Sifat Bertawakal Sentiasa Menjadi Pakaian Orang Mukmin
dan Tidak Berputus asa
Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Dan
(ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah
cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq
ayat 3).
Untuk memahami lebih jelas lagi konsep tawakal ini pernah
Rasulullah S.A.W. menjelaskan kepada seorang lelaki yang datang berjumpa dengan
baginda.
"Telah datang kepada Rasulullah S.A.W. seorang lelaki yang hendak meninggalkan
untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki
tersebut bertanya kepada Rasulullah S.A.W. "Ya Rasulullah, adakah unta itu
perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja
kemudian bertawakal?" Rasulullah S.A.W. menjawab, maksudnya :
"Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal." (Hadis Riwayat
al-Tarmizi)
Sifat putus asa hanya layak bagi orang kafir. Allah
S.W.T. berfirman yang bermaksud : "... dan janganlah kamu berputus asa
daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa
daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir."
(Surah Yusof ayat 87).
Allah berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah
tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang
ada pada diri mereka sendiri."(Surah al-Ra'd ayat 11).
Sahabat yang
dimuliakan,
Terdapat satu kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s. bagaimana
seekor semut bertawakal kepada Allah S.W.T dan kita boleh belajar daripada
daripada kisah ini.
Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor
semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam
setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebutir gandum.
Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di
dalam sebuah botol dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum.
Mulut botol itu kemudiannya ditutup (diberi lubang sikit untuk udara masuk ke
dalamnya).
Cukup tempuh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula
oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada
gula sebesar sebutir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.
Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan
sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan
sebesar sebutir gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya
dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan
rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.
Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s)
dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin
dengan keprihatinan manusia. Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa lalu
mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?
Pengajaran yang boleh di perolehi :
1. Semut lebih yakin kepada jaminan Allah (bertawakal
kepada Allah) ketika di luar botol berbanding "jaminan" manusia
ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil
langkah berjimat cermat, supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia
masih mampu bertahan. Masih ada makanan yang boleh digunakan.
2. Kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku
beriman kepada Allah S.W.T. tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari
Allah S.W.T.? Oleh itu yakinilah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang
lahir ke dunia, Allah s.w.t. telah menjamin rezeki untuknya, samaada
ibu-bapanya merancang atau tidak merancang untuk anak tersebut.
Sahabat,
Seseorang yang mempunyai sifat putus asa hanya boleh di
atasi apabila individu tersebut melawan unsur negatif dalam dirinya dengan azam yang kuat dan tawakal kepada
Allah. Oleh itu terdapat beberapa langkah yang perlu di ambil perhatian serius
untuk mengatasi sifat putus asa ianya adalah seperti berikut :
1.Tawakal dengan sepenuh hati
2. Yakin dengan janji Allah dan reda dengan segala
ketentuan-Nya.
3.Semangat juang yang tinggi.
4.Jangan fikir kesusahan akan berpanjangan kerana ia akan
menyuburkan sifat putus asa.
5. Ingatlah bahawa Allah mempunyai sifat-sifat yang harus iaitu harus melakukan apa saja.
Oleh sebab itu, kita sebagai hamba tidak layak merasa putus asa atau apa jua
ketetapan Allah untuk kita kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil dalam
setiap perancangan-Nya.
6. Putus asa bukan jalan keluar daripada sebarang
masaalah.
Akhir kata marilah sama-sama kita bertawakal kepada Allah
S.W.T. tanpa ragu-ragu dan membuangkan segala sifat mazmumah terutama sifat
putus asa .Kerana sesungguhnya orang yang beriman tidak akan mempersoalkan
ketentuan Allah, ingatlah segala apa yang ditetapkan Allah ke atas diri kita
adalah sesuatu yang baik dan ada hikmahnya dan Allah Maha Mengetahui sedangkan
kita tidak mengetahuinya.