Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s
pergi ke Mekah untuk membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya
Ismail as :
"Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan aku satu
perkara" Lalu Nabi Ismail a.s berkata: "Lakukanlah apa yang telah
diperintahkan oleh Allah SWT kepada kamu" Nabi Ibrahim a.s bertanya:
"Adakah kamu akan menolongku?" Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku
akan menolongmu" Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah
memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di Mekah, sambil
mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan
sekitarnya."
Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan
tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi
Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s
membawa sebuah batu dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s. Beliau
berdiri di atas batu tersebut semasa meneruskan pembinaan manakala Nabi Ismail
a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu mereka berdoa sebagaimana firman
Allah Yang bermaksud:
"Wahai Tuhan kami! Terimalah amal kami sesungguhnya
Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami!
Jadikanlah kami berdua orang-orang yang berserah diri kepadaMu dan jadikanlah
daripada keturunan kami umat yang berserah diri kepadaMu dan tunjukkanlah
kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami
sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan
kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang
akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka isi kandungan
al-Quran serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan hati dan jiwa mereka dari
perbuatan syirik dan maksiat. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha
Bijaksana."
Sehinggalah Allah SWT menyempurnakan pembinaan Baitullah
(Kaabah) tersebut kepada mereka berdua. Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina
Kaabah dengan keadaan :
Tinggi Kaabah sembilan hasta.
Panjang dari paras bumi atau dari Hajarulaswad hingga ke
penjuru sebelah Syam adalah sepanjang 32 hasta.
Lebar Kaabah dari bahagian saluran air bermula dari penjuru
Syam hingga ke penjuru sebelah barat adalah seluas 22 hasta.
Panjang dari paras bumi bermula sebelah barat hingga ke
penjuru sebelah Yaman adalah sepanjang 31 hasta.
Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman
hingga ke Hajarulaswad adalah seluas 20 hasta.
Nabi Ibrahim telah membina pintu Kaabah rapat ke bumi dan
tidak ditinggikan atau dibuat pintu secara sempurna sehinggalah Tubba'
Al-Humairi telah membina sebuah pintu dan meninggikannya.
Bentuk binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s
adalah satu binaan sempurna yang mempunyai dua penjuru iaitu dua penjuru Yamani
manakala bentuk Hijir pula, beliau tidak membinanya dalam bentuk berpenjuru
bahkan dalam bentuk separuh bulat sebagaimana bentuk Hijir yang terdapat pada
masa sekarang ini. Ada pendapat yang mengatakan umur Nabi Ibrahim ketika
membina Kaabah tersebut ialah 100 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan