Sabtu, 22 September 2012

KESEMPURNAAN DIRI MUSLIM.


  • Daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu 'anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah S. A. W yang mana dia telah menyatakan tujuannya : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat. Maka baginda S. A. W telah berkata kepadanya: "Tanyalah apa yang engkau kehendaki" :

    Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang alim

    Baginda S. A. W menjawab : Takutlah kepada Allah maka engkau akan jadi orang yang alim

    Dia berkata : Aku mahu menjadi orang paling kaya

    Baginda S. A. W menjawab : Jadilah orang yang yakin pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya

    Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang adil

    Baginda S. A. W menjawab: Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia

    Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang paling baik

    Baginda S. A. W menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia

    Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang istimewa di sisi Allah

    Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan zikrullah nescaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah

    Dia berkata : Aku mahu disempurnakan imanku

    Baginda S. A. W menjawab : Perelokkan akhlakmu nescaya imanmu akan sempurna

    Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsinin
    (baik )

    Baginda S. A. W menjawab : Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsinin

    Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang taat

    Baginda S. A. W menjawab : Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat

    Dia berkata : Aku mahu berjumpa Allah dalan keadaan bersih daripada dosa
    Baginda S. A. W menjawab : Bersihkan dirimu daripada najis dosa nescaya engkau akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa

    Dia berkata : Aku mahu dihimpun pada hari qiamat di bawah cahaya

    Baginda S. A. W menjawab : Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah cahaya

    Dia berkata : Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari qiamat

    Baginda S. A. W menjawab : Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain nescaya Allah akan mengasihanimu pada hari qiamat

    Dia berkata : Aku mahu dihapuskan segala dosaku

    Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan beristighfar nescaya akan dihapuskan (kurangkan ) segala dosamu

    Dia berkata : Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia

    Baginda S. A. W menjawab : Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia

    Dia berkata : Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia

    Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa menyerah diri
    (tawakkal) kepada Allah nescaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia

    Dia berkata : Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah

    Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa berada dalam keadaan bersih ( dari hadas ) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu

    Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya

    Baginda S. A. W menjawab : Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Mereka

    Dia berkata : Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari qiamat

    Baginda S. A. W menjawab : Jangan marah kepada orang lain nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya

    Dia berkata : Aku mahu diterima segala permohonanku

    Baginda S. A. W menjawab : Jauhilah makanan haram nescaya segala permohonanmu akan diterimaNya

    Dia berkata : Aku mahu agar Allah menutupkan segala keaibanku pada hari qiamat

    Baginda S. A. W menjawab : Tutuplah keburukan orang lain nescaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari qiamat

    Dia berkata : Siapa yang terselamat daripada dosa?

    Baginda S. A. W menjawab : Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan

    Dia berkata : Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?

    Baginda S. A. W menjawab : Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala )

    Dia berkata : Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?

    Baginda S. A. W menjawab : Buruk akhlak dan sedikit ketaatan

    Dia berkata : Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat ?

    Baginda S. A. W menjawab : Sedekah dalam keadaan sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih sayang

    Dia berkata: Apakan yang akan memadamkan api neraka pada hari qiamat?

    Baginda S. A. W menjawab : sabar di dunia dengan bala dan musibah

    Telah berkata Imam Mustaghfirin: aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanafaat selain hadis ini...

Tiada ulasan:

Catat Komen