عَنْ
ابْنِ عُمَرَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمْاَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ : لاَ تُكْثِرُوْا الْكَلَامَ بِغَيْرِ ذِكْرِاللهِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الْكَلَامِ
بِغَيْرِ ذِكْرِاللهِ تَعَالَى قَسْوَةٌ لِلقَلْبِ,وَاَنَّّ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنَ
اللهِ الْقَلْبُ اْلقَاسِىْ
Maksud :
Daripada Ibnu ‘Umar Radhiyallahu 'anhuma berkata: Rasulullah
Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda : “ Janganlah memperbanyakkan percakapan
selain untuk berzikir kepada Allah SWT, sesungguhnya banyak bercakap selain
daripada berzikir kepada Allah itu adalah menyebabkan hati seseorang menjadi
keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah SWT itu ialah mereka
yang berhati keras.
Hadith Riwayat Al-Tirmizi
Sedar atau tidak, ketandusan jiwa pada hari ini adalah suatu
penyakit yang sangat ketara sekali di tengah-tengah masyarakat. Ramai orang
yang susah hati, gelisah dan tidak merasakan ketenangan fikiran dalam kehidupan
walaupun ia telah memiliki segala kemudahan yang dihasilkan oleh teknologi
moden pada hari ini, bahkan jutaan wang yang dimilikinya, namun kepuasan hidup
masih belum lagi dapat dirasainya. Ini semuanya berpunca dari hati yang keras,
jiwa yang tandus dan mata yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah
SWT. Berapa ramai antara kita yang menjadikan ruang kosongnya untuk membaca
ayat-ayat Allah SWT kecuali yang mendapat rahmatNya. Berapa ramai yang
menjadikan sepertiga malam untuk sujud kepada Allah.
Selain itu, kekerasan hati juga adalah berpunca daripada
banyak bercakap perkara-perkara yang tidak ada faedahnya dan tidak ada
hubungkait dengan mengingati Allah SWT.
Oleh itu, bagi kita yang mengaku beriman kepada Allah SWT hendaklah
selalu menggunakan lidah kita untuk berzikir kepada Allah SWT, ataupun bercakap
perkara-perkara yang ada hubungkait dengan kemaslahatan dan kepentingan agama
Islam yang dapat memberikan faedah dlaam meningkatkan ketaqwaan atau paling
kurang bercakap perkara keduniaan yang dijadikan wasilah atau alatan yang dapat
membantunya untuk mentaati Allah, atau kalau tidak mampu berbuat demikian
hendaklah dia berdiam sahaja, jangan banyak bercakap-cakap.
Fenomena yang selalu kita lihat dalam kehidupan masyarakat
kita pada hari ini ialah terdapat ramai di kalangan umat Islam yang selalu
membuang masa dengan bercakap-cakap perkara yang tidak berfaedah bahkan ada
yang berani bercakap perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum-hukum syara’
dan berani bercakap sambil merendah-rendahkan ajaran agama yang boleh
menyebabkan kefasiqan dan membawa kepada kekufuran. Berbeza dengan budaya
masyarakat yang bukan Islam, seperti masyarakat Jepun yang begitu mengambil
berat tentang penjagan masa, berkerja secara sistematik dan tersusun.
Sepatutunya budaya yang baik ini dimiliki oleh umat Islam.
Pada hakikatnya, hati yang keras adalah hati yang tidak
mudah menerima nasihat orang lain. Kalau ditegur dia selalu melenting dan
menunjukkan rasa besar diri, pantang ditegur dan tidak mahu menerima kebenaran
yang dibawa oleh orang lain. Hati yang keras juga sentiasa mendorong untuk
membuat maksiat dan kejahatan dan merasa berat untuk berzikir atau membawa
Al-Quran dan sangat malas untuk melaksanakan segala jenis ibadat yang
diwajibkan Allah SWT. Inilah penyakit yang menimpa di kalangan umat Islam di
seluruh dunia akibat sikap membelakangkan hukum Allah dan syariat Islam di muka
bumi, sedangkan mereka adalah khalifah Allah SWT di dunia ini.
Sebagai contohnya, apabila masuknya waktu sembahyang dia
akan merasa terbeban dengan ibadat sembahyang itu, bukannya dia merasa sangat bertuah
kerana diberikan Allah peluang kepadanya untuk berhadapan kepada Allah SWT,dan
kalau dia sembahyang pun maka badannya sahaja yang bersembahyang, sedangkan
hatinya pergi merayau ke sana ke sini. Tetapi kalau mahu melihat sesuatu
pertunjukan yang melalaikan daripada mengingati Allah SWT, hatinya selalu
terpanggil ke sana. Dia akan sanggup bersusah payah untuk sampai ke sana dan
merasa ringan walaupun terpaksa mengorbankan apa jua yang diperlukan asal
maksud di hatinya dapat dicapai.
Hati yang keras ini adalah disebabkan hati itu telah
berkarat. Sesungguhnya hati itu akan berkarat sekiranya ia tidak dididik, tidak
diproses maka ia pasti akan kotor apatah lagi sekiranya di sekeliling kita
nafsu yang menguasai diri, maksiat dan syaitan meruntun-runtun dalam jiwa kita.
Sedetik terleka akibatnya amat menakutkan. Kesan yang akan lahir daripada hati
sudah menjadi keras dan berkarat ini ialah kesan yang kita dapat lihat pada
masyarakat pada hari ini sehingga masyarakat tidak dapat membezakan yang makruf
dan yang mungkar. Akibatnya masyarakat tidak mengenali yang mana dikatakan
mungkar, yang mana dikatakan makruf.
Bagaimana hendak mengubati hati yang keras dan berkarat ini
? Rasulullah SAW telah memberikan jawapan kepada kita semua iaitu untuk
mengubatinya ialah dengan Tilawatul Quran dan mengingati mati. Selain itu, para
ulama juga telah mengariskan beberapa panduan untuk mengubatinya antaranya
ialah dengan menjauhi maksiat samaada kecil atau besar, melazimi amalan harian
terutamanya membaca Al-Quran, memperbanyakkan berzikir kepada Allah, sentiasa
mengingati mati dan persoalan kubur, menghadiri majlis ilmu, muhasabah diri dan
sebagainya. Oleh itu, marilah bersama-sama kita menterjemahkan semua saranan
yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk mengelakkan hati kita menjadi
keras dan berkarat, kerana apabila berkaratnya hati maka kita tidak lagi dapat
merasai nikmat dan kelazatan berubudiyah kepada Allah SWT.