Rabu, 30 Mei 2012

MEMAHAMI HAKIKAT ISLAM SEBENAR




Perkataan Islam berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai.
Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah, Tuhan sekalian alam. Agama Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan telah lama wujud bermula dengan Nabi Adam a.s. sehingga Nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w.
Cuma yang membezakan (antara nabi-nabi) adalah dari segi syariat. Islam dari segi istilah Islam adalah cara hidup. Cara bagaimana manusia perlu mengatur hidup mereka di atas dunia.
Ia adalah agama wahyu yang diperturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril a.s. Ia juga bermaksud apabila manusia di bumi ini menerima Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka, maka Allah SWT tidak rasa ragu-ragu untuk memberi keselamatan kepada mereka, kerana Dialah sahaja yang Maha memberi keselamatan dan boleh menarik semula keselamatan itu apabila manusia sudah semakin ingkar kepada arahan dan larangan-Nya.

Islam adalah cara hidup Islam yang sifatnya sempurna kerana ia adalah agama Allah Yang Maha Sempurna, adalah satu cara sistem hidup manusia yang berpaksikan kebenaran. Kesempurnaan sistem hidup ini merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.
Sesungguhnya cara hidup yang dianjurkan oleh Islam adalah yang terbaik dan terindah yang tiada tolok bandingnya dengan ajaran-ajaran agama lain. Semasa zaman jahiliyah dahulu, kita dapati masyarakat hidup tanpa nilai-nilai murni, tiada kesejahteraan hidup, tiada jaminan untuk mengecap kebahagiaan, hidup dalam ketakutan, huru-hara, maksiat berleluasa dan sebagainya.
Kita dapati yang kaya berkuasa, yang miskin dijadikan hamba abdi, yang kuat menindas yang lemah, yang berkuasa membuat kejahatan dibiarkan tetapi yang miskin membuat kejahatan diseksa. Ini berlaku adalah kerana tidak ada panduan hidup yang hakiki dan setiap puak ada undang-undang tersendiri yang boleh dipinda-pinda mengikut hawa nafsu mereka.
Mana-mana budaya atau cara hidup yang tidak diakui oleh Islam maka cara hidup yang sedemikian adalah batil dan tidak boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.
Begitu juga dengan adat-adat yang diguna pakai oleh sebilangan masyarakat hari ini, jika adat-adat yang diamalkan sejak nenek moyang kita itu menyeleweng daripada landasan Islam maka adat-adat tersebut tidak boleh dipakai dan dilarang oleh Islam, malah ia bukan dari amalan dan pegangan para sahabat, tabiÕin dan ulama hingga sampai hari akhirat.
Tetapi apabila Islam itu dijadikan cara hidup, adakah kehidupan kita ini mengikut cara Islam yang sebenarnya? Cuba kita renung sejenak, adakah cara kita menguruskan diri, rumah tangga kita dan sebagainya mengikut Islam? Adakah hubungan kemasyarakatan kita hari ini berpaksikan Islam?
Ini semua perlu kita kaji balik untuk mendapat jawapan yang baik kerana jika berlaku kepincangan dalam pengurusan kita ini bermakna cara yang kita gunakan adalah salah dan lari daripada kehendak Islam. 
Rukun-rukun Islam
Ia mengandungi lima rukun, ia tidak boleh ditinggalkan sama sekali, apabila seorang Muslim mengaku dirinya Islam, dia mesti melakukan kelima-lima rukun tersebut tanpa boleh meninggalkan salah satu daripadanya, kerana ia boleh dianggap terkeluar daripada Islam.
1. Mengucap dua kalimat syahadah.
2. Mendirikan solat (fardu lima waktu).
3. Berpuasa pada bulan Ramadan.
4. Mengeluarkan zakat.
5. Menunaikan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu melakukannya.
Prinsip dasar Islam yang kekal Islam tidak pernah membiarkan umatnya hidup meraba-raba tanpa hala tuju yang tidak jelas, justeru, Islam meletakkan beberapa dasar sebagai prinsip yang mesti dipegangi dan menjadi pra-syarat menjadi seorang Muslim yang benar-benar diterima di sisi Allah SWT.
1. Akidah: Ia menjadi pra syarat pertama apabila seorang itu mengaku sebagai seorang yang berpegang kepada agama Islam, ia menghubungkan antara seorang hamba dengan Maha Pencipta, tanpanya ia boleh mengakibatkan seseorang itu akan jadi murtad atau berlaku syirik kepada-Nya.
2. Syariat: Iaitu pelaksanaan hukum Islam sebagai bukti kekuatan akidah yang ada dalam diri Muslim, ia juga dijelmakan dalam bentuk ibadat khusus seperti solat dan sebagainya, juga termasuk ibadat umum.
3. Akhlak: Ia merupakan penjel -amaan budi luhur, sopan santun yang positif yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
4. Aspek dorongan kekuatan seperti jihad, amar makruf dan nahi mungkar.
Ciri-ciri keistimewaan Islam Islam merupakan agama paling istimewa dan praktikal dengan kehidupan manusia dan menepati kehendak naluri sifat semula jadi manusia. Keindahan dan keistimewaan Islam dapat dilihat pada beberapa aspek yang menjadikan Islam itu sebagai sebuah agama yang menjadi dasar kehidupan umat manusia.
1. Rabbaniyah (Ketuhanan). Rabbaniyah bermakna Islam yang merangkumi hukum hakam, konsep, prinsip dan nilai-nilai peraturan hidup manusia adalah mutlak milik Allah SWT.
Islam agama Allah SWT dan agama-agama yang lain tidak diterima oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama yang diredai Allah SWT adalah agama Islam. (Surah Ali-Imran ayat 19).
Firman-Nya lagi yang bermaksud: Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti. (Surah ali-Imran ayat 85 ).
Islam dicipta oleh Allah SWT manakala agama-agama lain adalah hasil ciptaan idea dan falsafah serta pandangan manusia. Sesiapa yang menganut agama lain adalah sesat.
2. Syumuliyah (Lengkap). Syumuliyah bermakna bahawa Islam itu lengkap dan sempurna malah tiada cacat celanya yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Segala apa yang diterangkan oleh Islam adalah benar dan nyata belaka.
Segala apa yang dihadapi oleh manusia semuanya terdapat penyelesaian dalam al-Quran sedikit pun tidak ditinggalkan. Allah SWT mengetahui kehendak dan kekurangan manusia maka dengan sebab itulah manusia diberi peraturan hidup yang mampu memenuhi keperluan manusia.
3. Waqi'iyah (Berada dalam kenyataan). Al-Waqi'iyah bermaksud ajaran Islam adalah bersifat praktikal dan sesuai diamalkan dalam kehidupan manusia. Apa-apa persoalan yang ditimbulkan oleh manusia yang bersangkut paut dengan kehidupan mereka dapat diselesaikan oleh Islam melalui ajaran-ajarannya yang benar lagi tepat sekali.
Misalnya bagi menyelamatkan nasab dan keturunan manusia Islam menyarankan berumah tangga dan mengharamkan zina serta meletakkan hukum rejam atau sebat bagi penzina dengan tujuan menjaga kehormatan manusia.
Ajaran Islam tidak ada kesangsian dan syak wasangka pada kebenaran dan pelaksanaanya. Segala peraturan yang di buat oleh Islam sama ada ibadat, sosial, pentadbiran dan seumpamaya adalah begitu indah dan menepati kehendak manusia.
4. Alamiyyah (Kesejagatan). Alamiyyah bermaksud ajaran Islam adalah sesuai untuk semua manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit, tempat dan zaman. Alamiyyah Islam membawa keadilan sejagat kepada seluruh alam terutamanya manusia.
Keadilan Islam bukan hanya terbatas kepada individu, puak, keturunan, warna kulit dan sempadan malah keadilan Islam adalah alamiyyah iaitu menyeluruh. Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. telah menolak diringankan hukuman potong tangan ke atas Fatimah binti al-Aswah seorang wanita golongan bangsawan Bani Makhzum yang telah mencuri.
Demikian juga diriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. sendiri akan memotong tangan anaknya Fatimah sekiranya dia mencuri. Sudah jelas dan amat nyata sekali kepada kita bahawa Islam itu adalah agama yang indah dan memenuhi kehendak manusia.
Islam menjamin kehidupan yang hakiki dan memberi kesejahteraan abadi kepada manusia di akhirat.
Ciri-ciri keunggulan Islam
1. Persamaan (kesamarataan): Sesungguhnya Allah SWT akan memberi pahala yang sama kepada kaum lelaki dan wanita apabila melakukan amal ibadat tanpa dibezakan mengikut gender (jantina), begitu juga saf hadapan di masjid bukan dikhususkan kepada golongan hartawan atau pemimpin tertentu, malah disediakan kepada siapa yang datang lebih awal di kalangan orang Islam dan sebagainya.
2. Keadilan: Islam berlaku adil kepada sesiapa di kalangan manusia walaupun seorang itu tidak Islam, jika dia diperlakukan tanpa alasan yang munasabah, dia perlu dibela sama seperti orang Islam dalam erti kata lain bahawa Islam melindungi hak-hak manusia.
3. Kebebasan: Islam memberikan kebebasan untuk bersuara atau memberi pendapat, kebebasan berfikir, berpolitik, beragama, berusaha dan lain-lain, tetapi bagi orang Islam tidak bermakna mereka bebas memilih cara hidup atau fahaman lain yang tidak selari dengan Islam ataupun mereka tidak boleh diberi peringatan untuk mendirikan solat atas alasan mereka bebas untuk tidak bersolat.
4. Tidak boleh membahayakan diri dan orang lain: Ia merupakan ciri utama yang pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w., dalam erti kata bahawa seorang Muslim itu tidak boleh melakukan tindakan yang boleh membahayakan dirinya sendiri atau boleh membahayakan orang lain seperti terlibat dalam aksi bahaya mat rempit atau lumba haram.
5. Islam menjamin hak asasi manusia: Ia merupakan satu jaminan yang diabaikan oleh isme falsafah ciptaan manusia.
6. Menjaga enam perkara iaitu agama, harta, akal, jiwa, kehormatan dan keturunan.