawab: “Aku tidak bertanya sesuatu yang telah memadai bagiku dan aku tidak
memberatkan diriku akan sesuatu yang tidak penting bagiku.”
Tidak syak lagi penyalahgunaan lidah dan percakapan itu bukan
sahaja menjadikan seseorang itu menerima seksaan Allah malah kesannya amat
buruk kepada masyarakat. Kesan percakapan yang tidak sihat dan tuduh menuduh,
umpat mengumpat dan hasut menghasut menjadikan sebuah masyarakat huru hara
dan porak peranda.
Oleh itu kita sebagai umat Islam hendaklah berhati-hati apabila
bercakap. Sebelum berkata, fikirlah dulu buruk baiknya kerana jika tersilap
kata buruk padahnya. Peribahasa kita ada menyebut: Terlajak perahu boleh diundur,
terlajak kata buruk padahnya.
Dengan apa yang dipaparkan ini, semoga mendapat di menfaatkan
bersama dan juga utk rakan-rakan yg lain.
Wallahu a’lam
|
104. dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya. Al-Imran. " TIADA ISTILAH CETAK ROMPAK DALAM PENYAMPAIAN DAKWAH,SAMPAIKAN OLEH MU WALAU PUN SEPOTONG AYAT"..Baca dan sebarkan.