SELEPAS Allah menempelak golongan
yang menyeru manusia berbuat kebaikan, sedangkan melupakan diri sendiri, Allah
menegur mereka “Apakah kamu berakal di atas perlakuan mereka tersebut”. Kemudian
Allah mengajar orang-orang yang beriman supaya membetulkan permohonan dalam
pertolongan hanya semata-mata kepada Allah sebagaimana yang diikrarkan oleh
seorang hamba mukmin ketika bermunajat dalam solatnya tatkala ia melafazkan
al-Fatihah seperti ayat kelima yang bermaksud “Hanya kepada Engkau kami
beribadat dan hanya kepada Engkau sahaja kami meminta pertolongan.”
Al-Imam al-Fakhr ar-Razi di dalam
tafsirnya berkata: “Ulama telah khilaf apakah ayat ini ditujukan kepada orang
beriman atau yang lain?” Katanya, yang lebih dekat bahawa ia ditujukan kepada
Bani Israel. Tafsiran meminta tolong ini dinyatakan di dalam ayat ini
sebagaimana firman Allah Taala.
DAN MINTALAH
PERTOLONGAN (KEPADA ALLAH) DENGAN JALAN SABAR DAN MENGERJAKAN SEMBAHYANG. DAN
SESUNGGUHNYA SEMBAHYANG ITU AMATLAH BERAT KECUALI KEPADA ORANG-ORANG YANG
KHUSYUK. (Surah al-Baqarah ayat 45)
Firman Allah Taala `Dan mintalah
pertolongan (kepada Allah)’, iaitu mintalah pertolongan atas segala urusan
kamu. Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil berkata: “Iaitu
segala bala yang terkena ke atasmu, dan ada pendapat yang mengatakan bahawa
maksudnya ialah meminta akhirat.”
`Dengan jalan sabar’, iaitu
dengan menanggung segala masyaqqah (kesusahan) dan segala kesukaran terhadap
jiwa daripada segala taklif syarak.
Imam Ibn al-Jauzi di dalam Zad
al-Masir berkata: “Asal perkataan sabar ialah menahan. Orang yang bersabar yang
menahan dirinya daripada sesuatu perkara. Justeru, dinamakan orang yang
berpuasa sebagai orang yang bersabar kerana menahan dirinya daripada makan,
minum dan jimak. Sebab itu Imam Mujahid menafsirkan sabar di sini dengan maksud
puasa.
Dan manusia diperintahkan untuk
bersabar di sini dengan tiga pendapat:
Pertama: Bersabar dalam
menunaikan segala fardu dan kewajipan. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.
Kedua: Bersabar dalam
meninggalkan segala maksiat. Inilah pendapat Qatadah.
Ketiga: Bersabar dengan tidak
berebut jawatan. Ia ditujukan kepada Ahli Kitab.
Sedangkan as-Syaukani melalui
tafsirnya, Fath al-Qadir berkata: “Yang dimaksudkan di sini, ialah kamu
mintalah pertolongan dengan menghalang jiwamu daripada mengikut nafsu syahwat
dan hanya melakukan ketaatan, di samping menghalang daripada terkena perkara
yang menyakitkan.” Beliau juga berkata: “Sabar di sini tidak dimaksudkan dengan
sabar yang khusus, yang menafikan selainnya berdasarkan faedah adanya `alif’
dan `lam’ pada permulaan perkataan sabar daripada kesemua jenis sabar.
Syed Qutb menyebut dalam Fi Zilal
al-Quran: “Perkataan `minta tolong dengan sabar’ banyak diulang-ulang kerana ia
merupakan bekalan yang semestinya wujud dalam pertembungan dengan sebarang
masyaqqah.”
Tiang
Begitu juga dengan `Dan
mengerjakan sembahyang’, iaitu dengan solat yang menjadi tiang seri kepada
agama. Syed Qutb berkata: “Sesungguhnya solat merupakan perhubungan dan
pertemuan antara hamba dengan Tuhannya. Hubungan yang berlangsung merupakan
kekuatan kepada hati, di samping roh. Justeru, kamu dapati jiwa yang mempunyai
bekalan lebih `mahal’ daripada segala mata benda dunia. Dengan sebab itu,
thabit dalam sunah Rasulullah s.a.w., apabila Baginda merasa gusar, Baginda
akan segera menunaikan solat kerana ia merupakan hubungan yang kukuh lagi
mantap dengan Tuhannya di mana roh akan sampai dengan wahyu dan ilham. Dan
sentiasalah pancaran seperti ini berlaku pada setiap orang yang beriman, yang
menghendaki bekalan untuk jalannya dan boleh menghilangkan dahaganya dalam
suasana yang panas, menambahkan bantuan ketika terputusnya dan lain-lain.
As-Samarqandi dalam Bahr al-`Ulum
berkata: “Minta tolong dengan sabar dalam menunaikan segala fardu dan dengan
membanyakkan solat dalam menghapuskan segala dosa.” Al-Fakhr ar-Razi berkata:
“Yang dimaksudkan dengan sabar ialah puasa. Dan apabila disandarkan kepada
solat, sudah tentu bercahaya hati dengan segala nur makrifah Allah. Dan
sesungguhnya didahulukan puasa (sabar) daripada solat kerana kesan puasa
menghilangkan segala yang tidak sepatutnya. Sedangkan kesan solat menghasilkan
apa yang sepatutnya. Justeru, penafian hendaklah didahulukan daripada
pengisbatan (penetapan). Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa sebagai
perisai dari neraka.” Sedangkan firman Allah pula: “Sesungguhnya solat dapat
mencegah daripada akhlak yang keji dan kemungkaran.”
Betapa besarnya solat sehingga
Allah menutup ayat dengan kenyataan-Nya “Dan sesungguhnya (sembahyang itu).”
Ibn al-Jauzi berkata: “Terdapat tiga pandangan ulama berhubung ganti nama pada
ayat ini.
Pertama: Bahawa ia bermaksud
solat. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Mujahid dan Jumhur.
Kedua: Iaitu pertolongan sebagaimana
pada awalnya disebut kalimah meminta tolong. Inilah pendapat Muhammad Ibn
al-Qasim an-Nahwi.
Ketiga: Ia bermaksud Kaabah dan
kiblat kerana apabila disebut solat ia menunjukkan ke arah kiblat seperti yang
disebut oleh ad-Dhahhaq daripada Ibn Abbas dan Muqatil.”
`Amatlah berat kecuali kepada
orang-orang yang khusyuk’. Mereka yang benar-benar tawaduk dan tenang yang
menjadikan jiwa-jiwa mereka bersih semata-mata kerana Allah sahaja, yang dapat
mendirikan solat dengan sebaik-baiknya.
Syeikh Abdur Rahman as-Sa’di
berkata di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim ar-Rahman: “Dan sesungguhnya ia
adalah jalan yang mudah ke atas mereka kerana khusyuk, takut kepada Allah,
berharap sesuatu yang ada di sisi-Nya, dan mewajibkan baginya segala arahan,
boleh melapangkan dadanya kerana sentiasa bermuraqabah untuk mendapatkan
pahala, di samping takut terhadap hukuman dan balasan. Berlainan pula dengan
mereka yang tidak bersifat khusyuk, sudah tentu tiada pendorong ke arah
kebaikan dan kebajikan. Dan kalau dilakukannya sekalipun, pasti ia membebankan.
Suci
Al-Imam an-Nawawi memasukkan
dalam Matan al-Arba`in, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Malik al-Harith
bin `Asim al-Asy`ari r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Suci itu
sebahagian iman, dan Alhamdulillah memenuhi timbangan. Subhanallah dan
Alhamdulillah kedua-duanya memenuhi ruang antara langit dan bumi. Sembahyang
itu cahaya dan sedekah itu keterangan. Sabar itu sinaran, al-Quran itu hujah
(dalil) bagimu dan atasmu. Sekalian manusia itu pada waktu pagi ada orang yang
menjual dirinya, lalu dimerdekakannya atau dibinasakannya.” (Riwayat Muslim).
Selepas Rasulullah s.a.w.
menerangkan tentang kesucian dan pujian yang memenuhi timbangan, begitu juga
dengan tasbih, Baginda menerangkan lagi berhubung sembahyang, sedekah dan
sabar. Di antara lain katanya: “Bahawa sembahyang itu adalah cahaya.” Iaitu
cahaya yang menerangkan jalan hidup yang sebenarnya, cahaya bagi orang yang
mengerjakannya di dunia dan akhirat. Dan Rasulullah s.a.w. pernah menerangkan:
“Bahawa sesiapa yang memelihara sembahyang, baginya cahaya, alasan dan
pelepasan pada Hari Kiamat. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya, tiadalah
cahaya baginya, tidak ada juga alasan dan pelepasan, dan pada Hari Kiamat dia
bersama Firaun, Haman, Qarun dan Ubai bin Khalaf.”
Empat orang yang disebut itu
adalah ketua orang-orang kafir, dan orang yang meninggalkan sembahyang adalah
bersama mereka. Oleh kerana itu sekiranya dia meninggalkannya kerana
perniagaannya, dia akan bersama Ubai bin Khalaf. Jika dia meninggalkannya
kerana kerajaan atau kekuasaannya, maka dia bersama Firaun. Kalau
ditinggalkannya kerana harta-bendanya maka ia bersama Qarun, dan kalau kerana
ketuanya, maka ia bersama Haman.
Cahaya
Setelah Rasulullah s.a.w.
mengatakan bahawa sembahyang adalah cahaya, sebaliknya tiada sembahyang tiada
cahaya, maka diterangkan pula: Bahawa sedekah, iaitu terujinya iman dan
terbukti keterangan dan dalil adanya zakat harta benda atau wang ringgit,
satu-satunya mata benda yang sangat-sangat dicintai oleh seseorang. Sekiranya
seseorang dapat mengeluarkan zakatnya dengan ikhlas, tanda imannya masih kuat.
Kalau tidak, itulah alamat kekurangannya tetapi dia tidak merasakannya. Apa
yang dirasanya ialah kekurangan harta benda atau wang ringgit yang dikeluarkan
zakatnya saja.
Setelah itu diterangkan sifat
sabar. As-Sabr kata Rasulullah s.a.w. adalah dhiya’, ertinya sinaran yang
menyuluh jalan yang akan ditempuh. Bagaimana sulit sekalipun, jalan itu akan
dapat dilalui dengan sabar. Sabar ertinya tahan menempuh sesuatu yang sukar. Sabar
yang terpuji adalah sabar mengerjakan taat kepada Allah, menjauhi segala
maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Tetapi antara sifat
sabar itu, maka sifat sabar kerana mengerjakannya dengan taat dan meninggalkan
maksiat adalah sabar yang lebih utama. Ia lebih utama daripada sabar atas
segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan, sebagaimana yang
diterangkan pada hadis daripada Saidina Ali yang bermaksud:
“Sesungguhnya sabar atas sesuatu
maksiat dituliskan kerananya untuk seorang hamba sebanyak tiga ratus darjat.
Dan sesungguhnya sabar atas sesuatu ketaatan dituliskan kerananya enam ratus
darjat, dan sesungguhnya sabar (menahan diri) daripada segala maksiat
dituliskan kepadanya sembilan ratus darjat.” (Hadis marfu’ dengan sanad yang
daif).
Sementara itu, ada pula tiga
macam sifat sabar yang terhimpun pada suatu ibadat. Misalnya ibadat puasa.
Padanya didapati sifat-sifat:
* Sabar mengerjakan taat kepada
Allah.
* Sabar daripada melakukan
maksiat kepada-Nya. Ini kerana orang yang berpuasa meninggalkan syahwatnya
kerana Allah, sesuai dengan maksud hadis yang menegaskan, “Bahawa tiap-tiap
amal anak Adam adalah baginya, kecuali puasa. Kerana sesungguhnya puasa adalah
bagi-Ku dan Akulah pula yang akan membalasnya.ni kerana dia meninggalkan
syahwatnya, makanannya dan minumannya kerana Aku.
* Sabar atas segala takdir
kesusahan lapar dan dahaga selama puasa. Dan kerana ini Rasulullah s.a.w.
menamakan bulan puasa sebagai `bulan sabar’.
Semoga Allah menggolongkan kita
semua termasuk di kalangan orang-orang mukmin yang bersifat meminta tolong
dengan sabar, solat dan juga bersifat khusyuk.
Amin,
Tiada ulasan:
Ulasan baru tidak dibenarkan.