Sabda Rasulullah SAW: Wanita yang taat berkhidmat kepada
suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga.
Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
Ketika kita menempuh bahtera rumah tangga, ketika kita
sedang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya, kita dianjurkan untuk melihat
kembali kecintaan kita kepada keluarga Nabi. Dalam memperkuat kecintaan kita
kepada keluarga Nabi di dalam mengayuh bahtera keluarga, kita diwajibkan
meneladani perilaku kehidupan keluarga Rasulullah, baik perilaku terhadap
isteri mahupun anak.
Dalam menggauli dan memperlakukan isteri-isteri Baginda,
Rasulullah s.a.w. senantiasa menghormati dan menjaga perasaan isteri-isterinya
melebihi suami-suami yang lainnya. Satu saat ketika Rasulullah hendak
melaksanakan solat malam, beliau dekati isterinya Aisyah sampai Aisyah berkata:
Di tengah malam beliau mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan
kulitku beliau berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada
Tuhanku.”
Kita bayangkan betapa besar penghormatan Rasulullah kepada
isterinya sampai ketika beliau hendak melakukan solat malam, beliau terlebih
dahulu meminta izin kepada isterinya pada tengah malam, di saat isterinya
memerlukannya. Pada izin Rasulullah itulah tergambar kecintaan dan penghormatan
terhadap isterinya.
Nabi adalah sosok yang sangat sabar dalam memperlakukan
isterinya. Hal ini terlihat ketika suatu hari ada salah seorang isterinya
datang dengan membawa makanan untuk dikirim kepada Rasulullah yang sedang
tinggal di rumah Aisyah. Aisyah dengan sengaja menjatuhkan kiriman makanan itu
hingga piringnya pecah dan makanannya jatuh berderai. Rasulullah hanya
mengatakan, “Wahai Aisyah, kifaratnya adalah mengganti makanan itu dengan
makanan yang sama.”
Rasulullah mengecam suami-suami yang suka memukuli
isteri-isterinya sampai Rasulullah berkata, “Aku hairan melihat suami-suami
yang menyeksa isterinya padahal dia lebih patut disiksa oleh Allah SWT.”
Nabi pun mengecam suami-suami yang menghinakan
isteri-isterinya, tidak menghargainya, tidak mengajaknya bicara, dan tidak
mempertimbangkan isterinya dalam mengambil keputusan. Nabi bersabda, “Tidak
akan pernah memuliakan isteri kecuali lelaki yang mulia dan tidak akan pernah
menghinakan isteri kecuali lelaki yang hina.” Kerana itu marilah kita berusaha
menjadi suami yang mulia yang menempatkan isteri pada tempat yang mulia.
Kemesraan pasangan adalah penting untuk mengekalkan
keharmonian rumahtangga dan Rasulullah s.a.w. telah mencontohkan kemesraan
tersebut dengan isteri-isteri baginda.
Tidur dalam satu selimut bersama isteri
Dari Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dan
Aisyah r.a. biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada
dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian
bertanya, “Mengapa engkau bangkit?” Jawab Aisyah, “kerana saya haid, wahai
Rasulullah.” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan
dekatlah kembali padaku.” Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau.”
(Hadis Riwayat Sa’id bin Manshur)
Memberi wangi-wangian pada aurat
Aisyah berkata, “sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki
badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk
pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah s.a.w.
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Meminta isteri meminyaki badan
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya meminyaki badan
Rasulullah s.a.w. pada hari Raya ‘Aidil Adha’ setelah beliau melakukan jumrah
aqabah.” (Hadis Riwayat Ibnu ‘Asakir)
Mandi bersama isteri
Dari Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku biasa mandi bersama
Nabi s.a.w. menggunakan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan
kami (ke dalam bejana tersebut).” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu
Syaibah)
Disikatkan oleh isteri
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya biasa menyikat rambut
Rasulullah s.a.w, ketika itu saya sedang haid.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud: Makanan yang
disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan
haji dan umrah
Minum bergantian pada tempat yang sama
Daripada Aisyah r.a., dia berkata: “Saya biasa minum dari
cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan
meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum, kemudian
saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup isinya, kemudian Baginda
mengambilnya dari saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya
letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya. ” (Hadis Riwayat Abdurrazaq
dan Said bin Manshur)
Membelai isteri
“Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah setiap hari melainkan
beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda
menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama sehingga Baginda singgah ke
tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam ditempatnya.
” (Hadis Riwayat Ahmad)
Mencium isteri
Dari Aisyah r.a, “bahawa Rasulullah s.a.w. biasa mencium
isterinya setelah mengambil wuduk, kemudian Baginda bersembahyang dan tidak
mengulangi wuduknya.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)
Dari Hafshah, puteri Umar r.a., “Sesungguhnya Rasulullah
s.a.w. biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat
Ahmad).
Berbaring di pangkuan isteri
Dari Aisyah r.a., “Nabi s.a.w. biasa meletakkan kepalanya di
pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran.” (Hadis
Riwayat Abdurrazaq)
Memanggil dengan panggilan mesra
Rasulullah s.a.w. biasa memanggil Aisyah dengan beberapa
nama panggilan yang di sukainya seperti Aisy dan Umairah (pipi merah delima).
Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra
Nabi s.a.w. biasa memicit hidung Aisyah jika dia marah dan
Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa: Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad,
ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku
dari fitnah yang menyesatkan. ” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)
Membersihkan titisan darah haid isteri
Dari Aisyah r.a., dia berkata, “Aku pernah tidur bersama
Rasulullah s.a.w. di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Apabila darahku
menitis di atas tikar itu, Baginda mencucinya pada bahagian yang terkena
titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian beliau
sembahyang di tempat itu pula, lalu Baginda berbaring kembali di sisiku.
Apabila darahku menitis lagi di atas tikar itu, Baginda mencuci pada bahagian
yang terkena titisan darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu,
kemudian baginda pun sembahyang di atas tikar itu.” (Hadis Riwayat Nasai)
Memberikan hadiah
Dari Ummu Kaltsum binti Abu Salamsh, ia berkata, “Ketika
Nabi s.a.w. menikah dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya,
“Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah
pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui
ternyata Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan
dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan
memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Ternyata keadaan Raja
Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w. dan hadiah tersebut
dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikannya kepada masing-masing
isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian
tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Segera menemui isteri apabila tergoda
Dari Jabir, sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah melihat wanita,
lalu Baginda masuk ke tempat kediaman Zainab, untuk melepaskan keinginan
Baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita kalau menghadap, ia
menghadap dalam rupa syaitan. Apabila seseorang di antara kamu melihat wanita
yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya kerana pada diri isterinya ada
hal yg sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Begitu indahnya kemesraan Rasulullah s.a.w. kepada para
isteri Baginda, memberikan gambaran betapa Islam sangat mementingkan sikap kerana
sikap dan perbuatan baik cara yang paling efektif menyatakan rasa cinta, kasih
dan sayang antara suami dan isteri. Inilah teladan yg perlu dicontohi.
Berkhidmat pada isteri
Salah satu ibadah yang paling besar di dalam Islam adalah
berkhidmat kepada isteri. Rasulullah bersabda, “Duduknya seorang lelaki dengan
isterinya kemudian membahagiakan isterinya, pahalanya sama dengan orang yang
itikaf di masjidku.”
Kita dapat saksikan para jemaah haji ketika tinggal selama
seminggu di sana mereka berusaha melakukan itikaf dengan sebaik-baiknya di
masjid Nabawi. Kita akan memperoleh pahala yang sama seperti itikafnya para
jamaah haji kalau kita duduk bersama isteri dan berusaha membahagiakan,
memberikan ketenteraman dan keselesaan kepadanya.
Begitu pula bagi para isteri. Mereka haruslah menjadi
seorang isteri seperti Khadijah Al-Kubra. Khadijah adalah sosok isteri yang
sangat dicintai oleh suaminya. Selama Rasulullah menikah dengannya, Rasulullah
tidak pernah memikirkan the other women beside her, wanita lain di samping
Khadijah. Rasulullah hidup dalam suasana yang penuh dengan kecintaan dan kasih
sayang.
Cinta kasih Nabi terhadap Khadijah tergambar dalam riwayat
berikut ini: Setelah Khadijah meninggal dunia, Rasulullah menikah dengan
Aisyah. Suatu hari Rasulullah sedang berada di depan rumah. Tiba-tiba
Rasulullah meninggalkan Aisyah menuju kepada seorang perempuan. Rasulullah
memanggilnya dan menyuruh perempuan itu duduk di hadapan-nya kemudian
mengajaknya berbicara.
Sabda Rasulullah S.A.W. – Wanita apabila ia sembahyang lima
waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami,
maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki.
Aisyah bertanya, “Siapakah perempuan tua ini?” Rasulullah
menjawab, “Inilah sahabat Khadijah dulu.” Lalu Aisyah berkata, “Engkau
sebut-sebut juga Khadijah padahal Allah telah menggantikannya dengan isteri
yang lebih baik.”
Ketika itu marahlah Nabi sampai bergoncang rambut di atas
kepalanya. Lalu beliau berkata, “Demi Allah, tidak ada yang dapat menggantikan
Khadijah. Dialah yang memberikan kepadaku kebahagiaan ketika orang menghinaku.
Dialah yang menghiburku dalam penderitaan ketika semua orang membenciku. Dialah
yang memberikan seluruh hartanya kepadaku ketika semua orang menahan
pemberiannya. Dan dialah yang menganugerahkan kepadaku anak ketika
isteri-isteri yang lain tidak memberikannya. ” Mendengar itu Aisyah tidak dapat
memberikan jawaban. Hadis ini diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dan Muslim.
Dalam ucapan Rasulullah itu, selain terkandung kecintaan
Rasul terhadap Khadijah, juga terkandung kebaktian Khadijah terhadap suaminya.
Khadijahlah yang menghibur suaminya ketika dalam perjuangan dilanda berbagai
penderitaan. Khadijahlah yang mengorbankan seluruh hartanya ketika suaminya
memerlukan. Khadijahlah yang mendampingi suaminya dalam suka dan duka. Sehingga
Rasul berkata, “Tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan Khadijah.”
Kepada para isteri, jadilah seperti Khadijah yang setiap
saat rela mengorbankan apa pun demi kebahagiaan suami. Yang di saat-saat suami
ditimpa duka dan kesusahan siap berdiri di sampingnya, memberikan hiburan dan
kebahagiaan kepadanya dengan seluruh jiwa dan raga.
Kebaktian kepada suami di dalam Islam dianggap ibadah yang
utama. Sampai Rasulullah bersabda, “Kalau seorang perempuan memberikan setitis
minum kepada suaminya atau memindahkan barang dari rumahnya ke tempat yang lain
untuk membahagiakan suaminya, maka pahalanya sama dengan melakukan ibadah satu
tahun.” Oleh sebab itu, hormatilah suami. Berikan kepadanya penghormatan yang
sepenuhnya dan berikanlah kecintaan yang sepenuhnya. Insya Allah, Tuhan akan
berkati keluarga yang seperti demikian.
APA KATA RASULULLAH TENTANG WANITA DAN ISTERI
1. Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan iaitu
wanita (isteri) yang solehah.
(Riwayat Muslim)
2. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia
keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya,maka iaa
dalah perempuan zina, dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.
(Riwayat Ahmad,Thabrani dan Hakim)
3. Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana
hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka
carilah yang kuat beragama, nescaya kamu beruntung.
4. Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan
Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana
pintu syurga yang ia kehendaki. (RiwayatAhmad Ibnu Hibban, Thabrani, Anas bin
Malik)
5. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias
bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari
khiamat, tiada nur baginya.(Riwayat Termizi)
6. Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak
diterima sembahyangnya sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya
(meminta maaf). (Riwayat dari Hassan)
7. Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung diudara,
ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar
baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredhainya serta menjaga sembahyang
dan puasanya. (Riwayat Muaz bin Jabal)
8. Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar
roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka
diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka. Tiap-tiap wanita yang
menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkannya dalam syuga
lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya
di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai
suaminya dan menghadapnya.
Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya
dan janggutnya dan memotong misainya dan mengerat kukunya, memberi minum Allah
akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati
kubur menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta mencatatkan Allah
baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian
Siratul-mustaqim. (Riwayat Muaz bin Jabal)
9. Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya “tidak
pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun”. Maka Allah akan hapuskan
amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada
malam hari.
10. Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka
beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari
seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan. Apabila wanita mulai
sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada
jalan Allah. Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti
keadaan ibunya melahirkannya.