Adapun nasab keturunan baginda SAW adalah: Muhammad bin
Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf. Dikatakan bahawa nasib
baginda SAW ini sampai kepada Nabi Ismail AS.
Nabi Muhammad SAW lahir pada tahun Gajah iaitu tahun tentera
Abrahah melanggar masuk untuk menyerang dan menawan kota Makkah. Namun
percubaan untuk menawan Kaabah ini menemuni jalan kegagalan apabila Allah Taala
menghantar sekumpulan burung Ababil untuk memusnahkan angkatan tentera Abrahah
itu dalam sekelip mata sahaja. Mengikut pendapat yang paling hampir bahawa
baginda SAW telah dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun itu (terdapat juga
beberapa pendapat lain lagi).
Baginda SAW adalah seorang yatim ketika dilahirkan. Bapanya
wafat ketika usia baginda SAW dua bulan dalam kandungan ibunya. Setelah
dilahirkan baginda SAW dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib kemudian
disusukan oleh Halimah binti Abi Zuwaib dari puak Bani Saad Bakri.
Kampung Bani Saad pada ketika itu mengalami kemarau yang
teruk. Setelah sampai Nabi Muhammad SAW untuk menyusu maka kampung tersebut
berubah dari sebuah kampung yang tandus kepada sebuah kampung yang subur lagi
menghijau. Di kampung ini jugalah baginda SAW telah dibedah perut oleh malaikat
ketika usia baginda lima tahun. Ini adalah di antara keberkatan dan mukjizat
baginda SAW yang telah dikurniakan oleh Allah Taala.
Ibu baginda SAW telah wafat ketika usia baginda enam tahun.
Ini menyebabkan baginda SAW menjadi yatim piatu. Kemudian baginda dipelihara
dan dididik pula oleh datuknya Abdul Mutalib sehingga usia baginda lapan tahun.
Setelah datuknya meninggal dunia baginda dipelihara oleh bapa saudaranya Abu
Talib.
RASULULLAH SAW UTUSAN ALLAH TAALA
Rasulullah SAW merupakan pesuruh Allah Taala yang diutuskan
kepada umat Islam dan seluruhnya. Sebagai umat Islam yang beriman maka wajiblah
kita mentaati segala perintah dan suruhan yang datangnya dari junjungan besar
Rasulullah SAW tanpa membantahnya walaupun sedikit. Perintah mentaati rasul-Nya
amat jelas dinyatakan di dalam nas-nas dari al-Quran al-Karim ataupun al-Hadis
antaranya:
Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang
beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul (Rasulullah
S.A.W) dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Jika kamu
berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu
mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan sunnah rasul-Nya jika kamu
benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik
(bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an-Nisa: ayat 59).
Oleh itu, sebagai tanda kita mengimani dan mencintai
Rasulullah SAW, beberapa perkara yang akan saya nyatakan di bawah ini boleh
dijadikan pegangan kita:
BERADAB DENGAN RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang
beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum
(mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan rasul-Nya dan bertakwalah kamu kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah
a-Hujuraat: ayat 1).
Firman Allah Taala bermaksud: Janganlah kamu jadikan seruan
atau panggilan rasul (Rasulullah SAW) di antara kamu seperti seruan atau
panggilan sesama kamu. (Surah an-Nur: ayat 63).
MENTAATI RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang
beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul (Rasulullah SAW)
dan jaganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: Ayat 33).
Firman Allah Taala bermaksud: Dan apa jua perintah yang
dibawa oleh rasul (Rasulullah SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan
apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (Surah
al-Hasyr: ayat 7).
Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad):
Taatilah kamu kepada Allah dan rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling
(menderhaka) maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.
(Surah ali-Imran: ayat 32).
BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Allah dan
malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi
(Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya
serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah
al-Ahzab: ayat 56).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Orang yang bakhil ialah
mereka yang disebut namaku akan tetapi ia tidak berselawat kepadaku. (Riwayat
al-Baihaqi).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang berselawat
kepadaku sekali maka Allah akan selawat kepadanya sepuluh kali. (Riwayat
Muslim).
MENGASIHI RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad):
Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihi. (Surah ali-Imran: ayat 31).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di
bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku
(Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan
manusia keseluruhannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang
memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah
dan rasul-Nya lebih daripada cinta kepada perkara lain... (Riwayat al-Bukhari
dan Muslim).
MENGIKUTI SUNNAH RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi
kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang
sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta
ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan
senang). (Surah al-Ahzab: ayat 21).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan
sunnah daripada sunnahku yang telah ditinggalkan selepas aku maka sesungguhnya
baginya pahala seumpama pahala orang yang melakukannya tanpa sedikitpun
berkurangan sementara sesiapa yang mengadakan bidaah yang sesat yang tidak
diredhai Allah dan rasul-Nya baginya dosa seumpama dosa-dosa yang dilakukan
mereka di mana tidak sedikitpun berkurangan. (Riwayat al-Tarmizi dan Ibnu
Majah).
PENUTUP
Sebagai umut Islam yang sayangkan baginda SAW hendaklah kita
mengikuti segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Ini sahajalah
bukti yang paling kukuh bahawa kita menyayangi dan mencintai Rasulullah SAW
sepenuh jiwa. Jadikanlah amalan mengikuti ajaran baginda SAW didalam setiap
sudut kehidupan kita..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan